Peranan penting kerajaan urus kesan prestasi nilai ringgit

By Dr. Khalid Abdul Hamid

Prestasi mata wang ringgit yang terus merekodkan kemerosotan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hingga ke hari ini adalah cerminan kepada prospek ekonomi negara semakin lemah, sekali gus memberi implikasi negatif kepada individu, perniagaan dan aktiviti ekonomi negara.

Disebabkan keadaan semasa ini, rakyat kini semakin khuatir dan gusar, lebih-lebih lagi dengan berita terbaru ringgit berkemungkinan akan diniagakan pada paras lebih lemah berbanding dolar AS pada minggu mendatang, didorong persekitaran risiko tidak menguntungkan.

Apabila ringgit menyusut, kuasa beli pengguna juga merosot. Ini bermakna nilainya berbanding mata wang lain seperti dolar AS akan berkurangan. Akibatnya, barangan import menjadi lebih mahal.

Jika anda membeli produk dari negara lain, anda memerlukan lebih banyak ringgit untuk membeli barangan sama. Ringgit lemah juga boleh menyumbang kepada inflasi, manakala kenaikan kos import menyebabkan harga barang dan perkhidmatan di pasaran menjadi lebih tinggi.

Kebimbangan rakyat terhadap kemerosotan berterusan prestasi ringgit bukan tiada asasnya. Ia bermula apabila berita kejatuhan terbaharu sebanyak 0.2 peratus kepada 4.7965 berbanding dolar AS pada bulan lalu dan hari ini ringgit masih berada di paras 4.7203 sedolar.

Ini tahap paling lemah dan rentan sejak paras terendah sepanjang masa pada 4.8850 direkodkan pada 1998 ketika kegawatan kewangan serantau.

Jelas, tindakan segera dan terancang amat perlu untuk dilaksanakan kerajaan tanpa bertangguh lagi kerana nilai ringgit merosot lebih empat peratus sejak awal tahun ini sahaja.

Semua ini petanda jelas keadaan ekonomi begitu perlahan, dibebani pula dengan keadaan ketidaktentuan pasaran mata wang. Pelabur asing yang memegang pelaburan asing dalam mata wang lain boleh mendapat keuntungan disebabkan kadar pertukaran mata wang rendah.

Memburukkan lagi keadaan, ia juga mendedahkan orang ramai kepada risiko kesan susut nilai mata wang. Jika anda memegang aset denominasi dalam ringgit seperti bon atau saham, nilainya berkurangan atau menguncup semasa susut nilai.

Lebih-lebih lagi eksport Malaysia semakin merosot selama 10 bulan berturut-turut setakat Disember 2023 dikatakan disebabkan kelembapan ekonomi China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia.

Eksport menyumbang kira-kira 69 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Oleh kerana itu, penurunan dalam pendapatan eksport mengurangkan permintaan terhadap ringgit dan menurunkan nilainya.

Penyusutan nilai ringgit juga merugikan mereka yang menggunakan barangan dan perkhidmatan diimport. Jika berterusan, ia boleh menyebabkan kenaikan kos sara hidup secara keseluruhannya.

Sungguhpun ringgit susut boleh memberi manfaat kepada pengeksport, namun kelembapan ekonomi China tidak memihak kepada Malaysia.

Kesan berganda (double whammy) dari sudut perniagaan bagi mereka yang mengimport bahan mentah atau komponen ialah bakal berhadapan dengan kos lebih tinggi dan ini pastinya menjejaskan margin keuntungan.

Susut nilai ringgit yang berpanjangan juga akan menghakis keyakinan dan sentimen pengguna. Ramai pengguna mungkin melambatkan perbelanjaan atau mengurangkan penggunaan sesuatu barang atau produk kerana tidak mampu untuk berbelanja atau kuasa beli mereka menjadi semakin rendah.

Impak penyusutan nilai ringgit berpanjangan dan berterusan hanya akan menjejaskan pertumbuhan KDNK. KDNK negara yang tidak mencapai sasaran pada tahun lalu sudah menunjukkan kesan kelemahan ini.

Menyifatkan prestasi ringgit sama nasibnya seperti mata wang serantau lain disebabkan dipengaruhi beberapa faktor luaran tidak seharusnya dijadikan alasan lagi.

Perancangan, pelan kerajaan

Penggiat industri dan pasaran berharap supaya ada satu pelan dan perancangan daripada kerajaan supaya mereka memiliki keyakinan untuk menyimpan dalam dolar sebagai ‘safe haven’ bagi mengelakkan kerugian jika berlaku kejatuhan ringgit lagi. Keadaan ini hanya akan menyebabkan ringgit semakin lemah.

Penyelesaian kepada struktur pasaran kewangan jangka pendek dan jangka panjang lebih konkrit perlu dilaksanakan segera untuk menangani serta mengurangkan kesan kemerosotan prestasi ringgit.

Pakar ekonomi dan penganalisis beberapa kali menyuarakan kebimbangan mereka susulan kedudukan nilai ringgit lemah akan memberi impak negatif kepada pengimport dalam beberapa segmen seperti automotif, pengangkutan, pengguna, media dan penjagaan kesihatan, malah bagi seluruh rantaian pengeluaran barangan dan perkhidmatan.

Harga import tinggi akan membawa kepada defisit perdagangan dan akhirnya mengakibatkan situasi lebih parah iaitu defisit berkembar dalam akaun negara.

Kadar inflasi berada di bawah 1.0 peratus sejak November 2023 boleh dibanggakan, namun ia turut mencerminkan permintaan domestik yang lemah dan harga bahan api rendah.

Keadaan inflasi rendah ini mengurangkan daya tarikan memegang ringgit sebagai aset pelaburan kerana ia membayangkan pulangan lebih rendah dan menghakis kuasa beli mata wang dari semasa ke semasa.

Keseluruhannya, penyusutan nilai ringgit memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan seharian, pelaburan dan kestabilan ekonomi negara. Tindakan kerajaan memainkan peranan penting dalam menguruskan kesannya kepada isi rumah, perniagaan dan ekonomi keseluruhan.

Amat penting kerajaan menunjukkan daya tahan tinggi dan komitmen melaksanakan strategi teguh bagi menstabilkan serta mengukuhkan nilai ringgit demi kesejahteraan ekonomi negara. Hala tuju dasar negara juga perlu diperjelaskan untuk mengukuhkan nilai mata wang kita.

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2024/03/1226558/peranan-penting-kerajaan-urus-kesan-prestasi-nilai-ringgit

Share Article

More Article

No data was found