Subsidi bersasar perlu penuhi keseimbangan pendapatan, sosial

By Mohamed Azmi Mohd Rasheed Khan

Bebanan subsidi terhadap kerajaan Malaysia semakin signifikan saban tahun, terutama dengan kos program subsidi yang meningkat secara menyeluruh. Menyedari keperluan kelestarian fiskal ekonomi negara, kerajaan merangka pelan untuk memansuhkan subsidi secara beransur-ansur dan menyeluruh serta bergerak ke arah skim subsidi lebih terarah dan cekap.

Menerusi peralihan kepada program subsidi bersasar, kerajaan dijangka dapat mengagihkan sumbernya secara lebih efektif dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan paling memerlukan dan seterusnya meminimumkan tekanan terhadap kewangan negara.

Pendekatan strategik ini tidak hanya mengatasi cabaran kelestarian fiskal tetapi juga memastikan program subsidi tetap responsif terhadap keperluan masyarakat.

Melalui pengurusan fiskal yang berhemat dan perancangan yang teliti, kerajaan berusaha untuk mencapai keseimbangan dalam menyediakan sokongan penting dan menggalakkan ketahanan ekonomi untuk jangka panjang.

Walaupun kerajaan belum menjelaskan sepenuhnya konsep subsidi bersasar bakal dilaksanakan, ia menjadi satu pilihan serius pemerintah dalam menangani ketidakseimbangan ekonomi negara.

Konsep subsidi bersasar ini bertujuan untuk mengagihkan sumber dan bantuan kewangan kepada kumpulan atau individu yang tertentu berdasarkan tahap pendapatan atau kriteria relevan lain.

Bagaimanapun, kesan atau akibat daripada pelaksanaannya penting untuk dikaji terhadap masyarakat secara keseluruhan. Salah satu objektif utama subsidi bersasar adalah untuk meringankan beban bagi isi rumah berpendapatan rendah.

Namun, dalam proses berkenaan, golongan pertengahan yang sering dirujuk sebagai segmen M40, mungkin terkesan secara negatif.

Segmen M40 terdiri daripada individu atau keluarga berada di atas garis kemiskinan tetapi ramai dalam kalangan mereka masih berdepan dengan kesukaran untuk menampung kos sara hidup meningkat.

Program subsidi bersasar, biasanya memberi tumpuan kepada kumpulan B40 mungkin mengabaikan cabaran dihadapi golongan M40.

Segmen M40 sering mendapati diri mereka terperangkap dalam situasi paradoks. Di satu bahagian, mereka tidak layak untuk mendapat subsidi terarah diterima kumpulan B40. Di bahagian lain, mereka menghadapi kesan peningkatan kos sara hidup.

Akibatnya, kumpulan M40 mengalami penurunan daya beli dan menghadapi kesukaran mengekalkan status sosioekonomi mereka. Ketidakseimbangan ini menimbulkan kekecewaan dan rasa ketidakadilan mendalam golongan pertengahan.

Walaupun program subsidi bersasar bertujuan membantu golongan kurang bernasib baik, ia ‘secara tidak sengaja’ boleh mencipta pelbagai kesan negatif bagi masyarakat secara keseluruhan. Salah satu akibat itu adalah pertambahan jurang pendapatan.

Apabila program subsidi memberi tumpuan kepada kumpulan B40, ia boleh memperluaskan jurang antara golongan kaya dan miskin.

Ketiadaan sokongan bagi golongan pertengahan memburukkan lagi keadaan kerana mereka dibiarkan menanggung beban peningkatan kos sara hidup tanpa bantuan mencukupi atau memadai daripada kerajaan.

Hilang motivasi tingkat kemahiran

Subsidi bersasar juga boleh menghalang usaha peningkatan diri dan menghalang individu daripada mencari peluang lebih baik. Apabila individu bergantung pada subsidi, mereka mungkin kehilangan motivasi untuk meningkatkan kemahiran atau mencari pekerjaan lebih baik.

Kebergantungan ini boleh menghalang pertumbuhan ekonomi dan menghasilkan masyarakat yang pegun. Dalam hal ini, penting untuk kerajaan berusaha mencapai keseimbangan antara menawarkan sokongan kepada mereka memerlukan dan memastikannya menggalakkan keupayaan kendiri.

Walaupun program subsidi bersasar mungkin memberikan kelegaan sementara bagi kumpulan B40, ia tidak memberi penyelesaian kepada isu pokok iaitu peningkatan kos sara hidup.

Malah, program subsidi bersasar secara tidak langsung boleh menyumbang kepada masalah peningkatan kos sara hidup dengan mencipta permintaan buatan (AD) bagi barang atau perkhidmatan.

Sebagai contoh, apabila subsidi diberikan untuk barang keperluan asas seperti makanan atau bahan api, ia boleh menyebabkan peningkatan harga disebabkan permintaan lebih tinggi. Kenaikan harga ini tidak hanya menjejaskan kumpulan B40 tetapi juga M40 dan individu berpendapatan lebih tinggi.

Akibatnya, kos sara hidup keseluruhan meningkat, memberi kesan kepada masyarakat secara langsung. Maka, pelaksanaan langkah menyeluruh dan komprehensif perlu diwujudkan untuk mengatasi punca asal peningkatan kos sara hidup yang dibimbangi akan menghimpit kehidupan rakyat terus-terusan.

Walaupun subsidi bersasar mempunyai kekurangan, penting untuk kerajaan meneroka penyelesaian berpotensi untuk mengurangkan kesan negatifnya.

Mungkin salah satu pendekatan vital adalah dengan melaksanakan program kebajikan sosial lebih komprehensif dan inklusif dapat memenuhi keperluan kumpulan B40 dan M40.

Dengan mempertimbangkan cabaran dihadapi golongan pertengahan dan melaksanakan langkah menangani kebimbangan mereka, masyarakat akan dapat merasakan kesan lebih seimbang dan adil.

Pihak berwajib juga perlu meningkatkan sektor pendidikan dan program pembangunan kemahiran individu dan melepaskan diri mereka daripada kitaran kemiskinan.

Dengan melengkapkan individu kemahiran dan pengetahuan diperlukan, mereka boleh berdikari sekali gus menyumbang kepada negara.

Justeru, penting bagi kerajaan sebagai pembuat dasar untuk menjalankan penyelidikan dan analisis menyeluruh bagi memahami impak mungkin timbul daripada program subsidi bersasar sebelum ia dilaksanakan.

Dengan mempertimbangkan keperluan dan cabaran dihadapi segmen masyarakat berbeza, pembuat dasar akan dapat membangunkan program subsidi lebih berkesan dan inklusif, tidak memberi beban secara tidak seimbang kepada golongan pertengahan.

Selain itu, kerajaan perlu terbabit aktif mencari pandangan pemegang taruh dan pendapat awam mengenai program ini. Pembabitan masyarakat membantu pembuat dasar mendapat pandangan berharga, telus dan berguna supaya program dilaksanakan sejajar dengan aspirasi masyarakat secara keseluruhan dan meningkatkan ekonomi negara.

Penilaian dan mekanisme maklum balas amat penting dalam mengenal pasti serta menangani kekurangan atau akibat tidak disengajakan daripada dasar itu.

Subsidi bersasar direka untuk memberi tumpuan sumber kepada individu atau sektor paling memerlukan bantuan. Oleh itu, pelaksanaannya mestilah dapat menangani kesenjangan pendapatan, kemiskinan atau cabaran sosial dan ekonomi tertentu.

Walaupun kita boleh membezakan antara mereka berdasarkan pendapatan, namun cabaran untuk melaksanakan pendekatan ini masih sukar dilakukan dengan berkesan.

Kita tidak boleh mengabaikan impak mungkin timbul daripada keputusan mengurangkan atau memansuhkan subsidi pukal. Segala kelemahan perlu dikaji dengan teliti dan langkah penting perlu diambil untuk mengurangkan kesan negatifnya.

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2024/04/1231328/subsidi-bersasar-perlu-penuhi-keseimbangan-pendapatan-sosial

Share Article

More Article

No data was found