MEDIA STATEMENT
TINJAUAN TINJAUAN PERSEPSI PRESTASI PENTADBIRAN, DASAR NEGARA DAN KEPIMPINAN POLITIK
6 JANUARY 2026
Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) telah menjalankan tinjauan kaji selidik melibatkan 1,604 responden berumur 18 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia pada 15 November – 19 Disember 2025.
Kaedah pengumpulan data kajian ini menggunakan instrumen temu bual telefon secara random digit dialing yang berpandukan kaedah pensampelan rawak berstrata.
Kajian ini mendapati prestasi Kerajaan Madani mencatatkan sedikit peningkatan tahap puas hati rakyat daripada 41% pada bulan Jun 2025 kepada 49% pada bulan Disember 2025.
Prestasi Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga mencatatkan peningkatan daripada 33% kepada 46% dalam tempoh yang sama.
Dari segi kaum, 58% responden Cina menyatakan rasa puas hati terhadap prestasi Perdana Menteri diikuti India 42% dan Melayu 40%.
Walaupun tahap puas hati rakyat terhadap Kerajaan Madani dan Perdana Menteri meningkat, prestasinya masih belum memuaskan iaitu di bawah paras 50%.
Dari segi prestasi Ahli-Ahli Parlimen, 36% berpuashati dengan prestasi Ahli Parlimen kerajaan dan 27% berpuashati dengan prestasi Ahli Parlimen pembangkang.
Isu kos sara hidup masih merupakan masalah utama rakyat dengan 42% responden menyatakan kebimbangan diikuti rasuah 12%, pembangunan ekonomi dan kestabilan politik masing-masing 9%, hak etnik, kebajikan rakyat dan peluang pekerjaan masingmasing 4%, pembangunan infrastruktur dan isu agama masing-masing 3% dan pendidikan 2%.
Kajian ini juga mendapati hanya 39% responden berpuas hati dengan usaha kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah utama mereka.
Persepsi responden terhadap prestasi ekonomi negara berbelah-bahagi dengan 50% menyatakan rasa puas hati dan hanya 41% berpuas hati dengan pendapatan peribadi mereka.
Dari segi dasar kerajaan, 63% responden bersetuju dengan dasar rasionalisasi subsidi RON95 dan 55% berpuas hati dengan kaedah pelaksanaannya.
Sentimen positif rakyat terhadap dasar ini berkemungkinan disebabkan oleh pemberian 300 liter petrol RON95 bersubsidi secara bulanan kepada pengguna di bawah inisiatif Budi Madani yang dapat menampan kesan kenaikan kos sara hidup rakyat akibat penyasaran subsidi.
Walau bagaimanapun, 75% responden tidak berpuas hati dengan peluasan skop SST dan 54% tidak berpuas hati dengan kadar tarif elektrik baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan.
49% responden pula bersetuju dengan pelaksanaan Akta Pembaharuan Semula Bandar dan hanya 35% berpendapat Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Malaysia dan Amerika Syarikat menjejaskan kedaulatan Malaysia.
Untuk calon Perdana Menteri selepas PRU-16, dalam kalangan ketua-ketua parti Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului dengan 46% menyatakan bersetuju diikuti Dato’ Seri Anwar Ibrahim 39% dan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi 16%.
Dari segi sokongan kaum, Tan Sri Muhyiddin mendapat sokongan tertinggi dalam kalangan responden Melayu sebanyak 56% diikuti Cina 34% dan India 14%.
Dato’ Seri Anwar memperolehi sokongan tertinggi dalam kalangan responden Cina sebanyak 50% diikuti Melayu 37% dan India 22%.
Dato’ Seri Ahmad Zahid pula memperolehi 17% sokongan Melayu, 10% Cina dan 5% India.
Dalam kalangan tokoh-tokoh politik lain, Khairy Jamaluddin mendahului sebagai calon Perdana Menteri dengan 52% bersetuju diikuti Dato’ Sri Najib Razak 41%, Tun Dr. Mahathir Mohamad 33%, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar 29%, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man 20% dan Dato’ Seri Hamzah Zainudin 17%.
INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA
6 January 2026