TEKS UCAPAN
YANG BERHORMAT TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MD YASSIN
PENGERUSI MAJLIS PEMULIHAN NEGARA (MPN)
MERANGKAP PENGERUSI INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA (MASA)
SEMPENA MAJLIS PENGANUGERAHAN GERAN PENYELIDIKAN PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP)
BANQUET HALL, KUALA LUMPUR GOLF & COUNTRY CLUB
7 FEBRUARI 2022 (ISNIN), 3:00 PETANG
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin
Menteri Kanan Pendidikan merangkap Pemegang Amanah MASA
Ahli Lembaga Pemegang Amanah MASA
Yang Berusaha Saudara Azril Mohd Amin
Ketua Pegawai Eksekutif MASA
Yang Berusaha Tuan Abdul Halim bin Hamzah
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Strategik)
Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri
YBhg. Datuk/ Profesor/ Dr. Para Penerima Geran Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP)
Tuan-tuan, puan-puan, hadirin hadirat sekalian
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal afiat.
- Alhamdullillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama hadir ke Majlis Penganugerahan Geran Program Pembangunan Dasar MASA atau MPDP pada petang yang berbahagia ini.
- Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Institut MASA yang telah sudi menjemput saya untuk hadir ke majlis yang penting ini.
- Saya berbesar hati kerana Institut MASA yang telah terlibat dari awal bersama-sama dengan kerajaan untuk membangunkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, kini dapat meneruskan satu inisiatif penyelidikan yang amat relevan dalam konteks pemulihan negara.
- Sesuai dengan peranan Institut MASA yang mengangkat aspirasi WKB, sudah tentu inisiatif sebegini akan memperkukuh usaha kita untuk merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat dan seterusnya mewujudkan sebuah negara yang maju, makmur dan bersatu padu. Peranan dan inisiatif sebegini sewajarnya diteruskan pada masa-masa akan datang.
Saudara dan Saudari yang saya kasihi sekalian,
- Saya dimaklumkan bahawa geran MPDP ini merupakan salah satu fokus utama Institut MASA untuk memberikan input dan cadangan kepada kerajaan bagi memperjelaskan hasrat WKB 2030 yang menjadi antara aspirasi kerajaan.
- Hasrat inisiatif ini juga adalah untuk menyediakan platform kepada penyelidik IPTA dan IPTS tempatan untuk menjalankan penyelidikan yang berimpak besar, khususnya dalam bidang ekonomi, sosial dan pembangunan lestari.
- Melihat kepada kepelbagaian tajuk dan kertas cadangan yang diterima Institut MASA dalam bidang-bidang berkaitan Pelan Pemulihan Negara, saya yakin bahawa program MPDP ini telah dirangka secara teliti dan komprehensif – sekali gus membuktikan kemampuan MASA dalam menarik minat penyelidik dari pelbagai latar belakang untuk terlibat aktif dalam memberikan cadangan dan input kepada kerajaan, khususnya dalam membantu negara merangka strategi dan inisiatif bagi Pelan Pemulihan Negara
- Saya teruja dengan cadangan yang diutarakan oleh Penerima Geran MPDP yang hadir pada petang ini. Antaranya yang menyentuh berkaitan isu “kemiskinan situasi” yang dicadangkan oleh Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Saya berharap agar pasukan penyelidik UMK dapat membuat kajian pemetaan atau model penyelesaian yang sesuai, bagi menangani “kemiskinan situasi” yang dihadapi masyarakat bandar dan luar bandar, kesan daripada pandemik COVID-19. Saya percaya hasil kajian berkaitan isu ini penting dan perlu diteliti agar satu cadangan dapat dirumuskan, bagi membantu strategi dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang lebih efektif, dan agenda pembasmian kemiskinan di negara ini, insya-Allah.
- Saya juga amat tertarik dengan cadangan berkaitan pemulihan ekonomi yang dicadangkan oleh Dr. Peter Aning anak Tedong dari Universiti Malaya dengan tajuk penyelidikan beliau, Revitalizing the Urban B40 Communities Through the Development of a Multidimensional Integrated Community Sustainability Planning (ICSP) Framework, yang mencadangkan agar dibangunkan satu kerangka pembangunan komuniti miskin bandar atau B40 yang lestari. Ini merupakan cadangan yang pada hemat saya, amat baik, dalam usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat di negara ini.
- Begitu juga dengan cadangan berkaitan sektor ekopelancongan yang dicadangkan oleh Cik Kalai Vani dan pasukan penyelidikan beliau dari Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) yang menjalankan kajian berkaitan peranan orang kelainan upaya (OKU) terhadap kelestarian sektor pelancongan di Malaysia, dengan melihat aspek pembangunan kapasiti dan program-program sokongan yang dirangka khusus bagi golongan OKU.
- Aspek pendidikan juga amat saya tekankan untuk dilihat dalam rangka strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN). Ini amat penting terutama dalam usaha Kerajaan merangka program khas atau catch-up program untuk membantu pelajar yang tercicir dalam pelajaran seperti yang pernah saya sebutkan dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 pada Sidang Dewan Rakyat tahun lalu.
- Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan kertas cadangan MPDP yang diutarakan oleh Prof. Dr. Teoh Sian Hoon dari Universiti Teknologi MARA, yang melihat bagaimana pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM dapat menyumbang kepada kebolehpasaran graduan dan jaminan kerjaya pada masa akan datang, seperti yang diaspirasikan dalam Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG).
Saudara dan Saudari yang saya kasihi sekalian,
- Saya hanya menyebut sekadar beberapa contoh di sini, namun saya percaya kajian kesemua Penerima Geran MPDP yang telah disenarai pendek yang hadir pada petang ini adalah berkualiti dan menepati kriteria-kriteria yang telah ditetapkan Institut MASA, serta telah melalui proses penilaian terperinci oleh barisan panel penilai berwibawa diketuai oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob, yang juga Mantan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU).
- Harapan saya, agar lebih ramai penyelidik di IPTA dan IPTS di Malaysia dapat menghasilkan penulisan penyelidikan baharu berimpak tinggi, diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seterusnya menjana potensi nilai tambah kepada sosioekonomi negara.
- Masih banyak ruang dan peluang bagi negara untuk memacu ekonomi inovatif berlandaskan penyelidikan dan pembangunan. Justeru, saya berharap, melalui program MPDP yang diperkenalkan oleh Institut MASA ini, akan memberi motivasi dan menjadi pembakar semangat kepada para penyelidik tempatan untuk menghasilkan penyelidikan yang memberi impak tinggi bukan hanya kepada rakyat negara ini bahkan masyarakat
- Akhir kata, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada semua Penerima Geran MPDP pada kali ini. Saya berharap agar inisiatif ini dapat memberi ruang dan peluang kepada ahli akademik dan pakar-pakar dalam bidang masing-masing untuk melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung, khususnya dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara 2.0 atau PPN 2.0.
- Saya percaya, hanya dengan melakukannya bersama-sama kita akan dapat membina kemakmuran dan kesejahteraan yang diidamkan oleh seluruh rakyat Malaysia. Insya-Allah.
Sekian, Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.