TPB 2030: Pemerkasaan Usaha Pembangunan Kumpulan Etnik Bumiputera di Malaysia

Source of Image : iStock – https://www.istockphoto.com/photo/celebrating-the-61th-anniversary-of-independence-or-merdeka-day-gm1030247140-276031939

Oleh Amirul Hamza bin Abdullah, Research Analyst Institut Masa Depan Malaysia

29/01/2021

Pada 26 Januari 2021, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB 2030) sebagai langkah strategik baharu yang akan memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi dan sosioekonomi kumpulan etnik Bumiputera. TPB 2030 yang mengangkat prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dengan menitikberatkan kesaksamaan peluang dan keberhasilan sebagai tunjung utama mengariskan enam (6) bidang penting yang akan diberi perhatian iaitu 1) penyampaian perkhidmatan, 2) modal insan, 3) pemilikan kekayaan, 4) keusahawanan, 5) ekuiti korporat, dan 6) tanah rizab Melayu, waqaf dan adat.

Keenam-enam bidang tersebut akan menjadi peneraju kepada pembangunan ekonomi kumpulan etnik Bumiputera yang akan diukur dengan enam (6) sasaran utama untuk dicapai menjelang 2030, iaitu 1) penglibatan kumpulan etnik Bumiputera dalam pekerjaan mahir untuk mencapai jumlah 3.2 juta pekerja, 2) pemilikkan kediaman oleh kumpulan etnik Bumiputera sebanyak 5.9 juta unit, 3) pendapatan isi rumah penengah disasarkan mencapai RM18,403, tiga (3) kali ganda daripada nilai pendapatan 2019, 4) gaji/upah penengah sebanyak RM5,169, 5) aset kewangan per kapita sebanyak RM4,496, dan 6) sumbangan Gross Operating Surplus (GOS) perusahaan kumpulan etnik Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2030 untuk mencapai nilai RM680 bilion. Sasaran TBP 2030 ini dijangka boleh dicapai dengan memberi fokus kepada tujuh (7) daripada 15 aktiviti ekonomi bernilai tinggi yang disenaraikan sebagai Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (Key Economic Growth Activities (KEGA)) yang dikenalpasti melalui WKB2030 iaitu 1) kewangan Islam, 2) ekonomi digital, 3) logistik, pengangkutan dan kelestarian mobiliti, 4) pelancongan, 5) pertanian dan komoditi, 6) halal dan makanan serta 7) pembuatan.

Cadangan penambahbaikan kepada TBP 2030, bagi mencapai impak maksima kepada kumpulan etnik Bumiputera

Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) yang merupakan sebuah badan pemikir (think tank) polisi yang dipacu oleh nilai Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity) di Malaysia memandang tinggi usaha berterusan kerajaan dalam menjalankan agenda pembangunan kumpulan etnik Bumiputera di negara ini. Pelancaran TBP 2030 dilihat amat bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa negara yang tidak menentu. Dengan campurtangan segera dan cadangan pendekatan baru yang lebih efektif daripada kerajaan melalui TBP 2030, termasuklah dengan memberi tumpuan kepada KEGA dan pengukuhan kerjasama pihak kerajaan dan swasta, ianya dilihat mampu menjadi asas untuk pembangunan kumpulan etnik Bumiputera dengan baik.

Institut MASA walaubagaimanapun merasakan impak TBP 2030 dapat dipertingkatkan dengan lebih baik dengan pemerkasaan beberapa perkara, termasuklah dengan;

1) Menjalankan aktiviti pembangunan pekerja Bumiputera mahir secara berkualiti

Peningkatan pekerja mahir dari golongan Bumiputera mampu menjadi teras utuh bagi pembangunan ekonomi kumpulan etnik ini. Institut MASA ingin mencadangkan sasaran pembangunan pekerja mahir dilihat dalam perspektif “intra” atau pekerjaan kumpulan etnik Bumiputera sahaja, tanpa pencampuran maklumat dengan kumpulan etnik lain di dalam TBP 2030. Pada tahun 2019, hanya tiga (3) daripada 10 pekerja kumpulan etnik Bumiputera mempunyai kemahiran tinggi, berbanding jika kita lihat dalam perspektif “inter” atau perbandingan antara kumpulan etnik yang menunjukkan enam (6) daripada 10 pekerja mahir adalah dari kumpulan etnik Bumiputera. Hal ini demikian kerana, bilangan populasi kumpulan etnik Bumiputera yang besar akan mencerminkan bilangannya yang lebih tinggi di dalam jumlah pekerja mahir. Penilaian secara “intra” ini adalah penting dalam memastikan hasil daripada TBP 2030 mampu berada di tahap maksimum. Cadangan sasaran ini juga boleh menjadi alat pengukur alternatif bagi keberhasilan sebarang perancangan pembangunan modal insan dalam kalangan kumpulan etnik Bumiputera.

2) Fokus aktiviti penjanaan ekonomi kumpulan etnik Bumiputera diperluaskan

Institut MASA merasakan adalah wajar untuk aktiviti ekonomi kumpulan etnik Bumiputera turut memfokuskan kepada lima (5) KEGA yang lain iaitu 1) industri kreatif, 2) ekonomi pesisiran & maritim, 3) tenaga boleh baharu, 4) ekonomi hijau, dan 5) perkhidmatan termaju & moden.

Aktiviti-aktiviti ekonomi tambahan yang dicadangkan ini dilihat memiliki kekuatan sendiri yang mampu membantu kumpulan etnik Bumiputera untuk bukan sahaja menjana pendapatan yang lumayan, tetapi turut menikmati nilai tambah seperti mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Selain itu, penglibatan kumpulan etnik Bumiputera yang sudah sedia meluas dalam industri kreatif juga dilihat sebagai peluang yang tidak harus dilepaskan untuk diperkukuhkan, sebagai antara aktiviti janaan pendapatan berimpak tinggi yang didominasi kumpulan etnik Bumiputera.

Satu lagi aktiviti ekonomi baru yang seharusnya diberi tumpuan adalah aktiviti ekonomi masyarakat sosial (social community economy) seperti keusahawanan sosial, perusahaan sosial dan aktiviti ekonomi berasaskan komuniti, yang selari dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030). Aktiviti yang semakin meluas ini dilihat sangat berpotensi dalam membangunkan usahawan dan masyarakat yang berada di luar bandar, serta golongan B40.

3) Pemilikan aset bukan kewangan dan kewangan oleh kumpulan etnik Bumiputera

Secara amnya, Institut MASA berpendapat bahawa sasaran pemilikan aset bukan kewangan yang diletakkan adalah bertujuan untuk meningkatkan pegangan aset bukan kewangan oleh kumpulan etnik Bumiputera. Walaubagaimanapun, terdapat persoalan yang timbul mengenai sasaran ini, sama ada isi rumah kumpulan etnik Bumiputera yang menjadi penerima rumah atau kediaman dalam program khas seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) di ambil kira? Jika ianya diambil kira, sasaran yang ditetapkan akan mudah dicapai dan pengukuran tersebut tidak akan menggambarkan kemampuan sebenar kumpulan etnik Bumiputera dalam mengharungi cabaran harga rumah yang tinggi di dalam pasaran.

Selain itu, Institut MASA berpendapat bahawa penetapan sasaran peningkatan aset kewangan oleh kumpulan etnik Bumiputera adalah amat penting dan signifikan. Hal ini  kerana, sumber pendapatan isi rumah kumpulan etnik Bumiputera di dalam pelaburan dan harta hanyalah sebanyak 11.4% berbanding kumpulan etnik lain sebanyak 13.5% (India) dan 15.6% (Cina). Walaubagaimanapun, bagi mendapatkan hasil yang berkualiti, kiraan aset kewangan, sebagai contoh ekuiti, haruslah melihat kepada pegangan oleh kumpulan etnik Bumiputera sahaja, dan tidak termasuk syarikat kepunyaan kerajaan (GLC) seperti yang dibentangkan didalam buku WKB2030.

4) Memperketat pengawasan dan pembanterasan aktiviti pasaran dan ekonomi berunsurkan monopoli

TPB 2030 seharusnya memberi fokus kepada pembanterasan unsur monopoli, pencatutan dan sabotaj ekonomi. Hal ini demikian kerana unsur tersebut telah menjadi barah kepada pencapaian agenda kumpulan etnik Bumiputera sejak sekian lama. Oleh itu, Institut MASA mencadangkan perkara ini diberi penekanan dalam TPB 2030 dan tindakan segera diambil, terutama dalam bidang penyampaian perkhidmatan dan keusahawanan.

Institut MASA berharap cadangan penambahbaikan ini dapat membantu dalam perlaksanaan TBP 2030 secara efektif, dan hasil yang diidamkan dalam peningkatan taraf ekonomi kumpulan etnik Bumiputera dapat dicapai. Perlaksanaan intervensi kerajaan dalam perkara ini perlulah dilakukan dengan lebih telus dan proaktif terutama dalam membasmi amalan “Ali Baba” dan “kronisme” di dalam sebarang program yang dijalankan.  Institut MASA menyokong penuh usaha kerajaan dalam membangunkan lebih banyak entiti perusahaan kumpulan etnik Bumiputera berimpak tinggi, dan berharap ianya mampu memberikan impak positif kepada negara, secara keseluruhannya.

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found