Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia: Kesinambungan Perancangan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB)

Source of Image : iStock – https://www.istockphoto.com/photo/sustainable-lifestyle-recycling-gm1225942066-361029546

Oleh Amirul Hamza bin Abdullah, Research Analyst Institut Masa Depan Malaysia

21/01/2021

Kerajaan telah melancarkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), iaitu satu pakej rangsangan ekonomi kelima sepanjang berhadapan pandemik COVID-19. Pakej bernilai RM15 bilion yang diumumkan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin itu merangkumi 22 inisiatif yang bertujuan untuk memerangi wabak COVID-19, menjaga kesejahteraan rakyat dan menyokong kesinambungan perniagaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0).

Pakej ini memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan taraf kapasiti jentera kesihatan awam. Usaha meningkatkan kapasiti tersebut merangkumi penambahan sumber kewangan sebanyak RM1 bilion yang akan memastikan semua peralatan dan kos operasi kesihatan awam mencukupi dalam memerangi COVID-19. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan penyaluran RM100 juta kepada hospital swasta dalam meningkatkan kemampuan jentera kesihatan di Malaysia mendepani suasana kritikal terkini.

Selain itu, Pakej Bantuan PERMAI ini juga turut memberi perhatian kepada cabaran dan bebanan yang dihadapi oleh barisan hadapan kesihatan awam negara. Seramai 3,500 barisan baharu akan ditambah untuk meringankan beban barisan hadapan. Barisan hadapan baharu ini akan terdiri daripada pembantu perubatan, paramedik, juruteknik makmal dan para jururawat. Penambahan ini adalah tidak termasuk 8,000 anggota barisan hadapan baharu yang telah diluluskan pada tahun lepas. Hal ini semestinya dapat memberi ruang kepada barisan hadapan sekarang yang berada diparas yang tenat untuk menarik nafas lega.

Perniagaan berkaitan kenderaan juga mendapat faedah dalam Pakej Bantuan PERMAI ini. Dengan pengecualian cukai jualan bagi jualan kenderaan telah dipanjangkan sehingga bulan Jun, dan ditambah dengan kebenaran pengeluaran iSinar, pastinya ia sedikit sebanyak dapat memberi galakan untuk peningkatan jualan kenderaan, dan sekaligus membantu memberi peluang janaan pendapatan kepada 308,000 pekerja yang terlibat dalam aktiviti jualan kenderaan seluruh negara.

Aspek keselamatan pekerja juga tidak ketinggalan untuk mendapat manfaat daripada pakej ini. Pekerja barisan hadapan seperti lebih 160,000 orang penghantar makanan e-hailing akan mula diberikan pelindungan sosial menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM24 juta. Inisiatif ini jelas memberi gambaran bahawa Pakej Bantuan PERMAI yang disediakan oleh pihak kerajaan bersedia untuk membantu memenuhi keperluan rakyat mengikut keadaan semasa.

Pakej Bantuan PERMAI juga dilihat mampu membantu melancarkan perancangan ekonomi negara di dalam fasa pemulihan ini. Dengan peruntukan sebanyak RM650 juta yang akan disalurkan kepada hampir 500,000 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM66 juta kepada pemandu teksi, bas dan lain-lain, ia pastinya dapat membantu mereka meringankan beban kos operasi yang ditanggung. Melalui pengunguman yang dibuat, PKS di zon Merah akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 daripada peruntukan ini, manakala hampir 300,000 PKS di negeri-negeri lain pula akan menerima bantuan tunai sebanyak RM500. Pengusaha teksi dan bas swasta pula akan mendapat bantuan kewangan sebanyak RM500 daripada peruntukan ini.

Bantuan kepada PKS diperkukuhkan lagi dengan penyambungan moratorium pembayaran pinjaman dan diskaun 10% bayaran utiliti elektrik sepanjang suku pertama 2021.

Pengurangan bayaran utiliti juga akan turut dinikmati oleh setiap isi rumah di Malaysia sepanjang PKP 2.0 sehingga bulan Jun 2021 dengan rebat sebanyak 2 sen per kilowatt.

Pakej Bantuan PERMAI juga membawa berita baik buat peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terkesan dengan ujian banjir. Kerajaan telah bersetuju untuk memberikan moratorium pembayaran hutang pendidikan selama 3 bulan yang pastinya akan dapat membantu dalam mengurangkan beban hutang mereka, dalam tempoh yang mencabar ini.

Secara keseluruhan, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk memerangi COVID-19, RM1 bilion untuk membantu perusahaan perniagaan untuk terus menggaji pekerja, RM650 juta bantuan kepada PKS, RM25 juta kepada disaster relief network dan RM66 juta untuk bantuan tunai kepada pemandu bas, teksi dan lain-lain, sebagai dana tambahan di dalam perbelanjaan fiskal kerajaan­­ melalui pelancaran Pakej Bantuan PERMAI ini. Tambahan peruntukan kepada belanjawan 2021 disaat-saat getir ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia peka, dan kekal prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat di Negara ini.

Seperti pakej bantuan dan stimulasi ekonomi sebelum ini, Pakej Bantuan PERMAI juga merangkumi teras-teras yang terkandung di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030). Inisiatif 16 dan 17 di dalam Pakej Bantuan PERMAI yang memfokuskan kepada penambahbaikan pelaksanaan skim mikrokredit dan galakan perniagaan dalam talian misalnya, adalah sejajar dengan Teras 1 (Ekosistem Perniagaan) dan Teras 2 (Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama) dalam WKB2030.

Inisiatif 13, iaitu program subsidi pekerja dan pembayaran kerajaan kepada skim PERKESO untuk penghantar makanan juga turut menterjemahkan langkah memperkasakan aspek kesejahteraan sosial seperti yang terdapat dalam Teras 5, WKB2030. Seperti yang sering disebut oleh YAB Perdana Menteri sebelum ini, konsep “No One Left Behind” jelas terus kekal dititikberatkan melalui Pakej Bantuan PERMAI.

Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) berharap pelaksanaan Pakej Bantuan PERMAI ini akan berjaya mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kemampuan dan kapasiti setiap sektor yang terkesan akibat Covid-19. Usaha kerajaan ini wajar dipuji dalam memacu dan memakmurkan ekonomi negara dengan pembangunan yang inklusif dan lestari.

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found