Teks Ucapan Azril Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif MASA Sempena Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan MPDP 2.0

Ucapan
Azril Mohd Amin
Ketua Pegawai Eksekutif MASA
Sempena Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan
Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0

 
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin
Pengerusi, Institut Masa Depan Malaysia
YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin
Ahli Lembaga Pemegang Amanah
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
Penerima Geran Program Pembangunan Dasar MASA 2.0
Wakil-wakil media, Tuan-tuan, puan-puan, hadirin hadirat sekalian.

  1. Pertamanya marilah kita mengucapkan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, pihak MASA dapat menganjurkan Majlis Penganugerahan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 pada pagi yang mulia ini.
  2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin, selaku Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA) kerana sudi hadir untuk berucap serta menyampaikan sijil penganugerahan MPDP kepada para penerima sekalian.
  3. Jutaan terima kasih juga saya rakamkan kepada Ahli-ahli Lembaga pemegang Amanah MASA, Felo Kehormat, Felo dan Ahli Bersekutu MASA serta para penerima geran MPDP 2.0 atas kesudian untuk hadir ke majlis ini.

Yang Berhormat Tan Sri dan hadirin sekalian,

  1. Menyedari kepentingan peranan ahli akademik dan penyelidik negara dalam mencorak hala tuju pembangunan sosioekonomi Malaysia, Program Pembangunan Dasar MASA atau MASA Policy Development Programme telah diperkenalkan oleh MASA.
  2. Melalui geran penyelidikan ini, ahli akademik dan para penyelidik yang berminat berpeluang untuk mengemukakan hasil kajian penyelidikan masing-masing merentas bidang berkaitan ekonomi, sosial dan pembangunan lestari.
  3. Program MPDP 2.0 menawarkan geran sebanyak RM10,000 untuk setiap cadangan penyelidikan yang terpilih, dan semua kertas cadangan yang dihantar bagi program MPDP 2.0 ini juga perlu menepati bidang tumpuan penyelidikan MASA sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
  4. Sebagai hasil akhir, penerima geran MPDP 2.0 perlu menghasilkan kertas ringkasan dasar atau policy brief yang diharapkan dapat memberi nilai tambah kepada bidang penyelidikan dalam kalangan penyelidik dan akademia serta memberi kesan langsung kepada proses pembangunan negara.
  5. Pada masa sama, para penerima geran turut digalakkan untuk menerbitkan hasil laporan penyelidikan dalam jurnal yang terkemuka, sama ada di dalam atau luar negara.

Yang Berhormat Tan Sri dan hadirin sekalian,

  1. Untuk MPDP kali ini, MASA telah menerima permohonan sebanyak 254 kertas cadangan daripada 29 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 27 kertas cadangan telah disenarai pendek dan diputuskan layak.
  2. Kesemua kertas cadangan ini telah melalui proses tapisan awal, dan disusuli oleh proses penilaian oleh panel penilai daripada kalangan pakar bidang serta mantan pegawai tinggi kerajaan.
  3. MASA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada enam (6) orang panel penilai yang telah menyumbang masa dan kepakaran mereka sepanjang proses penilaian kertas cadangan MPDP 2.0. Terima kasih saya ucapkan kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim, Prof. Dato’ Dr. Madeline Berma, Prof. Dr. Che Wan Jasimah Wan Mohamed Radzi, Prof. Dr. Yusliza Mohd Yusoff dan Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad sebagai penilai MPDP 2.0.
  4. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Tan Sri, semua dif-dif kehormat dan hadirin sekalian atas kehadiran dan sokongan kepada inisiatif MASA ini.

Sekian, terima kasih.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

 

Share Article

More Article

No data was found