Perbaiki integrasi etnik bukan Melayu terhadap budaya Melayu

By Professor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

Perbuatan menghidangkan makanan dan minuman tidak halal di jabatan kerajaan dan sisanya yang perlu pula dibersihkan oleh pekerja Melayu Islam, bukan sahaja amat sangat memeranjatkan. Juga ia sepatutnya langsung tidak boleh sesekali berlaku. Sehubungan ini, ia dinafikan sebagai tidak pernah pun dilakukan oleh pihak yang dituduh itu.

Ada etnik bukan Melayu yang bukan sahaja mempertikai, juga bertanya soalan penuh provokasi iaitu apa salahnya makan babi dan minum arak jika tuduhan itu benar. Sepatutnya tuduhan itu tidak perlu dicabar lagi apabila pihak yang dicema itu menafikannya. Dengan ini, ia harus dianggap selesai sebagai peringatan yang sangat perlu diambil serius oleh etnik bukan Melayu.

Dengan mengajukan soalan sebiadap itu, ia bukan sahaja begitu bebal sekali untuk langsung tidak mengetahui larangan sebegitu, lebih-lebih lagi di premis kerajaan. Juga ia amat kurang ajar sekali kerana tidak mahu mematuhi resam di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sebenarnya gejala tidak mahu akur kepada peraturan dan resam setempat oleh mereka ini sudah sampai ke kemuncaknya yang runcing dengan pertanyaan yang amat songong itu.

Ini kerana setelah sekian lama menetap di sini, etnik khususnya Cina bukan sahaja harus telah lama sedar, malah wajib sudah mahir sekali dengan adat dan adab di negara Melayu Islam. Sehubungan ini, mereka sewajarnya sudah amat sedia maklum bahawa ia akan menjadi isu amat besar apabila sensitiviti ini dicabuli.

Mengapakah perkara sedemikian yang begitu asas masih boleh berlaku sesudah sekian lama kewujudan bersama pelbagai etnisiti dalam sebuah negara Melayu Islam.

Satu sebabnya ialah proses pembentukan negara bangsa kita gagal melahirkan warganegara dari etnik bukan Melayu yang bukan sahaja cakna, juga prihatin kepada sentimen dan sensitiviti etnik Melayu yang merupakan kelompok majoriti lagi dominan. Ia menjadi sebegini ekoran daripada keengganan etnik bukan Melayu, walaupun setelah sekian lama bermulanya proses integrasi, untuk menyekutu ke dalam struktur sosiobudaya etnik Melayu yang juga merupakan penduduk asal.

Pengetahuan mereka bukan sahaja amat cetek, malah tiada langsung untuk membolehkan mereka berfungsi dengan baik dalam sebuah negara yang agama utamanya ialah Islam. Pemfungsian begini adalah amat penting untuk menjaga keharmonian sosial dengan semua etnisiti saling menghormati antara satu sama lain.

Namun, ia didapati tidak berlaku sepenuhnya apabila masih terdapat kes yang memperlihat etnik bukan Melayu membawa anjing kesayangan ke tempat awam, seperti taman permainan dan kedai dobi layan diri. Apabila ditegur, mereka bukan sahaja mengatakan bahawa ia hak mereka, juga ikut mempertikai etnik Melayu yang membawa kucing kesayangan semasa ke kedai dobi begitu dan tempat awam lain.

Begitu juga kes memanaskan makanan tidak halal dalam ketuhar di pejabat walaupun dalam sektor swasta yang ada kakitangan Melayu dan Islam. Ia sewajibnya tidak akan berlaku apabila etnik bukan Melayu memahami sensitivitinya untuk bukan sahaja menghormati, juga mempermudah urusan akidah rakan sekerja dari etnik Melayu dan yang beragama Islam.

Tidak dapat dinafikan ada segelintir yang sengaja mahu melakukannya atas dasar hak sama rata dalam konteks multikulturalisme, bukan sahaja kewujudan tetapi dukungan sama rata terhadap pelbagai budaya, yang mahu ditegakkan di negara ini oleh etnik bukan Melayu. Ini bercanggah dengan nasionalisme kita yang sudah tentu Melayu tunjangnya seperti dipersetuju bersama dalam perjanjian etnik yang secara longgarnya dikenali sebagai kontrak sosial.

Sebenarnya ada juga etnik bukan Melayu yang cakna lagi prihatin tentang sensitiviti etnik Melayu Islam. Ini antaranya dapat dilihat pada kalendar jenis lumba kuda. Ia memang merupakan kalendar etnik Cina yang bukan sahaja mengandungi maklumat perlumbaan kuda yang dipertaruh mereka, juga keterangan peristiwa budaya Cina dan keagamaan Taoisme selain pemaparan zodiak Cina yang terdiri daripada lambang 12 jenis haiwan.

Zodiak ini yang bermula dengan lambang tikus dan diakhiri dengan babi, semua haiwan itu digambarkan melalui lakaran bentuk sebenar kecuali babi yang digantikan dengan huruf Cina. Perkara ini pasti dilakukan untuk menunjukkan kecaknaan dan keprihatinan terhadap sensitiviti etnik Melayu dan umat Islam lain yang didapati ikut menggemari kalendar ini.

Untuk keharmonian di negara ini, etnik bukan Melayu, khususnya Cina, hendaklah selalu sedar diri bahawa keberadaan mereka di sini, adalah pilihan mereka sendiri, malah rayuan kemis untuk mahu terus tinggal di negara ini, setelah penjajah yang membawa mereka masuk meninggalkannya. Oleh itu, bukan sahaja ikuti, malah patuhilah adat dan peraturan di tempat yang diminta-minta mereka sendiri untuk kebenaran tinggal.

Dengan ini, jadilah warganegara yang tahu tempatnya serta pandai pula membalas budi dan bukannya kaduk naik junjung selain kacang lupakan kulit. Inilah antara cara etnik Cina boleh memperbaiki mutu kewarganegaraan yang dipegang mereka itu, yang rata-ratanya ditanggapi negatif, dengan kerakusan sebagai nilai paling buruk.

Source: https://www.utusan.com.my/rencana/2024/03/perbaiki-integrasi-etnik-bukan-melayu-terhadap-budaya-melayu/

Share Article

More Article

No data was found