Proses pemulihan COVID-19 mesti libatkan segenap aspek kehidupan, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR 13 Okt – Proses pemulihan negara pasca-pandemik COVID-19 ini mesti melibatkan segenap aspek kehidupan dan pembinaan negara termasuk perpaduan dan kebudayaan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cabaran besar negara ialah bagaimana menjadikan fasa-fasa pemulihan ke hadapan lebih menyeluruh dan lebih cemerlang daripada sebelum ini.

Oleh itu, kata beliau yang juga bekas Perdana Menteri, Pelan Pemulihan Negara ini perlu menyediakan strategi yang tuntas untuk Malaysia bangkit kembali dari impak pandemik COVID-19.

‘’Caranya ialah dengan mengenal pasti sektor ekonomi yang paling memerlukan perhatian yang perlu dibantu untuk bangkit semula dengan tumpuan kepada pelancongan, pendidikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh jangka pendek dan sederhana.

‘’Kita sudah tentu tidak akan dapat kembali seperti
dahulu tetapi apa yang sedang kita usahakan ini diharap menjadi lebih baik daripada
sebelum pandemik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Ramah Mesra dan Dialog bersama warga Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah, felo-felo kanan, felo serta kakitangan Institut MASA, di sini malam ini.

Muhyiddin berpeluang bertemu, berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan dalam banyak perkara terutama yang menyentuh isu pandemik COVID-19 dan Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Turut hadir pada sesi itu ialah Datuk Dr Radzi Mohd Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dan Tan Sri Sulaiman Mahbob, yang kedua-duanya adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut MASA serta felo kanan antaranya Prof Datuk Dr Denison Jayasooria, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Datuk Dr Madeline Berma.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Institut MASA kerana berjaya menganjurkan majlis tersebut dan berharap institut ini dapat meneroka lebih banyak bidang penyelidikan dalam isu-isu yang melibatkan rakyat seperti kemiskinan, pendidikan dan pembinaan negara bangsa.

Institut MASA merupakan sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan dengan fokus awal untuk merangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030).

Institut ini mempunyai 12 felo yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial dan pendidikan.

Date: 13 Oktober 2021
Source and Image from: Dagang News – https://dagangnews.com/proses-pemulihan-covid-19-mesti-libatkan-segenap-aspek-kehidupan-kata-muhyiddin-9751

Share Article

More Article

No data was found