Pendekatan Holistik Tangani Isu Keciciran Pelajar – MASA

SATU pendekatan holistik dan inklusif perlu dirangka kerajaan bagi menangani isu keciciran pelajar mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah memberi impak besar terhadap bidang pendidikan.

Pada masa sama, kerajaan juga seharusnya memberi tumpuan menambah baik infrastruktur asas seperti akses kepada internet.

Cadangan itu diutarakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin dalam kenyataan sempena Hari Pendidikan Sedunia 2022 dengan tema Mengubah Hala Tuju, Mentransformasi Pendidikan yang disambut hari ini.

Menurut Azril, tumpuan seharusnya diberikan khusus kepada golongan rentan dalam kalangan etnik minoriti dan miskin bandar serta luar bandar.

Kata beliau, ia bagi memastikan tiada yang tercicir atau ketinggalan daripada arus pendidikan dan pembangunan negara.

“Mengambil kira pandemik COVID-19 yang telah memberi impak besar terhadap bidang pendidikan dalam dan luar negara, MASA berpendapat suatu pendekatan holistik dan inklusif perlu dirangka serta dilaksanakan kerajaan pasca pandemik.

“MASA berharap agar pihak pembuat dasar mengambil langkah segera dan tuntas untuk mengenal pasti cabaran serta halangan pasca pandemik seterusnya merangka dasar dan strategi yang sesuai bagi merealisasikan visi pendidikan untuk semua sekali gus menjamin kelestarian pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azril berkata, tema untuk tahun keempat Hari Pendidikan Sedunia ini bertepatan dengan komitmen MASA dalam mengangkat peranan pendidikan sebagai salah satu tunjang pembangunan negara.

Beliau berkata, ia juga bagi menghayati peri pentingnya pendidikan untuk semua selaras visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan matlamat Akta Pendidikan 1966.

“Tema ini turut menterjemahkan aspirasi dan solidariti global ke arah memastikan setiap kanak-kanak mendapat hak serta akses yang sewajarnya dalam bidang pendidikan seperti digariskan Teras Keempat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Malaysia kini di landasan tepat dalam mentransformasi pendidikan seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilancarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Menteri Pendidikan.

“Pelan ini cukup komprehensif dalam Konvensyen Hak Asasi Kanak Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Upaya (CRPD),” jelas beliau.


Date: 24 January 2022

Image source: https://utusantv.com/wp-content/uploads/2022/01/88D62635-AB97-4A51-BE62-DE42C18EAA16-696×435.jpeg

Source: Utusan TV – https://utusantv.com/2022/01/24/pendekatan-holistik-tangani-isu-keciciran-pelajar-masa/?fbclid=IwAR1C3liYiwof2KlRvSqqwlgZ1V4vvVRmjudWS7D4amtcHX4HwlU4wsA5QZM