Muhyiddin mampu bantu negara keluar daripada krisis

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Visi realistik yang dibawa Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memimpin negara untuk keluar daripada krisis yang tercetus akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin berkata, visi Muhyiddin yang realistik dan berpandangan jauh sekiranya dilaksanakan tanpa gangguan dapat membantu negara keluar dari krisis yang dihadapi sekarang.

“Muhyiddin telah menegaskan sekali lagi langkah-langkah ke hadapan untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

“Visi beliau yang realistik dan berpandangan jauh jika dilaksanakan tanpa gangguan mampu mengubah krisis menjadi peluang, kekecewaan menjadi harapan dan penderitaan bertukar kepada kemakmuran bersama.

“Perincian dan butiran untuk menyokong usahawan kecil dan sederhana serta sektor ekonomi yang paling terkesan, bantuan berterusan untuk rakyat, usaha bersepadu untuk menarik pelaburan langsung asing serta domestik, percambahan teknologi dan pendigitan baharu akan membolehkan Malaysia tampil lebih saksama, lestari dan lebih kuat daripada sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Azril berkata walaupun berlaku perubahan pada tampuk kepimpinan kerajaan, tetapi beliau yakin perjuangan untuk memerangi COVID-19 di malaysia tidak akan terhenti.

“Ucapan Muhyiddin semalam, memberikan keyakinan dan jaminan bahawa perjuangan Malaysia memerangi COVID-19 tidak tergendala sungguhpun berlaku perubahan pada tampuk kepemimpinan kerajaan baru-baru ini.

“Ini kerana pendekatan pragmatik dan holistik yang telah digariskan oleh Muhyiddin ketika beliau menjadi Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN), akan diteruskan seperti dirancang oleh kerajaan yang baharu.

“Dengan semua elemen penting ke arah pemulihan ekonomi, yang disebutkan oleh beliau, sesungguhnya Malaysia mempunyai kemampuan bukan sekadar untuk pulih daripada krisis, sebaliknya muncul lebih baik dan lebih kuat,” jelasnya.

Date: 10 September 2021
Source and Image from: wacana – https://wacana.my/muhyiddin-mampu-bantu-negara-keluar-daripada-krisis/

Share Article

More Article

No data was found