Oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
SUDAH setahun Dasar Madani dilancarkan. Namun banyak pihak termasuklah agensi kerajaan sendiri didapati masih kurang pemahaman tentang dasar itu, apatah lagi rakyat yang berperanan untuk menjayakannya.
Ini antaranya kerana mereka yang sepatutnya menerapkan dasar itu didapati tidak pun merujuk sepenuhnya kepada sumbernya yang satu-satu itu, iaitu buku Membangun Negara Madani: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi.
Buku yang setebal 213 halaman sebenarnya adalah kitabnya, iaitu dokumen yang tertera perencanaan yang menunjukkan perkara yang boleh dicapai melalui Dasar Madani selain bagaimana ia dapat dijayakan. Dengan kata lain, ia adalah buku yang mengandungi maklumat terpenting tentang Dasar Madani.
Mukadimah atau prakata yang sangat panjang itu selain berupa pengenalan kepada buku itu tentang kandungan, cakupan serta matlamatnya, sebetulnya adalah maklumat yang sudah begitu tuntas daripada pengarang sendiri untuk bukan sahaja memperkenal Dasar Madani yang diilhamkan tetapi juga untuk terus membincangkannya dari pelbagai sudut yang menjadi landasan tunjang kejayaannya kelak.
Antara yang terpenting ialah zaman pasca normal, iaitu semasa peralihan yang dipenuhi kerumitan, kekacauan dan pertentangan kerana paradigma lama yang tidak terpakai lagi dan yang baharu belum lagi wujud sebagai gantian. Oleh itu, pengarang mengajak kita untuk melengkapi diri dengan apa-apa jua ilmu pengetahuan yang ada kini tentang zaman pasca normal agar kemajuan negara tidak terencat oleh kebiasaan lama yang sudah lapuk selain tidak mangkus lagi.
Seterusnya Dasar Madani yang mengangkat enam nilai sebagai rukun, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, hendaklah diterokai pada lapan unsur, iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, kebudayaan, bandar serta luar bandar. Dalam pada ini, enam rukun itu tidak sesekali berperanan secara berasingan, tetapi saling berkaitan dan bergantungan antara satu sama lain, untuk menjadikan dasar ini lebih manusiawi, bersifat masa hadapan di samping mengekalkan tradisi kita yang dikongsi bersama selama ini.
Selanjutnya dalam membincangkan enam rukun itu, ia hendaklah mengikuti susunan yang tersedia dan bukan sewenang-wenangnya. Ini sangat penting agar kerajaan dan rakyat bukan sahaja bekerjasama dengan erat, juga sederap dalam haluan untuk merealisasikan masa hadapan negara yang lebih cerah.
Untuk tujuan ini, Dasar Madani menyediakan sebilangan langkah untuk diikuti agar kejayaannya bukan sahaja terarah, juga seragam untuk dikecapi rakyat.
Langkah itu bermula dengan takrifan kebiasaan pada satu-satu rukun itu, misalnya hormat. Ia kemudiannya diikuti takrifan mengikut Dasar Madani yang luas dan tidak sesekali terikat dengan makna sempit pada kebiasaannya itu.
Seterusnya ialah visi yang mahu dicapai dan masyarakat atau kawasan yang menjadi sasaran. Selepas itu baharulah gagasan yang mahu dicapai oleh satu-satu rukun itu, dibincangkan pada setiap unsur. Contohnya kebudayaan.
Setelah selesai semuanya, perbincangan hendaklah pula berkisar pada tujuh perkara lain iaitu kerumitan, percanggahan, kekacauan, keserentakan, masa hadapan dan perubahan, pemantauan serta institusi pemberdayaan.
Sebagai contoh, rukun kesejahteraan dibincangkan bermula dengan takrifan kebiasaan, iaitu kehidupan baik yang dikaitkan dengan kedudukan kewangan. Manakala takrifan Dasar Madani ialah keseimbangan antara kejayaan dan kebahagiaan yang dirasai hasil daripada pengalaman kerohanian. Visinya ialah Malaysia yang sejahtera. Sementara sasarannya ialah seluruh rakyat dari segenap lapisan di semua pelosok tanah air.
Untuk semua itu, Dasar Madani yang mahu dicorakkan itu harus mengambil kira masyarakat majmuk di tiga wilayah berbeza. Dengan ini, rukun kesejahteraan akan dibincangkan dengan setiap satu unsur.
Untuk ekonomi dan kewangan, sistem etika baharu dalam pemikiran ekonomi yang tegas diperlukan manakala dari segi perundangan, hukum sedia ada hendaklah dicernakan semula. Dari segi institusi pula, Jabatan Perangkaan Malaysia perlu memantau perkembangan terbaharu tentang kesejahteraan yang berlaku di dalam dan luar negara.
Sudah tentu sistem pendidikan negara perlu diubah untuk membentuk pemikiran mengenai kesejahteraan hakiki yang tidak terhad kepada mengejar kebendaan semata-mata. Seterusnya untuk melonjakkan kefahaman tentang kesejahteraan hakiki itu, masyarakat hendaklah ditarbiahkan makna kesejahteraan yang ditakrifkan dalam dasar ini dari segi kebudayaan untuk penduduk di bandar dan golongan marhaen luar bandar.
RUMIT
Tidak dapat dinafikan banyak kerumitan, percanggahan, kekacauan dan keserentakan yang akan dihadapi untuk rukun kesejahteraan yang disebabkan ketidaktentuan zaman pasca normal.
Sebaliknya dengan adanya kecelikan tentang masa hadapan serta pemantauan daripada kerajaan melalui institusi pemberdayaan tertentu seperti Kementerian Ekonomi, pasti akan dapat mengatasinya dengan seadanya.
Inilah sebetulnya bagaimana taklimat tentang Dasar Madani perlu disampaikan, khususnya ciri, prinsip dan tindakan untuk menjayakannya selain cabaran yang dihadapi.
Dengan cara ini, apa yang ditetapkan dalam buku itu membolehkan pemahaman serta penerapannya bukan sahaja akan menjadi kian baik, juga lebih selari dengan segala apa yang dihasratkan kerajaan.
Ini penting sekali agar kejayaan Dasar Madani ini bukan sahaja keberhasilannya merata sama dalam erti menyeluruh dalam kalangan rakyat, juga subur mekar dengan maksud berkembang maju di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Penulis ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).