Masih ramai kurang faham Dasar Madani walau setelah setahun

Oleh Profesor Emeritus Datuk Dr.  Teo Kok Seong 

 

SUDAH setahun Dasar  Madani dilancarkan.  Namun banyak  pihak termasuklah agensi kerajaan sendiri didapati masih kurang pemahaman tentang  dasar itu, apatah lagi rakyat  yang berperanan untuk  menjayakannya.  

Ini antaranya kerana mereka yang sepatutnya  menerapkan dasar itu didapati tidak pun merujuk  sepenuhnya kepada sumbernya yang satu-satu itu,  iaitu buku Membangun Negara  Madani: Visi dan Kerangka  Dasar Reformasi. 

Buku yang setebal 213  halaman sebenarnya adalah  kitabnya, iaitu dokumen yang  tertera perencanaan yang  menunjukkan perkara yang boleh dicapai melalui Dasar  Madani selain bagaimana  ia dapat dijayakan. Dengan  kata lain, ia adalah buku yang  mengandungi maklumat  terpenting tentang Dasar  Madani. 

Mukadimah atau prakata  yang sangat panjang itu selain  berupa pengenalan kepada  buku itu tentang kandungan,  cakupan serta matlamatnya,  sebetulnya adalah maklumat yang sudah begitu tuntas  daripada pengarang sendiri untuk bukan sahaja memperkenal Dasar  Madani yang diilhamkan  tetapi juga untuk terus  membincangkannya dari  pelbagai sudut yang menjadi  landasan tunjang kejayaannya  kelak. 

Antara yang terpenting  ialah zaman pasca normal,  iaitu semasa peralihan yang dipenuhi kerumitan,  kekacauan dan pertentangan  kerana paradigma lama yang  tidak terpakai lagi dan yang  baharu belum lagi wujud  sebagai gantian. Oleh itu,  pengarang mengajak kita  untuk melengkapi diri dengan  apa-apa jua ilmu pengetahuan  yang ada kini tentang zaman  pasca normal agar kemajuan  negara tidak terencat oleh  kebiasaan lama yang sudah  lapuk selain tidak mangkus  lagi. 

Seterusnya Dasar Madani  yang mengangkat enam  nilai sebagai rukun, iaitu  kemampanan, kesejahteraan,  daya cipta, hormat, keyakinan  dan ihsan, hendaklah  diterokai pada lapan unsur,  iaitu ekonomi dan kewangan,  perundangan, institusi,  pendidikan, kemasyarakatan,  kebudayaan, bandar serta  luar bandar. Dalam pada ini,  enam rukun itu tidak sesekali  berperanan secara berasingan,  tetapi saling berkaitan dan  bergantungan antara satu  sama lain, untuk menjadikan  dasar ini lebih manusiawi,  bersifat masa hadapan di  samping mengekalkan tradisi  kita yang dikongsi bersama  selama ini. 

Selanjutnya dalam  membincangkan enam rukun  itu, ia hendaklah mengikuti  susunan yang tersedia dan  bukan sewenang-wenangnya.  Ini sangat penting agar  kerajaan dan rakyat bukan  sahaja bekerjasama dengan  erat, juga sederap dalam  haluan untuk merealisasikan  masa hadapan negara yang  lebih cerah. 

Untuk tujuan ini, Dasar  Madani menyediakan sebilangan langkah untuk  diikuti agar kejayaannya  bukan sahaja terarah, juga  seragam untuk dikecapi  rakyat. 

Langkah itu bermula dengan takrifan kebiasaan  pada satu-satu rukun itu, misalnya hormat. Ia  kemudiannya diikuti takrifan  mengikut Dasar Madani yang  luas dan tidak sesekali terikat  dengan makna sempit pada  kebiasaannya itu. 

Seterusnya ialah visi  yang mahu dicapai dan  masyarakat atau kawasan  yang menjadi sasaran. Selepas  itu baharulah gagasan yang  mahu dicapai oleh satu-satu  rukun itu, dibincangkan pada  setiap unsur. Contohnya  kebudayaan. 

Setelah selesai semuanya,  perbincangan hendaklah  pula berkisar pada tujuh  perkara lain iaitu kerumitan,  percanggahan, kekacauan,  keserentakan, masa hadapan  dan perubahan, pemantauan  serta institusi pemberdayaan.

Sebagai contoh, rukun kesejahteraan dibincangkan bermula dengan takrifan  kebiasaan, iaitu kehidupan  baik yang dikaitkan dengan  kedudukan kewangan.  Manakala takrifan Dasar  Madani ialah keseimbangan  antara kejayaan dan  kebahagiaan yang dirasai  hasil daripada pengalaman  kerohanian. Visinya ialah  Malaysia yang sejahtera.  Sementara sasarannya ialah  seluruh rakyat dari segenap  lapisan di semua pelosok  tanah air. 

Untuk semua itu,  Dasar Madani yang mahu  dicorakkan itu harus mengambil kira masyarakat  majmuk di tiga wilayah  berbeza. Dengan ini,  rukun kesejahteraan akan  dibincangkan dengan setiap  satu unsur.  

Untuk ekonomi dan kewangan, sistem etika  baharu dalam pemikiran  ekonomi yang tegas  diperlukan manakala dari segi  perundangan, hukum sedia  ada hendaklah dicernakan  semula. Dari segi institusi  pula, Jabatan Perangkaan  Malaysia perlu memantau  perkembangan terbaharu  tentang kesejahteraan yang  berlaku di dalam dan luar  negara. 

Sudah tentu sistem pendidikan negara perlu  diubah untuk membentuk  pemikiran mengenai kesejahteraan hakiki yang  tidak terhad kepada mengejar  kebendaan semata-mata.  Seterusnya untuk melonjakkan kefahaman  tentang kesejahteraan hakiki itu, masyarakat hendaklah ditarbiahkan makna kesejahteraan yang  ditakrifkan dalam dasar  ini dari segi kebudayaan  untuk penduduk di bandar dan golongan marhaen luar  bandar. 

RUMIT 

Tidak dapat dinafikan banyak kerumitan, percanggahan, kekacauan  dan keserentakan yang  akan dihadapi untuk rukun kesejahteraan yang  disebabkan ketidaktentuan  zaman pasca normal.  

Sebaliknya dengan adanya  kecelikan tentang masa  hadapan serta pemantauan  daripada kerajaan melalui  institusi pemberdayaan tertentu seperti Kementerian  Ekonomi, pasti akan dapat  mengatasinya dengan seadanya. 

Inilah sebetulnya bagaimana taklimat tentang Dasar Madani perlu  disampaikan, khususnya  ciri, prinsip dan tindakan  untuk menjayakannya selain  cabaran yang dihadapi.  

Dengan cara ini, apa yang  ditetapkan dalam buku itu  membolehkan pemahaman  serta penerapannya bukan  sahaja akan menjadi kian baik, juga lebih selari dengan  segala apa yang dihasratkan  kerajaan.  

Ini penting sekali agar kejayaan Dasar Madani ini  bukan sahaja keberhasilannya  merata sama dalam erti  menyeluruh dalam kalangan  rakyat, juga subur mekar  dengan maksud berkembang  maju di Semenanjung, Sabah  dan Sarawak. 

Penulis ialah Felo Majlis  Profesor Negara (MPN) dan Institut  Masa Depan Malaysia (MASA).

Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/2024/01/masih-ramai-kurang-faham-dasar-madani-walau-setelah-setahun/

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found