TEKS UCAPAN
YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PENGERUSI INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA (MASA)
MAJLIS PENGANUGERAHAN GERAN PENYELIDIKAN
PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP) 2.0
PADA 17 MEI 2023 (RABU); PUKUL 11.00 PAGI
TAMU HOTEL & SUITES, KUALA LUMPUR
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamuálaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.
YB Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin
Ahli Lembaga Pemegang Amanah
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
YBrs. Saudara Azril Mohd Amin
Ketua Pegawai Eksekutif MASA
Para Penerima Geran Program Pembangunan Dasar MASA 2.0,
Wakil media, tuan-tuan, puan-puan, hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian.
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat.
- Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat hadir bersama-sama dalam Majlis Penganugerahan Geran Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 pada pagi yang mulia ini.
- Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para penyelidik yang telah dipilih sebagai penerima geran MPDP pada kali ini.
- Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Institut Masa Depan Malaysia (MASA) yang meneruskan pelaksanaan geran MPDP untuk siri yang kedua pada tahun ini.
Peranan MASA Sebagai Peneraju Bidang Penyelidikan Dasar
- Institut Masa Depan Malaysia, atau ringkasnya MASA diasaskan pada tahun 2019. MASA berperanan sebagai sebuah badan pemikir bebas yang menjalankan penyelidikan khususnya dalam bidang ekonomi, sosial dan politk. Dengan penyelidikan yang dilaksanakan, pihak MASA telah menyediakan cadangan serta input dasar ke arah pembangunan dasar awam berpandukan nilai-nilai kemakmuran bersama.
- Semenjak awal penubuhannya, MASA telah terlibat bersama-sama dengan para pemegang taruh dalam pelbagai sektor termasuk ahli-ahli akademik, pertubuhan ekonomi, badan-badan bukan kerajaan, pihak swasta dan agensi kerajaan untuk membangunkan kerangka dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), yang antara lain bertujuan untuk mencapai taraf hidup rakyat Malaysia yang wajar serta memacu kemajuan dan kemakmuran ekonomi yang adil dan saksama.
- Semasa pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, matlamat WKB 2030 telah dijajarkan dengan inisiatif-inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Antara intipati utama dasar ini ialah untuk terus mengangkat kedudukan sosio-ekonomi masyarakat Bumiputera di negara ini agar mereka dapat mengecap nikmat ekonomi yang adil dan saksama dalam sebuah negara yang maju dan makmur.
- Pada masa yang sama, MASA turut menjadi wadah intelektual yang menggabungkan para pakar dan ahli akademik merentas bidang ekonomi, sosial, pendidikan, teknologi, alam sekitar dan lain-lain menerusi siri wacana, forum dan sesi libat urus bersama pemegang taruh.
- Sejajar dengan hasrat dan visi MASA sebagai antara peneraju penyelidikan dasar, maka Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) telah diperkenalkan buat julung kalinya pada bulan September 2021 untuk menyokong penghasilan kajian berimpak tinggi yang menyumbang ke arah pembangunan sosioekonomi negara.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Geran Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0
- Saya berbesar hati kerana MPDP 2.0 pada kali ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada kalangan ahli penyelidik dan akademia dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di seluruh negara.
- Sebanyak 27 kertas cadangan telah disenarai pendek oleh panel penilai, dan setiap penerima geran MPDP 2.0 layak menerima geran penyelidikan sebanyak RM10,000.00.
- Di awal penubuhan MASA, saya telah menggariskan peranan MASA sebagai badan pemikir strategik di negara ini untuk memperkukuh usaha pembangunan negara. Program MPDP ini merupakan salah satu program flagship MASA untuk memenuhi agenda tersebut.
- Ini dibuktikan melalui kejayaan menerbitkan 30 kertas dasar pada tahun lepas dengan penumpuan terhadap isu-isu kritikal pemulihan ekonomi negara. Penerima geran turut menghasilkan resolusi dalam Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial anjuran Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang saya pengerusikan pasca pandemik bagi membantu langkah-langkah pemulihan negara.
- Antara bidang tumpuan penyelidikan MPDP 2.0 merangkumi isu-isu relevan seperti perubahan iklim, keterjaminan bekalan makanan, menangani keciciran pembelajaran, memacu perniagaan, rumah mampu milik, pembinaan daya tahan sistem kesihatan dan kesiapsiagaan menghadapi krisis pada masa depan serta perlindungan sosial.
- Saya tertarik dengan beberapa cadangan penyelidikan yang dikemukakan oleh penerima geran MPDP 2.0 yang turut hadir pada pagi ini. Antaranya isu perubahan iklim yang disyorkan oleh Madya Dr. Siti Hafsyah Idris dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Perubahan iklim merupakan isu global yang penting pada masa ini. Malaysia tidak terkecuali daripada berhadapan dengan impak perubahan iklim yang agak ketara, termasuk insiden banjir yang semakin kerap berlaku sejak akhir-akhir ini serta cuaca panas yang sedang melanda negara yang menjejaskan kesihatan dan kehidupan rakyat.
- Saya berharap agar pasukan penyelidik yang menjalankan kajian mengenai isu perubahan iklim dapat meneliti undang-undang, peraturan dan garis panduan sedia ada di semua peringkat, khususnya dalam aspek mitigasi dan adaptasi bagi memastikan kesiapsiagaan Malaysia dalam menghadapi sebarang bencana sentiasa berada di tahap yang terbaik. Selain itu, kesedaran masyarakat untuk memelihara alam sekitar juga mestilah sentiasa dipupuk demi mewujudkan kehidupan yang lestari.
- Salah satu cadangan yang juga amat dekat dengan saya ialah berkaitan pembangunan usahawan Bumiputera oleh Madya Dr. Samsul Ariffin Bin Abdul Karim dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan penyelidikan yang bertajuk “Strategi Polisi Perniagaan Bumiputera Di Negeri Sabah Berteraskan Transformasi Digital Untuk Pembangunan Sosioekonomi Bumiputera Sabah”.
- Begitu juga syor oleh Madya Dr. Ng Boon Kwee dari Universiti Malaya (UM) yang berhasrat meneroka potensi inovasi masyarakat di peringkat akar umbi merentas pelbagai bidang bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi mereka. Projek ini adalah seiring dengan inisiatif transformasi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), khususnya untuk menggalakkan penyertaan golongan rentan dalam strategi dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan ke arah pembangunan yang lebih inklusif.
- Selain itu, aspek pendidikan juga amat relevan dengan mengambil kira impak pandemik yang telah mengubah landskap pendidikan negara, seperti mana yang saya telah tekankan semasa mengetuai MPN terutamanya dalam usaha merangka program khas atau catch-up program bagi membantu pelajar yang tercicir dalam pembelajaran.
- Antaranya, kertas cadangan daripada Bity Salwana Alias dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang mengkaji bagaimana pendidikan bukan formal dapat membantu menangani keciciran pembelajaran serta meningkatkan kebolehpasaran graduan pada masa akan datang, seperti yang dihasratkan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
- Kesemua tajuk projek ini amat relevan dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan saksama merentas semua lapisan masyarakat. Saya juga menyarankan agar para penyelidik MPDP 2.0 dapat melihat isu merentas bidang terutamanya yang melibatkan golongan B40 yang jumlahnya kian meningkat selepas pandemik. Pendapatan mereka merosot selepas pandemik dan pada masa yang sama mereka juga berhadapan dengan bebanan kos sara hidup dan inflasi yang semakin meningkat. Bagi mereka yang mempunyai pinjaman bank, kesan kenaikan OPR juga meningkatkan komitmen hutang yang mesti dibayar setiap bulan. Semua ini menyebabkan wang yang ada di dalam poket mereka semakin berkurangan sedangkan perbelanjaan mereka kian meningkat.
- Tidak hairanlah, dalam beberapa kajian terkini yang saya lihat, majoriti rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40 dan M40 merasakan bahawa kedudukan kewangan peribadi mereka semakin terjejas. Kerana itulah terdapat gesaan yang kuat daripada rakyat supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP yang boleh mereka gunakan pada masa yang agak kritikal sekarang ini bagi menampung keperluan harian. Malangnya, kerajaan tidak mendengar keluhan dan permintaan rakyat, selain tidak mempunyai sebarang langkah yang konkrit bagi membantu rakyat menghadapi zaman yang sukar pada masa ini.
- Janganlah semasa sebelum berkuasa pandai bercakap, tetapi apabila berkuasa tak pandai buat. Malah, menutup mata dan memekakkan telinga apabila berhadapan dengan tuntutan rakyat. Langsung tidak peka dan tidak prihatin terhadap nasib rakyat jelata.
- Sebahagian besar daripada golongan B40 ini adalah Bumiputera. Dengan masalah pendapatan mereka yang kian merosot dan tekanan kos sara hidup serta inflasi yang kian meningkat, saya bimbang matlamat untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat Bumiputera seperti yang menjadi dasar kerajaan sebelum ini akan terjejas.
- Justeru, saya menggesa kerajaan supaya segera mengambil langkah-langkah yang konkrit dan menyeluruh untuk menangani masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat pada masa ini. Langkah-langkah yang berbentuk runcitan atau “piecemeal” tidak memadai untuk menangani masalah yang berbentuk struktural seperti kos sara hidup dan inflasi yang memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan rakyat dan kemakmuran negara.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Kesinambungan MPDP Ke Arah Memacu Penyelidikan Dasar Negara
- Menerusi program MPDP, pelbagai usaha telah diambil ke arah memacu bidang penyelidikan dasar negara. Sehubungan itu, MASA perlu terus komited untuk memainkan peranannya dengan menjalin kerjasama strategik dan kolaborasi penyelidikan bersama para penyelidik IPTA dan IPTS.
- Saya berharap agar MPDP dapat terus menjadi pencetus kepada kerjasama penyelidikan antara MASA dan IPTA-IPTS serta badan-badan pemikir yang lain. Semoga segala input dan hasil penyelidikan yang konstruktif dan bernas daripada MPDP 2.0 dapat menyumbang ke arah pembangunan negara, sekali gus menyebarluaskan gagasan kemakmuran bersama demi manfaat rakyat.
- Bagi pihak MASA, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para panel penilai yang terlibat dalam proses penilaian kertas-kertas cadangan MPDP.
- Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada MASA, para penerima geran MPDP dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif MPDP 2.0.
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.