Teks ucapan YB Tan Sri Dato Haji Muhyiddin bin Haji MD Yassin

TEKS UCAPAN

YB TAN SRI DATO HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MD YASSIN

AHLI PARLIMEN PAGOH

 

PERBAHASAN BELANJAWAN 2022

10 NOVEMBER 2021 (RABU) 12 TENGAH HARI

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Datuk Yang Dipertua,

 

  1. Izinkan saya untuk merakamkan ucapan tahniah kepada YB Menteri Kewangan atas pembentangan Belanjawan 2022 pada 29 Oktober yang lalu.

 

  1. Seperti yang saya tekankan sebelum ini, proses pemulihan negara tidak berlaku dalam sehari dua. Alhamdullilah, hari ini rakyat mula melihat cahaya di hujung terowong hasil kejayaan Kerajaan Perikatan Nasional menguruskan COVID-19 lebih setahun lalu di samping Program Vaksinasi yang kita laksanakan mulai Februari tahun ini, yang hari ini menyaksikan kes positif COVID-19 di negara kita  semakin berkurangan.

 

  1. Ekoran daripada strategi vaksinasi yang mantap, Malaysia muncul antara negara yang mencatatkan kadar imunisasi tertinggi di dunia dengan lebih 95.5% daripada populasi dewasanya telah divaksin sepenuhnya. Sehingga kini, hampir 70% remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksin, dengan 83% daripada mereka telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

 

  1. Hasilnya hari ini, sektor pendidikan telah dibuka semula dengan sesi persekolahan dan pengajian anak-anak di institusi pengajian tinggi secara bersemuka telah pun dimulakan secara berperingkat. Di samping itu, sektor ekonomi dan sosial pula hampir kesemua telah beroperasi semula. Insya-Allah, sektor pelancongan juga akan kembali rancak dengan pembukaan sempadan negeri dan negara tidak lama lagi.

 

  1. Saya percaya dengan pembukaan sektor-sektor ini dalam suasana norma baharu, ditambah dengan bantuan kerajaan yang berterusan, akan membantu merancakkan lagi proses pemulihan negara seperti yang dirancang.

 

Datuk Yang Dipertua,

 

  1. Belanjawan 2022 amat penting bagi memastikan kesinambungan segala usaha dan inisiatif yang telah dimulakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional sejak Mac tahun lepas, termasuk 8 pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 dapat terus kukuh memacu pemulihan negara pasca COVID-19.

 

  1. Pada dasarnya, saya mengalu-alukan inisiatif dalam belanjawan kali ini terutamanya usaha kerajaan untuk meneruskan pelbagai bentuk bantuan langsung kepada rakyat di samping insentif untuk melonjakkan sektor industri dan perniagaan bagi meringankan beban semua pihak yang terkesan.

 

  1. Namun begitu, pemulihan bukan hanya bermakna membawa negara kembali kepada kedudukan asal sebelum pandemik. Sebaliknya kita mahu mencapai tahap yang lebih baik daripada itu. Justeru, usaha-usaha pemulihan perlulah bersifat luar biasa, dengan izin ‘out of the box’ dan ‘surpetition’ bagi mewujudkan pertumbuhan yang mantap dan gemilang, yang mampu meletakkan kembali Malaysia di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

 

  1. Seperti yang selalu saya tekankan, di sini, pendekatan bersepadu seluruh negara atau dengan izin, `whole of nation approach’ perlu didakap erat, dihayati dan dijayakan oleh setiap seorang daripada rakyat negara yang tercinta ini. Janganlah ada di antara kita hanya berpeluk tubuh, jangan pula hanya tahu menuding jari, mencari salah orang lain, seolah-olah kita sahaja yang betul. Sebaliknya masing-masing perlu mengambil tanggungjawab untuk memulihkan negara ini bersama-sama.

 

Datuk Yang Dipertua,

Mentransformasi sistem kesihatan awam

 

  1. Selepas melalui episod getir pandemik COVID-19 lebih setahun lamanya, tidak boleh kita nafikan pentingnya untuk menambah baik sistem kesihatan dan penjagaan kesihatan di negara kita. Semasa menjadi Perdana Menteri, saya telah mencadangkan Pelan Induk Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia (National Healthcare System Reform Blueprint) Ini merupakan iktibar daripada apa yang telah kita lalui yang memperlihatkan kelemahan sistem kesihatan kebangsaan, dari segi logistik, fasiliti malah tahap kesiapsiagaan para profesional dan petugas kesihatan. Sistem kesihatan kita hampir lumpuh impak daripada pandemik yang di luar dugaan kita.

 

  1. Saya bersetuju bahawa sejumlah peruntukan yang besar perlu untuk menambah baik fasiliti kesihatan dan menjaga kebajikan para petugas kesihatan di dalam negara kita. Namun pada masa yang sama, kita juga perlu agresif meneroka potensi industri farmaseutikal untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan ubat-ubatan berasaskan kekayaan sumber asli tempatan termasuk herba. Langkah ini akan dapat mengurangkan kebergantungan ubat-ubatan import dan meningkatkan akses ubat-ubatan untuk semua.

 

  1. Galakan pelaburan dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang melibatkan institusi tempatan seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga perlu dipertingkatkan. Kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah dana yang mencukupi bagi membiayai intervensi kesihatan terhadap penyakit jarang jumpa (rare diseases) termasuk pembiayaan ubat-ubatan orphan medicines.

 

  1. Di bawah pelan induk kesihatan itu, program khusus pembangunan vaksin melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia mesti diwujudkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan kesihatan awam negara dalam menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa akan datang.

 

  1. Sistem penjagaan kesihatan juga perlu memberi tumpuan kepada aspek penjagaan kesihatan mental untuk mewujudkan sistem sokongan yang kukuh kepada rakyat terutamanya kumpulan yang menghadapi masalah tekanan kerja yang serius seperti frontliners iaitu petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan serta guru.

 

Datuk Yang Dipertua,

Memperkasa sektor pendidikan

 

  1. Sektor pendidikan telah menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2022 iaitu sebanyak RM67.1 bilion atau sekitar 20 peratus daripada keseluruhan jumlah belanjawan. Peruntukan ini meliputi RM52.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan manakala RM14.5 bilion lagi untuk Kementerian Pengajian Tinggi.

 

  1. Kita berterima kasih atas komitmen kerajaan untuk meneruskan inisiatif sedia ada seperti menyediakan peranti dan gajet kepada pelajar B40 di bandar dan luar bandar, pemerkasaan sekolah pendidikan khas, membaik pulih dan menaik taraf sekolah-sekolah daif di seluruh negara khususnya di wilayah Sabah dan Sarawak.

 

  1. Di sebalik pembangunan prasarana dan penyediaan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran ini, cabaran yang lebih besar ialah memastikan anak-anak kita dapat dibantu untuk mengejar semula pelajaran yang tertinggal dan suasana pembelajaran yang terlepas dalam tempoh pandemik.

 

  1. Ya, kelas secara online atau PDPR berjalan sepanjang tempoh sekolah ditutup, namun kita tidak boleh menutup sebelah mata bahawa ada dalam kalangan pelajar yang ketinggalan dan tertinggal terutamanya mereka di pedalaman yang tiada akses kepada internet, malah golongan miskin bandar yang tiada gajet yang sesuai untuk belajar secara online. Justeru, kerajaan perlu meneliti dan menangani isu-isu pokok seperti ini.

 

  1. Saya ingin mencadangkan agar suatu Program Khas (Catch up) peringkat nasional diperkenalkan khusus bagi membantu pelajar di sekolah atau IPT yang tercicir sepanjang tempoh pandemik sama ada secara hybrid atau bersemuka mengikut kesesuaian pihak sekolah, universiti, guru dan pelajar.

 

  1. Di bawah Catch-up Programme, pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar yang tertinggal untuk diberi tumpuan mengikuti kelas intensif bagi menggilap semula pembelajaran mereka dan memupuk semangat untuk mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.

 

  1. Untuk menjayakan program ini, pihak guru dan sekolah perlu diberikan sokongan seperti penyediaan kemudahan peranti, gajet dan internet serta sokongan moral yang kukuh untuk menangani masalah pelajar yang ketinggalan.

 

Datuk Yang Dipertua,

Jaminan peluang pekerjaan

 

  1. Saya mengalu-alukan jaminan kerajaan untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun hadapan, di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion.

 

  1. Seiring dengan perubahan landskap pekerjaan, saya berharap kerajaan dapat memberi penekanan terhadap bidang-bidang kemahiran baharu dalam usaha melahirkan pekerja berkemahiran tinggi terutama yang berteraskan transformasi digital. Dalam hal ini, penglibatan agensi seperti HRD Corp dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) perlu ditingkatkan selain penyediaan latihan reskilling dan upskilling yang komprehensif.

 

  1. Inisiatif ini perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen agar ia dapat memberi impak positif terutamanya bagi kumpulan yang paling terkesan seperti belia, siswazah menganggur dan pekerja yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik. Mereka ini mesti dibantu.

 

Datuk Yang Dipertua,

Penstrukturan Semula Bantuan Kerajaan

 

  1. Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah dan COVID-19 menyerlahkan lagi nilai murni tersebut apabila ramai individu yang tampil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Dalam pada itu, agensi-agensi yang berkaitan seperti Pusat Zakat, Baitulmal, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) turut tampil membantu.

 

  1. Bagi memastikan penyaluran bantuan dilaksanakan secara cekap, teratur dan sistematik, saya mencadangkan agar satu mekanisme diwujudkan untuk menstruktur semula semua jenis bantuan daripada pelbagai pihak ini.

 

  1. Mewujudkan sistem pengurusan bantuan yang bersifat end-to-end process dan automatik yang mana bantuan boleh terus dimasukkan ke akaun penerima bantuan dalam kadar segera sekiranya berlaku bencana, musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin/miskin tegar.

 

  1. Mewujudkan dasar graduasi bantuan atau Exit Policy bagi membolehkan penerima dibantu dalam jangka masa tertentu sehingga mereka mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan dalam tempoh yang agak lama.

 

Datuk Yang Dipertua,

 

Inisiatif Mengekal dan Meningkatkan Pelaburan Asing

 

  1. Dalam usaha untuk merancakkan semula ekonomi negara pasca pandemik COVID-19, Kerajaan hendaklah memberi fokus untuk menarik lebih banyak pelaburan baharu berteknologi tinggi dan teknologi hijau untuk jangka masa pendek dan panjang. Untuk itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama-sama kementerian lain yang berkaitan perlu menggiatkan misi pelaburan ke luar negara di samping meningkatkan kerjasama perdagangan serantau dan global.

 

Datuk Yang Dipertua,

Penutup

 

  1. Semenjak lebih setahun lalu, pandemik COVID-19 telah membadai negara dan kehidupan rakyat. Ramai dalam kalangan mereka khususnya kumpulan M40 dan B40 yang terjejas pendapatan. Ada yang jatuh miskin, perniagaan gulung tikar dan sebagainya. Kemiskinan kini menjadi satu masalah utama yang perlu ditangani oleh kerajaan.

 

  1. Sehubungan itu, saya berharap segala bantuan yang sewajarnya, yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2022 dapat disalurkan terus kepada sasaran. Langkah ini amat penting bagi memastikan golongan yang terkesan ini dapat dibantu segera dan tidak dibiarkan merana.

 

  1. Dalam pada itu, penyampaian segala insentif untuk komuniti perniagaan mestilah dipermudahkan untuk membantu mereka bangkit semula dan meraih keuntungan yang kesannya akan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

 

  1. Terbaharu, Moody’s Analytics mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang kepada 5.0 peratus tahun depan, disokong oleh pembukaan semula perjalanan domestik dan antarabangsa, kenaikan harga komoditi dan peningkatan dalam perdagangan global.

 

  1. Pastinya unjuran ini dibuat berasaskan sentimen pengguna dan komuniti perniagaan berikutan pembukaan pesat semua sektor ekonomi dan sosial, hasil kejayaan program vaksinasi kita.

 

Terima kasih.

Share Article

More Article

No data was found