Tanggungjawab Didik Kanak-Kanak Sebagai Aset Penting Negara

Oleh: Sim Why Jean, Penganalisis Penyelidikan (Politik), Institut Masa Depan Malaysia

Kanak-kanak tunjang harapan dan aspirasi negara untuk hari mendatang. Ibarat melentur buluh biarlah waktu rebung, peranan generasi muda hari ini harus diangkat dan diperkasa, terutamanya dalam konteks pembangunan modal insan kerana golongan ini bakal mencorakkan hala tuju negara.

Menurut Laporan Statistik Kanak-kanak Malaysia terkini oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah kanak-kanak di Malaysia pada 2020 sebanyak 9.24 juta orang, sekitar 28 peratus daripada populasi keseluruhan penduduk negara ini.

Bersempena Hari Kanak-kanak Sedunia 2021 yang diraikan pada 20 November setiap tahun, tarikh ini melambangkan pengiktirafan masyarakat terhadap sumbangan golongan anak muda merentasi pelbagai bidang.

Sekiranya diberi ruang dan peluang, sudah pasti anak-anak muda dapat menyinar dan menyerlahkan potensi masing-masing dalam apa jua bidang yang ingin diceburi kelak.

Dalam hal ini, kita sering menekankan peri pentingnya elemen keibubapaan, institusi kekeluargaan dan keprihatinan masyarakat agar sentiasa cakna dan peka terhadap keperluan kanak-kanak demi memastikan kebajikan mereka terbela.

Sehubungan itu, ibu bapa memainkan peranan amat penting dalam mencorakkan perkembangan kanak-kanak yang mampan, merangkumi aspek jasmani, rohani, intelek dan sosial. Ibu bapa harus mewujudkan sebuah persekitaran kondusif dengan sentiasa berkomunikasi dan meluangkan masa berharga bersama mereka.

Dengan bimbingan, sokongan dan galakan berterusan di peringkat awal, anak-anak bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira, malah mereka juga dapat melangkah keluar dari zon selesa.

Selaras Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) yang diratifikasi Malaysia pada 17 Februari 1995, beberapa elemen penting digariskan ke arah memelihara dan memperjuangkan hak serta kebajikan kanak-kanak. Antaranya seperti jaminan akses pendidikan dan kesihatan, menangani poket kemiskinan dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak serta penyertaan kanak-kanak dalam pembangunan negara.

Realitinya, Covid-19 yang melanda negara kita sejak Januari tahun lalu mengubah corak kehidupan kita, bahkan turut memberi impak signifikan terhadap golongan kanak-kanak terutamanya dalam aspek kelangsungan pendidikan.

Jika dahulu murid dapat mengikuti kelas secara fizikal, wabak ini menjejaskan seluruh ekosistem pendidikan sehingga menyebabkan mereka terpaksa berdepan pelbagai kekangan untuk mengadaptasi dengan menghadiri kelas dalam talian dan berinteraksi tanpa bersemuka.

Justeru, dalam mendepani cabaran kanak-kanak pasca Covid-19, pendekatan holistik perlu diambil ke arah pemulihan negara. Sebagai kesinambungan pembelajaran sepanjang tempoh Covid-19, Kerajaan memberi penekanan terhadap pembelajaran secara hybrid termasuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Satu inisiatif di bawah Kementerian Pendidikan ialah program DidikTV, sebuah saluran khusus pendidikan melalui rangkaian televisyen dilancarkan Februari lalu. Program Literasi dan Numerasi Sekolah Rendah pula dirangka bertujuan memastikan pelajar khususnya murid Tahun 2 dan tahun 3 dapat menguasai mata pelajaran teras seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Penyediaan pendidikan awal komprehensif dan menyeluruh perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan akses pendidikan tidak kira di kawasan bandar atau luar bandar. Langkah ini penting supaya tiada murid yang tercicir seiring Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4.

Langkah proaktif juga wajar diambil dalam usaha menangani isu seperti lost generation atau generasi yang hilang, misalnya mengkaji keberkesanan mekanisme pembelajaran dan pengajaran di luar dan dalam bilik darjah dengan mengambil kira sesi persekolahan tahun 2021 yang bakal dilanjutkan sehingga Mac 2022.

Dalam aspek kesihatan, program vaksinasi Covid-19 untuk remaja berumur 12 – 17 tahun yang sedang giat dijalankan amat dialu-alukan selain usaha memperluas liputan imunisasi kebangsaan termasuk untuk bayi seperti BCG, Hepatitis B, Difteria, Tetanus dan Pertusis.

Baru-baru ini, Malaysia diisytihar bebas daripada wabak polio oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kejayaan ini hasil tindakan kesihatan awam Kementerian Kesihatan menerusi kempen vaksinasi polio berikutan kes polio pertama selepas 27 tahun melibatkan seorang bayi berusia tiga bulan pada 2019.

Sebagai usaha mendokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, Program Rancangan Makanan Tambahan, Program Susu Sekolah dan Community Feeding khususnya kanak-kanak miskin bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) adalah penting untuk memastikan setiap kanak-kanak mendapat zat makanan secukupnya.

Di sebalik Covid-19, tumpuan khusus perlu diberi terhadap tahap kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak. Isu kesihatan mental tidak harus dijadikan stigma.

Sebaliknya, intervensi awal perlu dipergiat dengan kerjasama agensi dan NGO seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat KSK-Care Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Befrienders melalui perkhidmatan kaunseling, bantuan sokongan psikososial atau saringan ujian mental atau mental health screening di sekolah.

Selain itu, kerajaan harus meningkatkan penguatkuasaan terhadap jenayah seksual dan keganasan dalam usaha memperkukuh perlindungan kepada kanak-kanak terutamanya di alam siber selain meneliti cadangan mewujudkan sebuah badan bebas untuk melindungi hak dan kebajikan kanak-kanak menerusi Akta Suruhanjaya Kanak-kanak.

Pindaan terhadap Seksyen 77(3) Akta Kanak-kanak 2001 juga mampu memberi nafas baharu kepada golongan banduan muda dengan memberi peluang kepada mereka menuntut ilmu di Sekolah Henry Gurney.

Pemerkasaan kanak-kanak adalah tanggungjawab kita bersama. Justeru, pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, agensi, syarikat swasta dan masyarakat sivil perlu menggembleng usaha dalam memperkasa peranan golongan rentan dan menyantuni kanak-kanak di dalam komuniti.

Pusat zakat dan agensi di peringkat negeri turut berperanan menyokong perkhidmatan kanak-kanak serta menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan termasuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Tuntasnya, kanak-kanak perlu sentiasa diberi keutamaan kerana pelaburan dalam generasi muda adalah pelaburan demi masa depan negara.

Dengan komitmen semua pihak, aspirasi dan suara anak muda nescaya dapat diterjemahkan ke arah pembangunan negara yang lestari seiring pelan pemulihan negara dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Share Article

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on linkedin
Share on email

More Article

No data was found