By PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempertahan poster pertandingan kaligrafi Cina, yang terdahulunya muncul secara lebih signifikan dalam bahasa Mandarin dengan sasarannya adalah etnik Cina, bukan sahaja meleset tetapi juga memperlihat kejahilan dalam soal bahasa Melayu selaku bahasa utama negara, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa rasmi.
Sepatutnya Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang di dalamnya ikut terkandung Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, dijadikan rujukan. Dalam kes ini, PBT tidak menjadikan panduan apabila berhujah tentang maklumat pertandingan kaligrafi Cina dalam bahasa Mandarin – itu adalah lebih penting daripada isu poster itu yang dituduh membelakangkan bahasa Melayu.
Penghujahan begini bukan sahaja sangat mengelirukan, juga memperlihat ketidakbertanggungjawaban
PBT terbabit. Lebih malang lagi ialah agensi kerajaan itu yang rata-ratanya terdiri daripada etnik Melayu turut sama-sama jahil, malah lebih buta hati lagi daripada etnik bukan Melayu.
Ini kerana mereka sama sekali gagal memahami Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, khususnya tentang ranah rasmi yang wajib menggunakan bahasa Melayu. Walaupun terjemahan dibenarkan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, ia sepatutnya tidak diperlukan lagi setelah 60 tahun tertubuhnya Malaysia. Apabila masih sangat diperlukan, ini menunjukkan terdapat ramai etnik Cina yang tidak mengetahui bahasa Melayu dengan baik.
Sebenarnya inilah masalahnya yang secara langsung ada kaitan rapat dengan proses pembentukan negara bangsa kita yang tidak dapat dinafikan sudah gagal. Poster terangkum dalam iklan kerana ia merupakan pemberitahuan yang menggunakan ruang awam bagi menyampaikan sesuatu maklumat kepada khalayak.
Oleh sebab sedemikian untuk memastikan mudah dicapai, ia harus boleh difahami dengan senang lagi
cepat oleh sesiapa sahaja yang melihatnya. Dengan ini, ia tidak boleh sesekali menimbulkan apa-apa jua
masalah kefahaman kepada orang awam yang ingin mengetahui maklumat yang mahu dimaklumkan itu.
Sehubungan ini, sama sekali tidak patut timbul hujah daripada bangsa Cina, apatah lagi PBT bahawa
kaligrafi Cina adalah urusan etnik Cina. Walaupun begitu, natijahnya ialah poster itu yang diletakkan di ruang awam waima di kawasan etnik Cina dan untuk dicapai khalayak Tong Hua sahaja dalam media sosial juga berhak difahami oleh semua etnik di negara ini.
Untuk memastikan semua rakyat memahaminya, penggunaan bahasa rasmi negara bukan sahaja penting, tetapi ia wajib. Malang sekali setelah sekian lama negara ini tertubuh, kita masih berlegar
sekitar perkara asas yang hanya berlaku pada masa awal penubuhan sesebuah negara itu. Dengan kita
masih di takuk awal ini setelah 60 tahun, kita sebenarnya belum pun melepasi tahap untuk mula maju dalam proses pembentukan negara bangsa.
Ia berbeza sekali dengan yang berlaku di semua negara lain, khususnya di rantau ini yang lebih maju daripada kita dalam aspek ini.
LIBERAL
Seperkara lain ialah wujudnya fenomena yang sudah tentu tidak sihat, malah amat menakutkan ialah apabila etnik Melayu selaku penduduk asal selain kelompok majoriti lagi dominan, mula menjadi
liberal, malah amat terbuka sekali pemikiran mereka. Dengan ini, mereka didapati sudah mula kehilangan jati diri Melayu.
Dalam kes poster ini, etnik Melayu sepatutnya bukan sahaja mempertahan, juga menegaskan jati diri Melayu sebagai identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat, seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Etnik yang secara longgar dikenali sebagai Kontrak Sosial. Namun bukan sahaja tidak melakukannya, mereka bertindak sebaliknya sehingga ke tahap yang memeranjatkan etnik bukan Melayu sendiri.
Ini dapat dilihat apabila mereka menyokong kuat kesesuaian penggunaan bahasa Mandarin, sehingga sanggup sinis memerli penggunaan bahasa Tamil atau Arab untuk menghebahkan pertandingan
kaligrafi Cina itu kepada etnik Cina.
Perkara sebegini banyak berlaku, termasuklah sokongan etnik Melayu tertentu kepada cadangan etnik bukan Melayu agar ikut dilantik menganggotai jawatankuasa penelitian semula perundangan syariah.
Walaupun bersifat tindakan politik, ia sebenarnya memperlihat kesanggupan sebilangan etnik Melayu yang bukan sahaja mudah sekali menggadai jati diri Melayu, juga amat cepat dimanipulasi walaupun dalam ehwal agama suci mereka.
Etnik Melayu harus tegas dalam hal Melayu, apatah lagi Islam. Ini kerana ia adalah lambang dan proses
sosiobudaya yang wajib diangkat oleh semua etnisiti untuk menjayakan negara ini biarpun dalam kepelbagaian kita.
Sehubungan ini, bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini, tidak boleh sesekali dikompromi dalam apa-apa jua keadaan rasmi, apatah lagi yang memang terang-terangan tertakluk kepada perundangan negara.
Sebenarnya kelangsungan bahasa Melayu di negara ini terletak sepenuhnya hanya kepada etnik Melayu. Dengan sikap acuh tidak acuh begini hanya akan menyebabkan bahasa Melayu pasti menjadi bahasa kecil sahaja di tanah watannya sendiri dalam waktu terdekat ini. Dengan ini, ia hanya berperanan kecil sebagai terjemahan semata-mata kepada bahasa Mandarin, seperti yang diakui berlaku pada poster itu.
Sesungguhnya martabat bahasa Melayu sebagai bahasa negara tidak boleh sesekali sebegitu. Ia wajib berupa menjadi bahasa utama dan tidak boleh sesekali berperanan lebih rendah daripada itu.
Oleh itu, ia harus jauh lebih signifikan daripada yang lain-lain. Sesungguhnya itulah kedudukan mulia bahasa Melayu dalam dasar bahasa kita.
Penulis ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
Sumber: Utusan Malaysia