Sokong syor buka semula sempadan negara dengan SOP ketat

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menyokong syor pembukaan semula sempadan negara dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, pembukaan semula sempadan negara secara terancang yang disyorkan oleh Pengerusi
Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat memastikan aktiviti ekonomi negara terus kekal berdaya saing.

Menurut beliau, kerajaan perlu mencontohi strategi serta pendekatan yang telah diambil oleh negara-negara lain seperti New Zealand, Australia, Bali (Indonesia) dan Filipina yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa dan terancang bagi merancakkan kembali sektorsektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Walau bagaimanapun, sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

“Protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin contohnya perlu dikuat kuasa bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azril berkata, Malaysia dan negara lain di rantau ini perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

Dalam hal ini menurut beliau, ASEAN melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang bakal berkuat kuasa 18 Mac ini, mampu memainkan peranan bagi membolehkan gelembung perjalanan pelbagai hala di rantau ini berjalan lancar dalam merancakkan aktiviti ekonomi negara.

Ujar beliau lagi, pembukaan semula sempadan negara juga perlu dilaksanakan secara teliti berpandukan penilaian risiko, selepas diperhalusi dan dibentangkan oleh pihak berkepentingan, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Langkah ini adalah penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

“Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi, terutamanya industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu dirancakkan semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara.

Bagaimanapun, MASA menyeru agar semua pihak terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang ditetapkan dari semasa ke semasa dalam menjalani kehidupan harian bagi bersama-sama membantu usaha kerajaan ke arah pemulihan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Masa Depan Malaysia

Date: 14 February 2022

Source: https://www.edisi9.com.my/2022/02/sokong-syor-buka-semula-sempadan-negara-dengan-sop-ketat/ 

Share Article

More Article

No data was found