Rancangan Malaysia Ke-13 atau RMK-13 bagi tempoh 2026–2030 mencerminkan hasrat reformasi ekonomi negara di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
Realitinya Malaysia masih berdepan pelbagai cabaran struktur yang boleh mengekang keberhasilan pelaksanaannya termasuk pertumbuhan gaji sebenar yang perlahan berbanding inflasi, keterangkuman ekonomi Bumiputera yang masih lemah, jurang pembangunan wilayah yang melebar, serta produktiviti dan nilai tambah PMKS yang kekal rendah berbanding pertubuhan berskala besar.
Namun, tinjauan terhadap RMK-13 mendapati dasar yang digariskan masih belum cukup berani dalam menangani ketidakseimbangan struktur ekonomi dan jurang sosioekonomi yang semakin melebar.
RMK-13 tidak serius merapatkan jurang antara wilayah, negeri, dan antara yang kaya dan miskin: Jurang pembangunan ekonomi antara wilayah dan isi rumah dijangka akan melebar, negeri berpendapatan rendah khususnya negeri di Pantai Timur dan Sabah akan terus ketinggalan, manakala pendapatan antara keluarga kaya dan miskin akan kekal lebar.
Gaji pekerja kekal rendah dan tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup: Walaupun terdapat inisiatif dan strategi yang baik untuk meningkatkan gaji, sasaran gaji yang ditetapkan tetap rendah. Malah, kadar pertumbuhan sebenar gaji pekerja sepanjang tempoh RMK-13 adalah lebih rendah berbanding RMK-12.
Bumiputera akan terus ketinggalan: Tiada sasaran strategik Bumiputera bagi tujuan pemantauan di bawah RMK-13, walaupun sasaran strategik ini adalah merupakan sebahagian daripada sasaran utama di dalam pelan pembangunan Bumiputera jangka panjang PuTERA35.
PMKS akan terus tersisih daripada arus pembangunan ekonomi: Sasaran meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50% KDNK memerlukan kadar pertumbuhan hampir dua kali ganda daripada prestasi semasa.
Kejayaan RMK-13 bergantung pada reformasi dasar berani yang inklusif dan berasaskan keberhasilan bagi memastikan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI benar-benar tercapai.