Proses pemulihan negara perlu libatkan semua aspek kehidupan: Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses pemulihan negara mesti membabitkan segenap aspek kehidupan dan pembinaan yang turut melibatkan perpaduan kaum serta budaya.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, cabaran besar yang dihadapi bersama ialah bagaimana untuk menjadikan fasa-fasa pemulihan akan datang dapat dilakukan secara lebih menyeluruh dan cemerlang daripada apa yang dilakukan sebelumnya.

“Oleh itu, Pelan Pemulihan Negara ini perlu menyediakan strategi yang tuntas untuk Malaysia bangkit kembali daripada impak pandemik Covid-19 dengan mengenal pasti sektor ekonomi yang paling memerlukan perhatian yang perlu dibantu untuk bangkit semula.

“Tumpuan kepada pelancongan, pendidikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh jangka pendek dan sederhana perlu diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan selepas menyertai sesi ramah mesra dan dialog dengan kakitangan Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut MASA, Tan Sri Sulaiman Mahbob, serta felo kanan antaranya Prof Datuk Dr Denison Jayasooria, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Datuk Dr Madeline Berma.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, negara pastinya tidak akan dapat kembali seperti dahulu susulan kesan daripada pandemik Covid-19 yang turut melanda seluruh dunia.

“Tetapi apa yang sedang kita usahakan ini diharap menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik (Covid-19),” katanya.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Institut MASA, Muhyiddin berharap institusi itu dapat meneroka lebih banyak bidang penyelidikan dalam isu-isu yang melibatkan rakyat seperti kemiskinan, pendidikan dan pembinaan negara bangsa.

Institut MASA merupakan sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan dengan fokus awal untuk merangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). Institut itu mempunyai 12 felo yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial dan pendidikan.

Date: 13 Oktober 2021
Source and Image from: SatuBerita  – https://satuberita.my/index.php/2021/10/13/proses-pemulihan-negara-perlu-libatkan-semua-aspek-kehidupan-muhyiddin/

Share Article

More Article

No data was found