Pelantikan Muhyiddin jamin kesinambungan strategi keluar dari krisis COVID-19 – MASA

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) menyifatkan pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara adalah tepat dan sesuai untuk memastikan kesemua strategi pemulihan berada di landasan yang betul.

Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, lantikan itu secara langsung akan menjamin kesinambungan dan kestabilan dalam segala usaha dan strategi untuk membawa keluar negara dari krisis kesihatan kesan pandemik COVID-19.

“Sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri, beliau akan mengawal selia peralihan negara secara berfasa dari peringkat pengurusan krisis sehingga semua sektor sosial kembali normal dan pemulihan ekonomi berlaku sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Katanya, Malaysia sebelum ini pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa kerana kejayaan menguruskan pandemik semasa Muhyiddin memegang jawatan Perdana Menteri dan beliau telah merangka pelan untuk keluar dari krisis yang kini diteruskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Para pemerhati mengalu-alukan pelantikan ini kerana ia bukan sahaja mengehadkan gangguan dalam pendekatan negara menangani pandemik pasca polemik politik, bahkan dilihat sebagai suatu penghormatan terhadap Muhyiddin,” katanya.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataannya hari ini, mengumumkan bahawa pelantikan dibuat atas keyakinan kerajaan terhadap keupayaan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, memulihkan ekonomi dan memperbaiki kehidupan rakyat, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Semasa pentadbirannya, Muhyiddin memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan pakej bantuan berskala besar untuk meringankan beban rakyat, di samping program vaksinasi untuk seluruh negara.

Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah strategi pemulihan empat fasa yang dirangka oleh beliau, untuk menyaksikan peralihan keluar negara secara berperingkat berasaskan nilai ambang tiga indikator utama; iaitu kes harian COVID-19, keupayaan sistem kesihatan dan peratusan populasi yang telah melengkapkan suntikan vaksin.

“Sehingga kini, pelaksanaan program vaksinasi sudah mula menunjukkan kemajuan yang signifikan. Justeru, kalangan pakar meramalkan dengan pelantikan ini, negara akan terus bergerak maju melepasi setiap fasa dalam pelan pemulihan seperti yang dirancang,” kata Azril. – UtusanTV

Date: 04 September 2021
Source and Image from: Utusan TV – https://utusantv.com/2021/09/04/muhyiddin-masa/?fbclid=IwAR1GypG5UJBMBNGx9ZwUT5LOIbuoAE5eny-HMA1lTWaILzkFKihG3sPQLTc

Share Article

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on linkedin
Share on email

More Article

10 Sep 2021
Siaran Media
Ucapan  Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, memberikan keyakinan dan...
10 Sep 2021
Media Release
National Recovery Council chairman, Tan Sri Muhyiddin Yassin, has given that much-needed impetus...
10 Sep 2021
News
KUALA LUMPUR, 10 Sept — Visi realistik yang dibawa Pengerusi Majlis Pemulihan Negara...
10 Sep 2021
News
UCAPAN Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, memberikan keyakinan...