#6 : Pelaksanaan Dasar Bantuan Pendidikan Murid B40: Cabaran, Jurang dan Strategi

Sehingga kini, murid B40 masih dikaitkan dengan pencapaian akademik, sahsiah dan kokurikulum yang rendah. Kesukaran hidup terutama selepas pandemik COVID-19 semakin memburukkan keadaan. Motivasi murid terhadap persekolahan semakin rendah walaupun dakwaan menyatakan dasar bantuan telah dilaksanakan. Semakan Buku Dasar Pendidikan Kebangsaan mendapati Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika ini lebih berfokus kepada bantuan kewangan, pakaian dan makanan. Justeru kajian dilaksanakan dengan objektif meneroka cabaran dalam pelaksanaan dasar bantuan pendidikan kebangsaan sedia ada berkait murid B40, meneroka sejauh mana dasar sedia ada memenuhi lima tingkat keperluan murid B40, serta meneroka strategi meningkatkan pencapaian murid B40 melalui penambahbaikan dasar pendidikan.

Dapatan kajian mengesahkan, melalui dasar sedia ada, KPM memberi fokus terhadap keperluan fisiologi murid dengan menyediakan bantuan kewangan, makanan dan pakaian tetapi kurang fokus terhadap keperluan keselamatan, kasih sayang, penghargaan dan sempurna kendiri walaupun teori menyatakan semua keperluan yang dinyatakan perlu dipenuhi untuk memotivasikan manusia ke arah kehidupan yang lebih baik.

Pelaksanaan dasar sedia ada juga mengundang isu lain termasuk jumlah bantuan yang terhad, agihan bantuan kurang menepati, ketidaktepatan data dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid, bantuan disalah guna, maklumat bantuan tidak sampai kepada ibu bapa dan murid, tiada tindakan susulan terhadap murid yang menerima bantuan, dan tiada kolaboratif antara semua pihak yang terlibat dalam memberikan sumbangan.

Berdasarkan dapatan, antara cadangan utama ialah KPM mewujudkan sistem agihan bantuan bersepadu bagi menggantikan e-kasih, mewujudkan jawatankuasa pengurusan murid B40 di peringkat sekolah, mengkaji semula kategori dan jumlah bantuan yang diberikan, dan memberi pendedahan kepada pihak sekolah tentang pengurusan murid B40 berdasarkan lima tingkat keperluan manusia. Kesimpulannya, KPM perlu menambah baik dasar pendidikan sedia ada agar fokusnya tidak hanya kepada keperluan asas tetapi juga keperluan murid yang lain agar pencapaian murid B40 dalam akademik, sahsiah mahupun kokurikulum dapat ditingkatkan.

Share Article

More Article

No data was found