KUALA LUMPUR: Program khas peringkat nasional khusus bagi membantu pelajar di sekolah dan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang tercicir sepanjang tempoh pandemik perlu diperkenalkan.
Perkara itu dicadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin (BERSATU-Pagoh) yang mana program khas dikenali sebagai ‘Catch-Up’ boleh dilaksanakan sama ada secara hibrid atau bersemuka mengikut kesesuaian pihak sekolah, universiti, guru dan pelajar.
Di bawah program itu, katanya, pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar yang tertinggal untuk diberi tumpuan mengikuti kelas intensif bagi menggilap semula pembelajaran mereka dan memupuk semangat untuk mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.
“Bagi menjayakan program ini, pihak guru dan sekolah perlu diberikan sokongan seperti penyediaan kemudahan peranti, gajet dan internet serta sokongan moral yang kukuh untuk menangani masalah pelajar yang ketinggalan,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhyiddin berkata, di sebalik pembangunan prasarana dan penyediaan peralatan proses pengajaran dan pembelajaran, cabaran lebih besar adalah memastikan pelajar dapat dibantu untuk mengejar semula pelajaran yang tertinggal dan suasana pembelajaran yang terlepas dalam tempoh pandemik.
“Ya, kelas secara dalam talian atau sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR) berjalan sepanjang tempoh sekolah ditutup, namun kita tidak boleh menutup sebelah mata bahawa ada dalam kalangan pelajar yang ketinggalan dan tertinggal terutamanya di pedalaman yang tiada akses kepada internet,
“Malah golongan miskin bandar yang tiada gajet yang sesuai untuk belajar secara online. Justeru, kerajaan perlu meneliti dan menangani isu pokok seperti ini,” katanya
Sementara itu, Muhyiddin berkata, beliau bersetuju bahawa sejumlah peruntukan yang besar perlu untuk menambah baik fasiliti kesihatan dan menjaga kebajikan petugas kesihatan.
Namun, katanya pada masa yang sama, kerajaan perlu agresif meneroka potensi industri farmaseutikal untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan ubat-ubatan berasaskan kekayaan sumber asli tempatan termasuk herba.
“Langkah ini akan dapat mengurangkan kebergantungan ubat-ubatan import dan meningkatkan akses ubat-ubatan untuk semua.
“Galakan pelaburan dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) membabitkan institusi tempatan seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga perlu dipertingkatkan.
“Kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah dana yang mencukupi bagi membiayai intervensi kesihatan terhadap penyakit jarang jumpa termasuk pembiayaan ubat-ubatan ‘orphan medicines’,” katanya.
Di bawah pelan induk kesihatan, beliau berkata, program khusus pembangunan vaksin melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia hendaklah diwujudkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan kesihatan awam negara dalam menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa akan datang.
“Sistem penjagaan kesihatan juga perlu memberi tumpuan kepada aspek penjagaan kesihatan mental untuk mewujudkan sistem sokongan kukuh kepada rakyat terutamanya kumpulan yang menghadapi masalah tekanan kerja serius seperti petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan serta guru,” katanya.
Muhyiddin turut dicadangkan satu mekanisme menstruktur semula semua jenis bantuan daripada pelbagai pihak diwujudkan bagi memastikan penyaluran bantuan dilaksanakan secara cekap, teratur dan sistematik.
Oleh demikian, katanya, perlu wujud sistem pengurusan bantuan yang bersifat proses ‘end-to-end process’ dan automatik yang mana bantuan boleh terus dimasukkan ke akaun penerima bantuan dalam kadar segera sekiranya berlaku bencana, musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin/miskin tegar.
“Mewujudkan dasar graduasi bantuan bagi membolehkan penerima dibantu dalam jangka masa tertentu sehingga mereka mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan dalam tempoh yang agak lama,” katanya.
Beliau juga mencadangkan kerajaan memberi fokus menarik lebih banyak pelaburan baharu berteknologi tinggi dan teknologi hijau untuk jangka masa pendek dan panjang.
“Untuk itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama-sama kementerian lain yang berkaitan perlu menggiatkan misi pelaburan ke luar negara di samping meningkatkan kerjasama perdagangan serantau dan global,” katanya.
Dalam perbahasan yang sama, beliau turut mengalu-alukan jaminan kerajaan untuk menyediakan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun hadapan, di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion
“Seiring dengan perubahan landskap pekerjaan, saya berharap kerajaan dapat memberi penekanan terhadap bidang kemahiran baharu dalam usaha melahirkan pekerja berkemahiran tinggi terutama yang berteraskan transformasi digital.
“Dalam hal ini, pembabitan agensi seperti HRD Corp dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) perlu ditingkatkan selain penyediaan latihan reskilling dan upskilling yang komprehensif.
“Inisiatif ini perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen agar ia dapat memberi impak positif terutamanya kumpulan paling terkesan seperti belia, siswazah menganggur dan pekerja yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik. Mereka ini mesti dibantu,” katanya.