Saringan kesihatan rapi elak risiko kematian dalam tahanan

Oleh Sim Why Jean, Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia

Saban tahun kita sering digemparkan dengan insiden kematian dalam tahanan sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak dan mencetuskan kegusaran orang ramai.

Kes ini menuntut perhatian dan tindakan segera daripada pihak berkuasa untuk melindungi serta memperkukuh ruang lingkup hak asasi manusia supaya insiden seumpamanya tidak berulang.

Sejak 2020, sejumlah 171 jumlah kes kematian dalam tahanan direkodkan di Malaysia membabitkan 33 tahanan di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selebihnya, insiden berlaku di bawah Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara. Dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun lalu, terdapat 19 kes kematian berlaku dalam tahanan polis.

Angka ini tidak boleh dipandang enteng sebaliknya ia menuntut kebertanggungjawaban semua pihak kerana individu ditahan berhak menerima layanan adil, saksama dan berperikemanusiaan.

Hakikatnya, kes kematian dalam tahanan perlu diberi perhatian serius dan merentas fahaman politik kerana ia membabitkan nyawa insan.

Dalam hal ini, penubuhan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) di bawah kawal selia Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dilihat sebagai permulaan wajar mencerminkan keprihatinan pihak berkuasa menambah baik mengendalikan jenayah dan tatatertib.

Inisiatif ini sebahagian daripada usaha meningkatkan ketelusan dan keterbukaan siasatan berbanding kelaziman jika kes dahulunya disiasat pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau lokap di mana kejadian kematian dilaporkan.

Namun, sebagai langkah ke hadapan, ia turut membuka ruang kepada kerajaan mengenal pasti serta memperbaiki kelompangan dalam mekanisme sedia ada dengan mengambil kira pandangan dan syor disuarakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat.

Misalnya, agensi berkaitan perlu memastikan semak dan imbang efektif menerusi badan siasatan bebas bagi menjalankan fungsi siasatan tahanan polis, sama ada kematian secara semula jadi atau wujud unsur penganiayaan.

Langkah ini penting bukan sahaja bertujuan memantapkan institusi keselamatan dan pemulihan negara, tetapi menyuburkan sistem keadilan jenayah.

Selain mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Kanun Prosedur Jenayah, pembaharuan terhadap kerangka dan proses siasatan membabitkan kes kematian berlaku ketika tempoh tahanan amat diperlukan dan dikaji kerajaan dari semasa ke semasa.

Semak semula undang-undang lapuk

Antaranya, menyemak semula undang-undang lapuk serta membuat pindaan sewajarnya terhadap sistem koroner sedia ada seperti diperuntukkan di Singapura, Australia, United Kingdom (UK) serta negara Komanwel lain supaya ia sentiasa relevan.

Sehubungan itu, kerajaan wajar meneliti syor memperkenalkan Akta Mahkamah Koroner, khusus sebagai sebahagian daripada reformasi institusi bagi memperkukuh peranan koroner sebagai sebuah institusi bebas menangani proses siasatan kematian dalam tahanan.

Hal ini mengambil kira kapasiti dan fungsi sebenar mahkamah koroner yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pelbagai prosiding inkues, termasuk kes jenayah lain serta keterbatasan skop pihak penguat kuasa dalam konteks Kanun Prosedur Jenayah.

Kewujudan akta ini bukan sahaja dapat melancarkan urusan berhubung siasatan kematian dalam tahanan, tetapi berperanan menentukan bidang kuasa dan tugas masing-masing, termasuk memperincikan peranan Majistret atau hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak selaku koroner dalam inkues tertentu.

Menerusi akta ini, peranan dan skop peguam pemerhati dalam siasatan inkues dapat diperhalusi untuk memberi representasi sewajarnya serta penyertaan lebih bermakna kepada mereka mewakili keluarga mangsa dan pihak berkepentingan.

Selain itu, prosiding inkues juga boleh diperluas ke atas kematian dalam tahanan bagi kes berlaku di pusat tahanan imigresen, pusat rehabilitasi dan pemulihan lain selaras dengan seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.

Setiap siasatan dijalankan secara adil tentu dapat menonjolkan elemen ketelusan sepanjang prosiding inkues dan didukung sistem pelaporan jelas, termasuk hasil siasatan atau bedah siasat berkaitan kepada umum.

Pada masa sama, kerajaan juga perlu mengambil pendekatan proaktif daripada lensa pencegahan untuk transformasi aspek pengurusan dan penjagaan kesihatan di pusat tahanan.

Menurut Laporan Hak Asasi Manusia 2021, dianggarkan sekitar 57 peratus kematian dalam tahanan berpunca daripada masalah kesihatan serta tahap pemantauan kurang memuaskan.

Justeru, usaha memperluas akses kemudahan tahanan dan perkhidmatan rawatan perubatan perlu dipertingkat kepada setiap individu ditahan tanpa mengira latar belakang selari dengan Peraturan Minimum Standard bagi Layanan terhadap Tahanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambah baik infrastruktur dalam penjara

Bagi memastikan keberkesanannya, sejumlah peruntukan lebih besar harus disalurkan menerusi Belanjawan 2023 bakal dibentang kelak bagi pengurusan pusat tahanan dan sumber manusia.

Peruntukan ini bertujuan menambah baik infrastruktur dan kemudahan daif di penjara serta kem tahanan dan seterusnya mengatasi isu kesesakan dalam tahanan.

Di samping memastikan pusat tahanan dilengkapi kemudahan asas, budaya penyelenggaraan di dalam dan luar sel tahanan juga amat penting untuk memastikan tahap kebersihan optimum.

Penambahan tenaga kerja dari segi bilangan anggota petugas kesihatan pula dapat meningkatkan kekerapan pemantauan tahap kesihatan serta saringan kesihatan rapi, terutama apabila berdepan individu menghidap penyakit kronik atau memiliki rekod kesihatan kurang memuaskan.

Dengan pengemaskinian Seksyen 10 Kaedah-Kaedah Lokap 1953 yang mewajibkan pemeriksaan kesihatan terhadap Orang Kena Tahan (OKT), kewujudan Unit Kesihatan Dalam Tahanan turut dapat memudah cara perkhidmatan kesihatan dalam tahanan polis mengikut kesesuaian di fasiliti kesihatan terpilih.

Semua inisiatif ini dapat menyumbang persekitaran kondusif bagi mengurangkan risiko kematian dalam tahanan serta memenuhi hak asasi tahanan.

Menerusi usaha sama dan kolaborasi strategik merentas semua pihak berkepentingan termasuk agensi berkaitan, NGO serta masyarakat, segala usaha dan iltizam dapat digembleng ke arah mencari penyelesaian tuntas menangani isu kematian dalam tahanan, sekali gus melahirkan masyarakat cakna terhadap perlindungan hak asasi manusia.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2023/02/1059314/saringan-kesihatan-rapi-elak-risiko-kematian-dalam-tahanan

Gambar: https://assets.bharian.com.my/images/articles/tahanan-03_1675408700.jpg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found