Cina Peranakan mahu diiktiraf, wajarkah?

Oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

BABA Melaka merungut bahawa mereka diketepikan selama ini, lebih-lebih lagi selepas kemerdekaan sebagai subetnik Cina yang khusus. Ia tidak seperti pada zaman penjajahan yang mengiktiraf mereka sebagai Cina Negeri Selat. Kini mereka mahu diiktiraf semacam itu semula dalam bentuk Cina Baba atau Peranakan dalam pendaftaran negara.

Sehubungan ini, ia memerlukan penelitian rapi lagi tuntas. Ini kerana walaupun sebagai subetnik Cina seperti yang mahu dipohon itu, mereka kini sebenarnya tidak lagi banyak bezanya dengan Cina konvensional dalam banyak perkara. Ini ekoran budaya Cina umum yang semakin diamalkan mereka dengan lebih dominan berbanding pada masa lampau.

Pengambilan budaya Melayu secara signifikan sebagai identiti budaya dan juga etnik dalam kehidupan domestik Cina mereka adalah perkara yang sudah berlalu. Dengan kata lain, keadaan itu tidak wujud secara utuh lagi kini walaupun mahu digambarkan masih sedemikian sifatnya. Ini kerana generasi terkemudian tidak banyak lagi meneruskan tradisi Melayu. Malah mereka sudah lama mula kembali ke pangkuan budaya Cina umum, yakni tidak lagi mengamalkan unsur Melayu secara signifikan dalam kehidupan harian mereka. Antaranya menuturkan dialek Melayu Baba sebagai bahasa ibunda.

Tidak dapat dinafikan proses resinifikasi, iaitu menjadi Cina semula setelah banyak tersasar daripada etnisiti Cina sebenar kerana banyak mengambil amalan Melayu bukan sahaja memperlihat cara hidup domestik mereka jauh lebih Cina. Ia juga menggantikan pandangan alam kelompok ini, yakni cara mereka menginterpretasi realiti sekeliling yang tidak lagi berasaskan persepsi dan pemahaman tradisi Melayu. Semua ini kerana pendedahan kepada warisan Cina melalui pendidikan aliran Cina.

Sebenarnya apa-apa yang diperkata kini tentang Baba dan Cina Peranakan lain, misalnya Cina luar bandar di Kelantan dan Terengganu, adalah banyaknya perkara lampau, yakni pernah terjadi pada satu masa dahulu dan tidak banyak lagi berlaku kini, malah sesetengahnya tiada lagi pada masa ini. Sehubungan ini, golongan muda Cina luar bandar Kelantan yang menerima pendidikan aliran Cina rata-ratanya menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perhubungan sesama mereka. Malah sesetengahnya didapati kurang cekap bertutur dalam bahasa Melayu, sehingga kekadangnya dengan pelat Cina yang kuat seperti ada pada Cina konvensional.

Ini berlainan sekali dengan generasi terdahulu yang tidak ke sekolah vernakular Cina, yang selalu menggunakan bahasa Melayu dalam bentuk dialek Melayu Kelantan lagi untuk berkomunikasi sesama Cina luar bandar.

Dengan perubahan yang sangat mendadak akibat proses resini kasi yang intensitinya cukup tinggi apabila setiap kanak-kanak Cina itu akan dipastikan mendapat pendidikan aliran Cina sekurang-kurangnya selama enam tahun di peringkat sekolah rendah, Baba dan lain-lain itu rata-ratanya didapati sudah kurang malah tidak kuat lagi mengamalkan tradisi Melayu untuk mereka terus mempertahan jati diri peranakan.

SOSIOPOLITIK

Dengan ini, aneh sekali mereka mahu dikategorikan sebagai subetnik Cina Peranakan apabila perwatakan sosial dan budaya mereka kini rata-ratanya adalah bersifat bukan peranakan tetapi Cina konvensional.

Pengiktirafan sewaktu penjajahan oleh British itu ada asasnya. Ini kerana terdapat perbezaan amat ketara khususnya dari segi sosiobudaya selain sosiopolitik antara kelompok Cina ini yang sudah lama wujud di Tanah Melayu dengan etnik Cina yang baharu tiba. Oleh itu, ada keperluan untuk diserlahkan perbezaan nyata itu, lantas wujudlah pengkategorian yang mengasingkan dua subetnik Cina oleh British yang tidak dapat dinafikan sangat memihak kepada Cina Negeri Selat.

Dengan jati diri peranakan yang kejiwaan Melayunya sudah banyak luntur pada Cina Peranakan, antaranya disebabkan ke sekolah vernakular Cina dan lain-lain melalui proses resinifikasi yang amat giat sifatnya, permohonan untuk diikitiraf sebagai subetnik Cina yang masih mesra budaya Melayu didapati tidak relevan lagi.

Sehubungan ini, tidak dapat dinafikan makanan Baba yang banyak dipengaruhi tradisi Melayu itu boleh terus bertahan berbanding dengan kesenian Melayu, antaranya dondang sayang yang didapati kurang diminati generasi muda untuk meneruskannya. Sebenarnya makanan dan kesenian walaupun berupa unsur budaya penting, ia tidak dapat menandingi kepentingan pemikiran dan nilai yang diasaskan etos Melayu.

Dengan kurang dan tiadanya sifat asas begini, Baba dan Cina Peranakan lain hanya berketurunan peranakan pada masa ini. Ia tidak lebih daripada hakikat ini memandangkan banyak cara hidup Melayu tidak diamalkan lagi dan diambil alih satu per satu oleh amalan Cina. Dengan keadaan semasa ini yang tidak mungkin dapat mengembalikan suasana lampau sepenuhnya lagi, Baba dan Cina Peranakan lain akan malah sudahpun menjadi sebahagian daripada etnik Cina konvensional.

Dengan status semasa dan akan datang sebegini, pengiktirafan sebagai subetnik Cina khusus sebagai Cina Peranakan dalam pendaftaran negara tidak ada banyak relevansinya lagi. Proses resinifikasi mempunyai dampak yang kuat kepada kehidupan Cina Peranakan sama ada yang domestik mahupun nasional. Ini dapat dilihat apabila orientasi asas pemikiran mereka yang tidak lagi berasaskan etos Melayu. Ia jelas kelihatan pada pemikiran dan tindakan mereka, khususnya yang menerima pendidikan aliran Cina dan juga yang tidak setelah ikut dilanda proses resinifikasi yang kuat itu.

Sumber:https://www.utusan.com.my/rencana/2023/01/cina-peranakan-mahu-diiktiraf-wajarkah/

Gambar:https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/UTU_MLK_Pelancong3-XXXXX.jpg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found