Capgome dalam Malaysia Madani

Oleh Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw, Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh, Perancang Bahasa Dewan Bahasa & Pustaka (DBP)

KOSONG-KOSONG,bermulalah detik dan penentuan nasib dalam menjalani kehidupan mendatang pada Tahun Baharu Cina yang merupakan perayaan terpenting untuk orang Cina. Esok, satu lagi perayaan, iaitu capgome (Cap Goh Mei) diraikan serta dimeriahkan dengan letupan mercun dan bunga api.

Perayaan ini dicipta oleh kelompok masyarakat lampau berabad lamanya dan kekal diraikan di setiap penjuru dunia yang mengakui mereka mempunyai pertalian mahupun leluhur berbangsa Cina. Bayangkan sekiranya produk peradaban seperti Tahun Baharu Cina ini mahupun perayaan-perayaan lain tidak wujud, mana mungkin manusia era kini menelusuri dan memaknai citra warisan hebat yang diwarisi dari masa lampau ini.

Apabila menghayati peradaban, kita akan berusaha menghubungkannya dengan gagasan terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Malaysia Madani. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, madani bermaksud kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Ia juga merujuk kepada usaha untuk membentuk masyarakat dengan nilai-nilai kekeluargaan.

Capgome merupakan istilah Hokkien bermaksud malam ke-15 tahun baharu, simbolik sempurnanya Tahun Baharu Cina pada tahun ketika ia disambut. Bagi masyarakat Cina, capgome diraikan sebagai hari terakhir untuk berkumpul bersama keluarga dan orang tersayang. Seperti Tahun Baharu Cina, capgome disambut penuh kemeriahan dan kebahagiaan. Ahli keluarga dan saudara-mara berkumpul untuk makan dan berdoa agar kehidupan dan keluarga dilimpahi keberkatan. Sinonim dengan masyarakat Cina menyambut Tahun Baharu Cina bagi mengejar kesejahteraan seperti mana falsafah masyarakat madani yang mencari keadilan pada umat Malaysia.

Uniknya, apapun perayaan diraikan, tanpa kita sedari seluruh masyarakat memahami tentang konteks sesungguhnya Yang Maha Berkuasa mengawal akan kesejahteraan mahupun sebaliknya. Oleh hal demikian, musim-musim perayaan adalah peluang meneguhkan ikatan keluarga serta rumpun kejiranan agar kembali kepada fitrah iaitu berdoa memohon sesuatu yang baik.

Semasa ini, sudah tentu kediaman malah premis-premis mencari rezeki dihiasi dengan lampu-lampu untuk menggambarkan suasana riang perayaan capgome. Makanan yang disajikan semasa hari capgome kebiasaannya sama seperti juadah Tahun Baharu Cina. Setiap keluarga mungkin melayani juadah berbeza tetapi sambutan ini tetap dirayakan dengan meriah oleh ahli keluarga dan rakan-rakan.

SIMBIOSIS

Ada juga rakan-rakan pelbagai kaum tertarik dengan hidangan yee sang yang melambangkan symbol kemakmuran. Pelbagai jenis ramuan dan bahan seperti ikan mentah, sayur-sayuran, lobak, kacang tanah, biji wijen, serbuk rempah dan banyak lagi turut signifikan dengan wajah masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Aneka ramuan, rasa dan warna ini menjadi harmoni dan disatukan dengan semangat menyatu untuk menjadi lebih baik dan bersemangat di tahun baharu ini dan masa-masa akan datang.

Masyarakat madani yang diilhamkan Perdana Menteri pada 19 Januari lalu merupakan simbiosis hidup aman damai, menghormati antara satu sama lain, berbudi bahasa, sopan dan bebas menyatakan pendirian dengan wajar. Malaysia Madani yang diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani disasar untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka dalam usaha memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar. Kami melihat kepentingan ‘cinta’ itu relevan dalam semua aspek kehidupan termasuklah hubungan kemanusiaan, agama, politik dan berpotensi besar meniupkan pembaharuan dan boleh merevolusikan pendidikan manusiawi dalam masyarakat madani.

Cinta, kata keramat yang boleh dieksploitasi oleh peminjam nyawa yang tidak bertanggungjawab tetapi kata ini akan menjadi nadi kehidupan yang madani sekiranya diisi semangat jujur dan percaya bahawa baik dibalas baik, begitu juga sebaliknya kepada sesiapa sahaja. Malah Confucius juga menyebut bahawa hidup ini seperti roda dan sudah tentu fitrah ini adalah keadilan mutlak mesti kita fahami.

Sesuatu yang menarik tentang limau dan kaitannya dengan Tahun Baharu Cina termasuk capgome. Secara tradisi pada malam capgome, wanita yang belum berkahwin akan buang limau kerana dipercayai dalam masyarakat Hokkien bahawa perbuatan sedemikian bertujuan mencari jodoh yang baik. Ada juga menulis harapan pada limau kerana dipercayai malam capgome cukup bertuah dan segala Hasrat akan termakbul.

Moga-moga demikianlah kita dan negara ini. Dari luar dilihat cantik dan kita di dalam negaralah yang bersungguh-sungguh menjadikan negara ini ‘cantik’ di setiap sudut khususnya dalam aspek kemajuan prasarana negara dan keinsanan rakyatnya. Konsep ini neraca keseimbangannya dipengaruhi oleh kebijaksanaan golongan yang akan mengangkasakan masyarakatnya. Pelbagai usaha dan inisiatif untuk ‘mempercantikkan’ serta memupuk kembali nilai perpaduan dan semangat cinta negara bukan sahaja menjadi tanggungjawab pemerintah semata-mata tetapi juga rakyat. Bakkata pepatah, bagaikan aurdengan tebing, bulat air kerana pembentung. Bata satu-satu disusun tepat menjadi gedung. Bata satu-satu disusun kuat menjadi jambatan. Ayuh Malaysia!.

Sumber:https://www.utusan.com.my/rencana/2023/02/capgome-dalam-malaysia-madani/

Gambar:https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/KLC_CNY-Temple-21_1_23bb.jpg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found