Kenyataan Media Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa 2025

KENYATAAN MEDIA

SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA 2025

9 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR, Selasa – Sempena Hari Antirasuah Antarabangsa 2025, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menegaskan bahawa perjuangan menentang rasuah bukan sekadar tuntutan dasar tetapi juga merupakan kewajipan moral serta amanah negara.

Malaysia tidak akan mencapai kemakmuran tulen selagi integriti institusi terus dikompromi dan kepercayaan rakyat, terhakis.

Sejak penubuhannya, MASA kekal komited terhadap agenda pembaharuan institusi dan tadbir urus berintegriti yang merupakan asas penting mana-mana visi pembangunan jangka panjang, termasuk aspirasi kemakmuran bersama. Prinsip ini kekal teguh merentasi perubahan pentadbiran kerana integriti bukan isu politik – ia adalah persoalan masa depan negara.

MASA turut mengambil maklum pelbagai inisiatif dalam kerangka pembanterasan rasuah negara, termasuk Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.

Namun, lebih penting daripada kewujudan dasar ialah ketegasan dan ketelusan dalam pelaksanaannya. Setiap langkah memerangi rasuah mesti dilaksanakan secara profesional, berprinsip dan bebas daripada apa jua bentuk pengaruh luar bagi memastikan integriti institusi benar-benar terpelihara.

Realiti semasa menunjukkan bahawa cabaran masih besar. Malaysia kekal di kedudukan ke-57 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 – tidak berubah sejak 2023. Sasaran RMKe-12 untuk berada dalam kelompok 30 teratas menjelang 2025 dan aspirasi RMK13 untuk menembusi 25 teratas menjelang 2030 semakin sukar dicapai tanpa pembaharuan struktur yang lebih tegas.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai 2025 turut mendedahkan tiga ketakteraturan serius membabitkan lebih RM460 juta. Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi gambaran harga yang ditanggung rakyat.

Dalam era digital, penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pangkalan data bersepadu dan pemantauan masa nyata mampu memperkukuh ketelusan serta mengurangkan ruang manipulasi. Namun, teknologi hanya membawa makna apabila disertai keberanian institusi untuk menegakkan integriti tanpa kompromi.

Budaya toleransi sifar terhadap rasuah juga perlu dipupuk secara berterusan melalui pendidikan integriti yang kritikal, berasaskan bukti dan dekat dengan realiti masyarakat. Sebuah masyarakat berintegriti hanya dapat dibentuk melalui sistem yang turut berintegriti.

Pada masa sama, kerjasama antara sektor awam, sektor swasta, NGO dan masyarakat sivil mesti digerakkan dengan profesionalisme dan keterbukaan – bukan dipacu sentimen atau kepentingan sempit. Reformasi tadbir urus memerlukan usaha kolektif yang konsisten dan berkualiti tinggi.

Malaysia tidak akan mampu melangkah ke hadapan sekiranya rasuah terus membebankan negara dari segi ekonomi dan moral.

Hari Antirasuah Antarabangsa ini mengingatkan kita bahawa masa depan negara bergantung pada keberanian institusi dan masyarakat menolak rasuah dalam apa jua bentuk.

MASA akan terus bersuara dengan tegas, profesional dan berprinsip bagi memastikan pembaharuan institusi dilaksanakan dengan kejujuran, ketelusan dan keadilan sebenar.

Selamat Menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa 2025.

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Search

Kongsi Artikel

Artikel Lain

Siaran Media
KENYATAAN MEDIA SEMPENA HARI WANITA ANTARABANGSA 2026 8 MAC 2026 Penglibatan Wanita Adalah...
Siaran Media
KENYATAAN MEDIA TINJAUAN TINJAUAN PERSEPSI PRESTASI PENTADBIRAN, DASAR NEGARA DAN KEPIMPINAN POLITIK 6...
Siaran Media
KENYATAAN MEDIA SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA 2025 9 DISEMBER 2025 KUALA LUMPUR, Selasa...
Siaran Media
KENYATAAN MEDIA MAJLIS PENGANUGERAHAN GERAN PENYELIDIKAN PROGRAM PEMBANGUNAN DASAR MASA (MPDP) 3.0 4...