Kemajuan ICT bawa perspektif baharu konsep kebebasan media

By Mohd Noor Musa

BARU-BARU ini, kedudukan kebebasan media Malaysia dilaporkan menurun dengan ketara berdasarkan Indeks Kebebasan Media Dunia (IKMD) 2024 dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF). Malaysia kini berada pada tangga ke-107 IKMD, penurunan mendadak 34 anak tangga berbanding ke-73 tahun lalu.

Susulan indeks dikeluarkan itu, Persekutuan Wartawan Antarabangsa (IFJ) dan gabungannya, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), menggesa kerajaan merangka sesuatu bagi melindungi wartawan dan pengamal media di Malaysia.

Kebebasan dan kawalan media adalah dua konsep berkait rapat dengan demokrasi yang mana ia membabitkan kerjasama rapat antara media dan kerajaan. Walaupun negara dilihat mencapai kemajuan dari segi reformasi demokrasi, masih terdapat kebimbangan mengenai sekatan dan penapisan ke atas kebebasan akhbar.

Ia berikutan kerajaan kerap didakwa mengenakan kawalan ketara terhadap media melalui badan kawal selia, proses pelesenan dan struktur pemilikan. Pengkritik berpendapat kawalan ini menyekat kebebasan media dan mengehadkan keupayaan wartawan melaporkan sesuatu isu yang mungkin dianggap sensitif.

Pasti ada kewajaran mengapa kerajaan mewujudkan dasar atau mengetengahkan akta bagi mengurus kebebasan media. Tidak dinafikan, kebebasan dan kawalan terhadap akhbar di negara ini sering dipersoalkan kerana kerajaan dikatakan menggunakan pelbagai alasan untuk menyekat kebebasan media.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) percaya kebebasan media adalah tonggak pembentukan demokrasi kuat kerana ia dapat menggalakkan penyertaan masyarakat menegakkan undang-undang, pembangunan manusia dan keselamatan.

Namun, ada alasan kukuh mengapa kebebasan media tidak boleh bersifat mutlak di negara ini terutama demi memelihara keharmonian masyarakat bagi membolehkan tumpuan diberi kepada usaha memajukan negara.

Difahamkan, wujud 22 undang-undang berkaitan kawalan media di negara ini, antaranya Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Kerajaan juga sebelum ini dikritik kerana menggunakan undang-undang seperti Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat suara sumbang serta mengawal aliran maklumat.

Internet ubah landskap media

Dalam era teknologi digital dan komunikasi pesat ini, pengawalan terhadap media dan wartawan tidak dapat mengongkong pemikiran rakyat di negara ini. Kini, kesedaran masyarakat terhadap hak asasi manusia semakin meningkat selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Kehadiran internet kini mengambil alih peranan media konvensional sebagai medium utama penyebaran maklumat kepada masyarakat, mengubah landskap media dan kewartawanan. Ia bukan sahaja memberikan maklumat tiada batasan, tetapi mempelbagaikan pilihan maklumat kepada masyarakat.

Selain ekosistem media berubah, nilai maklumat turut berubah. Ketika era media tradisional, maklumat adalah satu komoditi yang mana media mempunyai kuasa mengawal penyebarannya. Bagaimanapun, pada era media digital, kepantasan maklumat sampai kepada masyarakat menjadi komoditi sangat bernilai.

Masyarakat tidak lagi terikat dengan hanya maklumat diterima melalui media utama. Capaian internet menyebabkan masyarakat bebas memilih sumber maklumat, mendapat maklumat dengan kadar sangat pantas dari serata dunia, dengan harga lebih murah berbanding media konvensional.

Ini menyebabkan unsur kawalan media kerajaan tidak lagi relevan apabila mekanisme kawalan wujud tidak sesuai mengawal aliran maklumat di internet. Maka, penting bagi kerajaan mempromosikan kebebasan media terkawal dan memastikan wartawan boleh bekerja tanpa rasa takut tetapi beretika. Organisasi media mesti komited mengekalkan standard kewartawanan tinggi.

Usaha harus dilakukan untuk mendidik orang ramai celik peranan media dan pemikiran kritis untuk membantu mereka membezakan antara sumber maklumat boleh dipercayai dan palsu.

Rata-rata pengamal media di negara ini rasional dalam memanfaatkan kebebasan bersuara dengan sebaiknya. Mereka juga faham betapa pentingnya memelihara dan mengekalkan keharmonian demi menjamin kestabilan untuk negara dan rakyat.

Dalam konteks ini, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) proaktif mengambil tindakan jika ada artikel atau laporan bersifat palsu disiarkan sehingga boleh menjurus kepada perpecahan masyarakat.

Kerajaan sememangnya memberikan komitmen tinggi menegakkan amalan kebebasan media, pada masa sama pihak media harus memainkan peranan memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan bagi mempertahankan daya tahan landskap media berkekalan.

Setiap kebebasan mesti digunakan secara bertanggungjawab, beretika dan adil oleh semua pengamal media kerana ia prinsip penting dalam proses semak dan imbang pemerintahan kerajaan.

Sebagai penyebar maklumat, media berperanan menyebarkan fakta kepada rakyat dalam pelbagai sudut kehidupan, termasuk pemeliharaan alam sekitar dan kepincangan dalam pemerintahan kerajaan. Jaminan kerajaan bahawa kebebasan media akan terus dipertahankan, mesti dikotakan, dalam menangani cabaran dihadapi bersama.

Penulis adalah Penganalisis Penyelidikan, Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2024/05/1249973/kemajuan-ict-bawa-perspektif-baharu-konsep-kebebasan-media

Share Article

More Article

No data was found