Azril dilantik Ketua Pengawai Eksekutif Institut MASA

INSTITUT Masa Depan Malaysia (MASA) mengumumkan pelantikan pengasas Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd. Amin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu institut tersebut berkuat kuasa 1 September.

MASA dalam hantaran di Facebook memaklumkan, Azril mempunyai pengalaman lebih daripada 18 tahun sebagai pengamal undang-undang dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada masa sama, MASA berkata, Azril juga terlibat dalam penyelidikan terkemuka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“MASA ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Azril atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MASA berkuat kuasa 1 September.

“Berbekalkan pengalaman luas beliau, kami berharap Azril dapat membawa MASA ke satu tahap yang lebih tinggi sebagai badan pemikir terkemuka berlandaskan nilai-nilai kemakmuran bersama,” katanya dalam hantaran itu.

Selain mengasaskan CENTHRA, Azril juga merupakan Pegawai Khas kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah portfolio penyelidikan dan dasar awam.

Beliau juga mengawal selia pelaksanaan polisi dan program di peringkat kementerian dalam bidang sosial serta hal ehwal Islam.

Azril turut bertanggungjawab menasihati bekas Perdana Menteri itu dalam penyusunan teks ucaptama dan pidato.

MASA diasaskan oleh Muhyiddin untuk merangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) bagi memacu kemajuan ekonomi yang lebih baik sekali gus memberi kemakmuran kepada negara dan rakyat.

Date: 02 September 2021
Source and Image from: Warta Rakyat – https://wartarakyat.com.my/index.php/2021/09/02/azril-dilantik-ketua-pegawai-eksekutif-institut-masa/