Wakaf Air: Usaha Inklusif Untuk Kemakmuran Bersama

Source of Image : Unsplash – https://unsplash.com/photos/kDxqbAvEBwI

Oleh Mohd Noor Musa, Penganalisis Penyelidikan (Sosial), Institut Masa Depan Malaysia

Menurut statistik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), rakyat Malaysia menggunakan purata 201 liter air setiap orang sehari bersamaan dengan 134 botol (kapasiti 1.5 liter setiap satu) – iaitu lebih tinggi daripada yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu 165 liter sehari.[1] Selain isu penggunaan air yang berlebihan, krisis air yang sering melanda negara juga merupakan satu masalah besar kepada masyarakat dan juga industri. Ini sekaligus merencatkan aktiviti ekonomi negara disebabkan kekerapan terputusnya bekalan air yang tinggi terutama di pusat-pusat bandar, misalnya.

Menurut Persatuan Air Malaysia (MWA), Selangor mencatatkan sebanyak 259,000 daripada 419,000 kejadian terputus bekalan air berlaku, iaitu 62 peratus. Ini jauh lebih tinggi b     erbanding Pahang – negeri terbesar di Semenanjung, yang hanya mengalami sekitar 2,000 kes terputus bekalan air setahun, iaitu 100 kali ganda lebih kecil berbanding Selangor.[2] Selain itu, isu akses kepada perkhidmatan air bersih di kawasan pedalaman juga merupakan satu isu penting yang harus ditangani oleh semua pihak. Hal ini kerana, ia dapat merencatkan landskap pembangunan sosio-ekonomi antara bandar dan luar bandar seterusnya dikhuatiri melebarkan lagi jurang pembangunan antara wilayah dan kawasan bandar dan luar bandar.

Bagi mengatasi pemasalahan ini, instrumen atau pelaksanaan wakaf harus terus diperkasakan untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam pembangunan sektor air di negara kita. Jika ditelusuri sejak Zaman Kegemilangan Islam atau The Golden Age of Islam, ‘wakaf’ merupakan salah satu instrumen penting dalam membangunkan ekonomi rakyat melalui penglibatan masyarakat awam. Pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 oleh YAB Perdana Menteri pada 13 April yang lalu yang bertemakan “Wakaf untuk Kemakmuran Bersama” merupakan satu usaha strategik kerajaan mengenalpasti ruang dan peluang kerjasama yang boleh dijalinkan bagi mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset-aset wakaf di negara kita, khasnya melibatkan sumber semulajadi seperti air yang jarang diteroka sebelum ini.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan wakaf, dan apa bezanya wakaf dengan sedekah? Wakaf bermaksud apa-apa harta yang ditahan daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk tujuan-tujuan kebajikan sama ada berbentuk umum mahupun khusus, dengan niat bagi kepentingan awam.[3]

[1] Lihat https://www.sinarharian.com.my/article/129828/BERITA/Nasional/Purata-penggunaan-air-di-Malaysia-tinggi
[2] Lihat https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/10/744360/selangor-perlukan-teknologi-urus-manfaat-sumber-air
[3] Lihat https://ewakaf.muip.gov.my/portal/index.php/pengenalan-wakaf/apa-itu-wakaf

Pelancaran ‘Tabung Wakaf Air Nasional’ hasil inisiatif Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang memberi tumpuan pembiayaan projek perkhidmatan air berskala kecil di k     awasan pedalaman dan luar bandar, dilihat satu inisiatif yang bersifat inklusif oleh kerajaan bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf melalui penglibatan syarikat korporat, agensi kerajaan, GLC dan juga masyarakat awam.

Pendekatan Wakaf Air yang diusahakan dengan kerjasama KASA dan YWM ini menyediakan platform kepada masyarakat awam, korporat dan pihak swasta untuk turut sama mengambil bahagian berdasarkan kemampuan masing-masing dalam usaha Kerajaan menyediakan perkhidmatan air kepada mereka yang memerlukan melangkaui sempadan agama, kaum dan keturunan. Ia seterusnya dapat merapatkan jurang dan akses kepada air bersih antara wilayah dan juga kawasan bandar dan luar bandar. Wakaf Air merupakan skim berstruktur untuk membolehkan orang ramai melakukan ibadah wakaf dalam sektor perkhidmatan air yang sangat penting dalam kehidupan manusia dan sistem rantaian makanan. Peringkat awal penggunaan dana Wakaf Air ini adalah bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000.00 seperti penggalian perigi, penyelenggaraan dan pembelian alat ganti bagi meneruskan bekalan air bersih dan penyediaan sumber air alternatif.

Di peringkat global, inisiatif Tabung Wakaf Air Nasional atau ringkasnya Wakaf Air adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mapan ke-6 (air bersih & sanitasi) dan ke-10 (pengurangan ketaksamaan). Selain itu, Wakaf Air juga adalah sejajar dengan Prinsip Panduan ke-15 Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030) yang digagaskan oleh kerajaan iaitu kedaulatan dan kelestarian yang memberi tumpuan kepada pemantapan aspek pemeliharaan alam sekitar dan sumber semulajadi dalam perancangan pembangunan demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

Sinergi antara KASA dan YWM ini merupakan satu pendekatan pintar dan inklusif kerajaan dalam memastikan pengurusan sumber yang lebih efektif dengan melibatkan penglibatan pelbagai pihak. Ia sekaligus dilihat satu bentuk instrumen yang berupaya menangani jurang sosio-ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan untuk membela dan meningkatkan keupayaan semua rakyat untuk mendapatkan akses kepada bekalan air bersih supaya tiada yang tercicir dari mendapat akses kepada bekalan air bersih di Malaysia.

Share Article

More Article

No data was found