Syor Program Khas Atasi Isu Keciciran Pembelajaran

Pandemik yang melanda dunia menguji daya tahan ekonomi negara, ketahanan fiskal dan keupayaan sistem pendidikan serta kesihatan negara.

Pada masa yang sama, krisis ini membuka peluang kepada pelbagai pihak menambah baik kelemahan dan memperkukuh semula ketahanan sistem ekonomi, sosial, pendidikan dan kesihatan negara, demi menghadapi kemungkinan krisis serupa yang mungkin melanda lagi.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diumumkan kerajaan menjadi landasan pembangunan ekonomi negara untuk lima tahun akan datang. Ia dokumen penting mengandungi pelbagai langkah bagi merencana trajektori pembangunan sosioekonomi negara.

Rancangan itu diperjelaskan lebih terperinci melalui Bajet 2022. Sektor pendidikan menerima peruntukan terbesar RM67.1 bilion atau kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan Bajet 2022.

Selain tujuan pembangunan infrastruktur dan kelengkapan pembelajaran, harus juga diambil kira dan difikirkan mekanisme bagaimana mengatasi masalah keciciran pelajar akibat impak pandemik.

Cabaran lebih besar untuk memastikan pelajar dapat dibantu untuk mengejar semula pembelajaran yang tertingga dan menikmati suasana pembelajaran yang terlepas Ketika pandemik.

Isu ini disokong data dan kenyataan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Bank Dunia (seawalJun 2020), bahawa jika isu lost generation (generasi yang hilang) dan learning lost (ketinggalan dalam pembelajaran) tidak ditangani sistem Pendidikan sesebuah negara, maka akan berlaku kecicran Pendidikan lebih besar di negara terbabit.

Kerisauan berhubung isu ini pernah dibangkitkan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika sesi perbahasan Bajet 2022 pada 10 November lalu.

Antara lain, Muhyiddin menegaskan di sebalik kelas atau pembelajaran dalam talian, realitinya masih ada kumpulan pelajar ketinggalan terutamanya di Kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses internet, golongan miskin bandar yang tidak mempunyai Infrastruktur seperti gajet bersesuaian untuk belajar secara dalam talian.

Cadangan beliau supaya diwujudkan program khas dikenali catch up di peringkat nasional bagi membantu pelajar di sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang tercicir sepanjang tempoh pandemic harus diambil perhatian serius.

Program khas ini boleh dilaksanakan secara hybrid atau bersemuka mengikut kesesuaian pihak sekolah, university, guru dan pelajar melalui pemantauan di peringkat Kementerian Pendidikan.

Di bawah program khas ini juga, pihak sekolah perlu megenal pasti pelajar tertinggal untuk diberi tumpuan mengikuti kelas intensif bagi menggilap semula kefahaman dan kemahiran mereka untuk meneruskan pembelajaran.

Bagi menjayakan program ini, peruntukan Bajet 2022 di bawah Pendidikan harus disalurkan kepada pihak guru, sekolah dan staf sokongan agar kemudahan asas seperti penyediaan peranti atau gajet, sambungan internet serta pelbagai bentuk sokongan moral dapat diberikan kepada golongan sasar.

Bajet 2022 juga harus menyediakan peruntukan ataupun program memfokuskan pemantauan jurang Pendidikan akibat COVID-19. Belanjawan juga perlu menyediakan program berterusan disesuaikan tahap kefahaman pelajar.

Bagi memperkasa sektor Pendidikan, kerajaan boleh menyediakana peruntukan khas untuk gurur, khususnya dalam aspek pemantauan pelajar yang keciciran atau kurang minat meneruskan pembelajaran.

Kerajaan juga perlu merangka mekanisme sistematik dalam aspek penyediaan, penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur sekolah bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilaksanakan dalam suasana kondusif.

Bajet 2022 perlu menyediakan kaedah atau mekanisme sesuai dan berdaya tahan untuk memastikan pembelajaran pelajar tidak terganggu oleh apa sebab sekalipun sekiranya krisis kesihatan atau seumpamanya berlaku lagi.

Ini bagi memastikan tiada segmen masyarakat ketinggalan, khususnya dalam aspek akses kepada Pendidikan yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.

 

Oleh: Mohd Noor Musa, Penganalisis Penyelidikan (Sosial), Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

Date: 10 December 2021

Source: Berita Harian

Share Article

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on linkedin
Share on email

More Article

No data was found