Polemik akta antilompat parti uji prinsip integriti pemimpin politik

By Mohamed Azmi Mohd Rasheed Khan

Kontroversi enam Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri yang melanggar perlembagaan parti mereka, iaitu BERSATU, sekali lagi menjadi perkembangan terkini dalam landskap politik Malaysia membabitkan isu integriti politikus.

Ini menimbulkan persoalan besar mengenai pematuhan semangat akta antilompat parti. Situasi ini menegaskan keperluan bagi pemimpin mengekalkan integriti dan menegakkan prinsip demokrasi, walaupun mungkin tidak menguntungkan mereka secara politik.

Pada Julai 2022, Parlimen di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) meluluskan akta antilompat parti dengan dengan 209 Ahli Parlimen mengundi menyokong. Undang-Undang ini direka untuk membendung amalan lompat parti, yang menjadi isu dalam politik tanah air hingga menyebabkan ketidakstabilan dan merendahkan mandat diberikan pengundi.

Undang-undang ini memastikan Ahli Parlimen menukar parti atau mengisytiharkan sokongan kepada entiti politik berbeza perlu mengosongkan kerusi, sekali gus membolehkan pilihan raya kecil (PRK) memberi pilihan semula kepada rakyat.

Namun, keputusan terkini Speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen pembangkang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri mencetuskan perdebatan mengenai pelaksanaan dan tafsiran undang-undang ini.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mewakili Parlimen Bukit Gantang; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kecik (Jeli); Mohd Azizi Abu Nim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Keputusan ini berbeza dengan pendirian diambil Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengisytiharkan kerusi Nenggiri kosong dalam keadaan sama.

Inti pati daripada akta antilompat parti adalah untuk memelihara integriti proses demokrasi. Apabila wakil rakyat menukar kesetiaan tanpa persetujuan pengundi, ia boleh dilihat sebagai pengkhianatan terhadap kepercayaan mereka.

Pemimpin benar-benar memahami semangat undang-undang ini akan menyedari keperluan untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada mandat baharu daripada rakyat. Prinsip integriti ini bukanlah unik kepada Malaysia – ia adalah asas pemerintahan demokratik di seluruh dunia.

Contohnya, selepas Referendum Brexit bagi memutuskan sama ada United Kingdom (UK) kekal dalam Kesatuan Eropah (EU) atau sebaliknya, rakyat UK mengundi keluar daripada EU.

Berikutan keputusan itu, Perdana Menteri ketika itu, David Cameron, mengambil langkah berintegriti dan meletak jawatan kerana beliau berkempen bagi mengekalkan UK dalam EU.

Cameron melihat keputusan itu sebagai kekalahan peribadi dan memilih untuk meletak jawatan serta menyatakan negara memerlukan ‘kepimpinan baharu’ untuk mengemudi proses kompleks meninggalkan EU.

Bekas Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pula mengumumkan peletakan jawatan dengan memetik keletihan dan keperluan untuk kepimpinan baharu. Keputusan Ardern dihormati secara meluas dan dilihat contoh integriti peribadi serta kesedaran diri menyedari beliau tidak lagi dapat berkhidmat kepada rakyat dengan berkesan.

Dalam konteks Malaysia, tindakan enam Ahli Parlimen pembangkang menimbulkan persoalan komitmen pemimpin kita terhadap prinsip termaktub dalam akta antilompat parti.

Jika Ahli Parlimen ini benar-benar menghormati semangat akta terbabit, mereka pastinya perlu menyedari keperluan mengosongkan kerusi dan mendapatkan mandat baharu daripada pengundi. Ini bukan sahaja akan menegakkan integriti proses demokrasi, bahkan menguatkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem politik.

Awalan membimbangkan

Keputusan Speaker Dewan Rakyat membenarkan Ahli Parlimen ini mengekalkan kerusi mewujudkan satu awalan membimbangkan. Ia mencadangkan aplikasi selektif undang-undang dan merendahkan tujuan sebenar akta antilompat parti.

Keputusan ini jelas dengan tidak konsisten antara DUN Kelantan apabila Speaker mengisytiharkan kerusi Nenggiri kosong, walaupun menghadapi keadaan sama.

Kesan keputusan ini juga membuka pintu kepada mana-mana Ahli Parlimen mempunyai lesen besar untuk beralih sokongan tanpa meninggalkan parti dianggotai mereka.

Dalam menjaga integriti institusi demokrasi, kita memerlukan lebih daripada sekadar meluluskan undang-undang; ia memerlukan komitmen sebenar menegakkan semangat Perlembagaan.

Dalam demokrasi, wakil rakyat bertanggungjawab kepada pengundi mereka. Akta antilompat parti digubal untuk memastikan akauntabiliti ini dikekalkan, walaupun dinamik politik berubah.

Dengan memilih untuk menukar kesetiaan tanpa meletak jawatan, Ahli Parlimen merosakkan akauntabiliti ini dan kepercayaan diberikan pengundi kepada mereka.

Peranan Speaker Parlimen adalah penting dalam memastikan integriti prosiding Parlimen. Sikap non-partisan dan komitmen Speaker untuk menegakkan undang-undang adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan orang ramai terhadap proses perundangan.

Keputusan Speaker Dewan Rakyat membenarkan enam Ahli Parlimen ini mengekalkan kerusi mereka menimbulkan persoalan tentang sikap non-partisan dan aplikasi konsisten akta antilompat parti.

Sebaliknya, keputusan Speaker DUN Kelantan mengisytiharkan kerusi Nenggiri kosong menunjukkan komitmen terhadap prinsip undang-undang. Konsistensi ini adalah penting dalam mengukuhkan integriti institusi demokrasi kita dan memastikan semua MP dipertanggungjawabkan pada standard yang sama.

Dalam semangat kepemimpinan sebenar dan integriti demokratik, enam Ahli Parlimen mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri sepatutnya meletak jawatan dan membenarkan PRK. Ini bukan sahaja akan menghormati semangat akta antilompat parti, tetapi juga mengesahkan komitmen untuk berkhidmat kepada kehendak rakyat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti menuntut standard integriti tertinggi daripada pemimpin kita. Hanya dengan memastikan mereka bertanggungjawab, kita dapat pastikan institusi demokrasi kekal kuat dan kepercayaan diberikan kepada mereka oleh pengundi dikekalkan.

Sudah tiba masanya untuk pemimpin kita menunjukkan komitmen mereka terhadap prinsip demokrasi dan tadbir urus baik.

Tindakan mereka juga hanya akan melahirkan perspektif buruk terhadap politik negara ini. Ternyata, ada kelompangan jelas hingga menyebabkan akta ini kelihatan longgar, terutama dalam aspek pelaksanaan. Kesudahannya, isu ini hanya akan menimbulkan polemik mengenai keberkesanan akta ini terhadap matlamat untuk menjamin kestabilan politik negara pada masa akan datang.

Akta antilompat parti ini perlu difahami dan digalas semua Ahli Parlimen dengan penuh dedikasi dan komitmen bagi mendapatkan sokongan jitu rakyat. Mungkin terdapat kelompangan pada akta berkenaan, tetapi sebagai wakil rakyat, Ahli Parlimen perlu membuktikan integriti dengan memperkasakan akta berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya sokongan beralih kepada pemimpin atau parti lain.

Episod seperti ini hanya akan mencetuskan konflik perundangan dan kemelut baharu politik negara yang boleh mencemaskan serta melemaskan rakyat dan sokongan terhadap Ahli Parlimen masing-masing.

Source: https://www.bharian.com.my/rencana/lain-lain/2024/07/1271429/polemik-akta-antilompat-parti-uji-prinsip-integriti-pemimpin

Share Article

More Article

No data was found