Muzium, arkib, perpustakaan jadi agen perpaduan?

Oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

TINDAKAN untuk meletakkan Muzium Negara, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara sebagai ehwal perpaduan dalam tatakelola negara dilihat banyak pihak sebagai bukan sahaja tidak munasabah, juga tidak tepat sama sekali. Ini kerana selama ini ketiga-tiganya dilihat sebagai hanya entiti warisan. Justeru, ia cocok sekali ditempatkan di agensi yang menguruskan budaya dan seni. Sebenarnya tiga entity ini boleh sahaja ditempatkan di beberapa agensi lain selain yang bersifat seni, budaya dan warisan semata-mata.

Muzium sebagai tempat mengumpul, memulihara, menyelidik dan mempamer warisan adalah antara sumber pendidikan negara yang penting. Segala objek di dalamnya mempunyai kepentingan ilmu baik bersifat seni, sains, agama dan segala macam lain. Dengan ini, muzium boleh juga diletakkan di bawah portfolio pendidikan.

Tidak dapat dinafikan peranan utama muzium ialah mengumpul objek warisan atas dasarnya sebagai penyimpan dan pelindung warisan bangsa dan negara. Namun, jika diteliti dengan mendalam, muzium adalah pertama-tamanya institusi pendidikan penting. Ini dapat dilihat dalam usahanya memelihara budaya kita yang sesungguhnya adalah juga usaha pendidikan.

Arkib pula menyimpan catatan dan dokumen awam yang lama agar dapat diakses semula pada masa mendatang selain memastikan data utama negara tidak hilang. Data ini sebetulnya adalah memori negara merangkumi maklumat agam tentang penduduk, pertubuhan, pembangunan sosioekonomi dan segala macam peristiwa yang merupakan segenap sisi sejarah tanah air.

Sebagai sumber penting sejarah negara, arkib sebetulnya adalah kuasa kuat untuk membentuk pemahaman rakyat terhadap sejarah kita. Dengan pengaruh ini, arkib tidak dapat dinafikan dapat mewujudkan rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat untuk mencintai negara ini.

Seperti muzium, arkib juga tidak dapat elak daripada ikut dianggap sebagai entity budaya. Ia menyimpan maklumat meliputi semua faktor kehidupan manusia. Ia memerihal resam manusia, malah seluruh sejarah manusia itu sendiri. Tanpa arkib, pengetahuan kita tentang pencapaian manusia menjadi pudar dan akhirnya hilang. Arkiblah yang menghalang semua kehilangan ini.

Perpustakaan pula bukan sahaja menyimpan buku dan sumber maklumat lain, ia juga memberi akses kepada semua ini untuk kegunaan awam. Ia memupuk literasi untuk pelbagai hal, yakni menghubungkan manusia dengan ilmu. Dengan kata lain, perpustakaan menyokong literasi dan pendidikan kerana ia merupakan sumber ilmu yang sangat penting untuk melengkapi semua program pendidikan.

Seperti muzium dan arkib, perpustakaan juga ada sisi budayanya, iaitu mewariskan segala amalan tercatat itu dari satu generasi kepada yang lain. Ia sebenarnya penghubung utama antara zaman lampau, kini dan akan datang.

 

UNGGUL

Sebenarnya muzium, arkib dan perpustakaan adalah pusat komuniti. Bukan sahaja menghubungkan manusia dengan ilmu, juga mempertemu manusia dengan manusia. Oleh itu, ia boleh merupakan agen perpaduan yang unggul. Dengan ini, ia hendaklah dimanfaatkan dalam konteks untuk mempertali rakyat daripada pelbagai etnisiti melalui pelbagai program, selain visi dan misi baharu sebagai antara tapak perpaduan nasional yang penting mulai sekarang.

Selain ini, Muzium Negara, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara melalui kewujudannya sebagai entiti kenegaraan didapati berupaya memprojeksi rasa bangga, sayang dan setia kepada negara. Dengan tatakelola baharu yang mengaitkan tiga entiti ini dengan perpaduan nasional, ia juga hendaklah digembleng untuk ikut menyerlahkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Sehubungan ini, identity negara merujuk kepada rasa kebersamaan sebagai sebuah negara dan bangsa dalam konteks tanah air dan tradisi yang dikongsi. Identiti budaya pula merujuk kepada jati diri rakyat sebagai warganegara yang bukan sahaja bersatu padu tetapi mempunyai nilai budaya tinggi.

Sebetulnya tindakan untuk menguruskan tugas pemuliharaan warisan budaya di muzium, arkib dan perpustakaan sebagai tatakelola perpaduan nasional adalah sama sekali tidak salah. Malah, ia pemikiran baharu lagi progresif yang menerokai gagasan kreatif dan luar biasa. Bukan itu sahaja, ia gagasan yang sama sekali tidak terhad dan tidak dikawal oleh peraturan sebelum ini dan tradisi lama. Justeru, ia sudut baharu yang memperlihat kegunaan terkini tiga entiti ini.

Dengan langkah baharu ini, marilah kita memberi sokongan padu agar muzium, arkib dan perpustakaan dapat ikut menyumbang kepada perpaduan nasional yang lebih erat lagi utuh. Ketiga-tiga entiti warisan ini sebenarnya mempunyai sisi penyatupaduan. Antara yang terpenting adalah kesemuanya merupakan tempat tumpuan masyarakat untuk memperoleh ilmu, yakni warisan budaya di muzium, kegiatan kemanusiaan lampau di arkib dan segala pengetahuan di perpustakaan. Dengan sifatnya yang mampu membawa pelbagai etnisiti bersama-sama dalam kegiatan, program dan perkhidmatannya, ia mampu mewujudkan penyertaan masyarakat bagi membina hubungan sosial dan sivik untuk perpaduan nasional.

 

Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/2023/01/muzium-arkib-perpustakaan-jadi-agen-perpaduan/

Gambar: https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/UTU_TEKATBENANG002.jpg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found