Kementerian diterajui ahli akademik?

Oleh Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA)

SARANAN agar Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi dilantik dalam kalangan ahli akademik pada masa mendatang bukan sahaja menarik, ia juga perlu penelitian rapi.

Ia mahu dilakukan sedemikian untuk memberi kebebasan akademik kepada sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini. Persoalannya ialah adakah institusi pendidikan di negara ini tiada hak ini?

Apakah itu kebebasan akademik? Ia merangkumi cakupan yang luas. Antaranya ia merujuk kepada kebebasan dalam mengendalikan ilmu untuk mewujudkan persekitaran yang tidak dikongkong bagi menyuarakan pandangan secara kritis.

Ini dianggap penting untuk rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi bagi bukan sahaja menegakkan hak kebebasan bersuara. Ia juga penting untuk kesejahteraan sosial dan kemakmuran ekonomi selain kewujudan inovasi untuk kemajuan negara.

Adakah semua ini tidak wujud selama ini dalam sistem pendidikan negara, khususnya pada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk Sekolah 2013-2025 dan Pendidikan Tinggi (2015-2025)?

Sebenarnya kebebasan akademik seperti yang dinyatakan itu wujud pada kedua-dua pelan ini, lebih- lebih lagi yang merangkumi hak pendidik di sekolah dan pensyarah di IPT untuk menyampaikan ilmu dengan semahu-mahunya selain menggalakkan pelajar dan mahasiswa berfikir secara kritis.

Sehubungan ini, tidak disangkal bahawa kebebasan akademik bersifat emosional sehingga boleh meliputi kebebasan menyuarakan pendapat negatif tentang institusi dan sistem itu sendiri.

Diakui kebebasan mutlak, yakni keadaan untuk bertindak secara melampau pada bila-bila masa tanpa boleh dilarang langsung, tidak wujud di mana-mana pun.

Sehubungan ini secara perbandingan, kebebasan akademik yang diberikan di negara ini didapati baik sekali. Dengan ini, ia membolehkan banyak gagasan baharu dihasilkan selain membenarkan kepimpinan dipersoal, malah dicabar untuk kebaikan bersama. Sudah tentu, ia hendaklah dilakukan secara berhemah.

Sebenarnya, kementerian selaku unit asas dalam urus tadbir Kerajaan Persekutuan, adalah sebahagian daripada badan pentadbiran dalam sistem pemerintahan kita.

Dalam hal ini, ia tidak dapat lari dari politik, iaitu ehwal memerintah negara yang dikendalikan ahli politik atau lebih tepat lagi Jemaah Menteri. Walaupun tugas mengendalikan kementerian boleh diberikan kepada mereka yang bukan ahli politik, secara umumnya ia diterajui ahli politik.

Ini kerana mereka bertanding dalam pilihan raya umum bagi menjadi wakil rakyat, yang boleh kemudiannya dilantik menganggotai Jemaah Menteri untuk melaksanakan kuasa pentadbiran negara.

 

PPSMI

Sebuah kementerian itu sebenarnya berperanan membentuk dasar di samping melaksanakan pelbagai perkara yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Selain Menteri dan timbalan beliau, ia ikut diuruskan ketua setiausaha sebagai pegawai pentadbiran tertinggi.

Untuk profesionalisme pendidikan, ia diuruskan Ketua Pengarah Pendidikan untuk sekolah dan Pendidikan tinggi yang merupakan ahli akademik, yakni pakar bidang.

Pelantikan ahli akademik sebagai Menteri Pendidikan pernah berlaku semasa penggal Parlimen 1999-2004. Kalau faktor kebebasan akademik mahu diambil kira pada pelantikan itu, ia tidak kelihatan berlaku pun.

Ini kerana Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang lebih berupa keputusan politik, terus dilaksanakan, walaupun dibantah keras oleh banyak pihak, khususnya golongan pendidik atas pertimbangan pendidikan.

Natijahnya ialah walaupun ahli akademik dilantik, beliau perlu menurut perintah kuasa politik yang melantiknya untuk ikut berpolitik kerana pemerintahan itu sendirinya adalah urusan politik, termasuklah penggunaan wibawa politik.

Sehubungan ini, beliau dianggap sebagai cuba bermain politik lebih daripada ahli politik itu sendiri. Ini kerana imej beliau sebagai pihak neutral sewaktu pelantikan, didapati tercalar kerana ikut terpalit dengan pelbagai keputusan politik daripada pemerintah.

Oleh itu, biarlah urusan politik terus dikendalikan ahli politik. Untuk memastikan bidang pendidikan terus maju atas landasan pertimbangan pendidikan, menterinya hendaklah dinasihati sekumpulan ahli akademik serta lain-lain, baik tentang sekolah mahupun Pendidikan tinggi, sebelum sesuatu dasar itu diumumkan untuk dilaksanakan. Walaupun ia boleh berupa pertimbangan politik, ia sekurang-kurangnya sudah diteliti sebaik-baiknya dari segi pendidikan.

Oleh sebab badan pemerintahan itu adalah sebahagian penting dalam pemerintahan kita, ia yang merupakan bidang politik tentang kecekapan menyelenggarakan sistem politik demokrasi di negara ini, hendaklah terus dikendalikan oleh ahli politik sebagai penerajunya.

Golongan akademik dan mereka yang mempunyai kepakaran tertentu boleh diserapkan sebagai kelompok pemikir kepada sesuatu dasar atau masalah untuk membekalkan maklumat, gagasan selain nasihat kepada menteri, pertama-tamanya seorang ahli politik profesional, yakni itulah pekerjaan, malah kerjaya beliau.

Menteri pada kebanyakan masanya adalah ahli politik yang menerajui kementerian dalam sesebuah pemerintahan itu. Beliau biasanya daripada parti politik yang memiliki majoriti, misalnya di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia yang mengguna pakai sistem pemerintahan Westminster.

Dengan kata lain, menteri ialah anggota pentadbiran kerajaan yang memerintah. Oleh sebab kerajaan ialah institusi untuk mengurus tadbir negara yang rata-ratanya terdiri daripada ahli politik, maka bukan sahaja sangat cocok tetapi tepat sekali, ahli politiklah yang harus dipilih untuk menerajui kementerian. Ini kerana hanya ahli politik arif tentang nuansa pemerintahan, iaitu satu cabang penting politik.

 

Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/2023/01/kementerian-diterajui-ahli-akademik/

Gambar: https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/r-15-did.jpg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found