Kenyataan Media Sempena Hari Wanita Sedunia

KENYATAAN MEDIA
SEMPENA HARI WANITA SEDUNIA 
8 MAC 2023

Institut Masa Depan Malaysia (MASA) ingin mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia 2023 kepada semua rakyat Malaysia. Tema sambutan peringkat antarabangsa pada tahun ini, “DigitALL: Innovation and Technology for Gender Equality” atau “Digital untuk Semua: Inovasi dan Teknologi bagi Kesamarataan Gender”, telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manakala tema “KASIH Wanita” telah dipilih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa wanita yang sangat signifikan dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara.

Era digital membuka ruang pemerkasaan yang luas bagi golongan wanita dan kanak-kanak perempuan. KPWKM telahpun mengambil inisiatif memperkenalkan Program Keusahawanan Wanita Bangkit pada tahun 2022, bagi membantu golongan wanita yang hilang sumber pendapatan berikutan krisis pandemik COVID-19 dengan memastikan tiada yang terpinggir daripada arus pemodenan ekonomi digital. 

Namun, bagi merealisasikan aspirasi negara sebagai peneraju ekonomi digital di rantau Asia Tenggara, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi digital dan teknologi moden yang masih lagi kecil. Ini adalah selaras dengan Prinsip Panduan Kelima Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) iaitu Keterangkuman yang mengangkat golongan wanita supaya tidak tercicir dalam arus pembangunan negara.

Menurut Statistik Pemerkasaan Wanita dalam Domain Terpilih 2021 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Wanita (LFPR) masih rendah iaitu 55.5 peratus berbanding lelaki sebanyak 80.9 peratus. Daripada jumlah tersebut, hanya 40.6 peratus menerajui bidang profesional dan teknikal, manakala 24 peratus menjawat jawatan tinggi seperti penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus. 

Selain daripada cabaran yang dihadapi golongan wanita seperti diskriminasi dan keganasan terhadap wanita, pembangunan pesat teknologi digital termasuk bidang kecerdasan buatan (AI), internet benda (IoT) dan automasi juga merupakan cabaran baharu dalam mendokong agenda digital untuk wanita. Ini didorong oleh beberapa faktor seperti capaian internet yang rendah di kawasan pedalaman dan luar bandar, kurangnya pendedahan literasi digital, keganasan digital gender (online gender based violence), serta diskriminasi gender dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Justeru, untuk mencapai matlamat tema sambutan pada tahun ini, MASA menggesa Kerajaan agar mengambil pendekatan menyeluruh dan lebih serius dalam menyediakan infrastruktur, kursus serta latihan untuk meningkatkan kemahiran (upskilling and reskilling) wanita berkaitan ekonomi digital. Kerajaan juga perlu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat tentang hak-hak dan perlindungan serta pengukuhan aspek emosi dan rohani yang perlu diberikan kepada golongan wanita dalam berdepan cabaran semasa dan masa hadapan. 

“Selamat Menyambut Hari Wanita Sedunia 2023”

AZRIL MOHD. AMIN
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF
INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA