Kenyataan Media Pelantikan Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan Institut Masa Depan Malaysia

KENYATAAN MEDIA 
PELANTIKAN KETUA BAHAGIAN DASAR DAN PENYELIDIKAN
INSTITUT MASA DEPAN MALAYSIA
3 APRIL 2023

Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan YBhg. Dr. Khalid bin Abdul Hamid, 61 tahun, sebagai Ketua Bahagian Dasar dan Penyelidikan badan pemikir bebas ini berkuat kuasa hari ini, 3 April 2023.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Gunaan dari Universiti Malaya (UM), Ijazah Sarjana Ekonomi Pembangunan dari Vanderbilt University, Amerika Syarikat dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam penyelidikan pelbagai bidang khususnya ekonomi dan sosial. 

Sebagai mantan Pengarah Bahagian Industri Perkhidmatan di Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM), beliau bertanggungjawab mengetuai penyediaan kertas-kertas dasar, laporan dan dokumen berkaitan ekonomi, kewangan serta sosial termasuk input untuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Semasa di Kementerian Kewangan, beliau mengetuai pasukan yang ditugaskan menyediakan Laporan Ekonomi serta Belanjawan 2015 dan 2016. Jawatan terakhir beliau adalah mengetuai Unit Penyelidikan Strategik Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Beliau juga sering dijemput membentangkan hasil kajiannya di dalam dan luar negara. Antaranya, kajian tentang Pasaran Tenaga Bersepadu di Asia Tenggara yang dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Brunei dan Jakarta pada 2011. Kertas penyelidikan beliau mengenai kesan kenaikan kadar tenaga terhadap industri makanan turut mendapat perhatian Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN (AMM) pada 2012, malah diterbitkan jurnal terkemuka ERIA.

MASA mengalu-alukan pelantikan YBhg.  Dr. Khalid dan berharap dengan kepakaran dan pengalaman luas beliau dalam bidang penyelidikan dapat membantu membawa MASA ke satu tahap yang lebih tinggi sebagai badan pemikir yang berwibawa berlandaskan nilai-nilai kemakmuran bersama.

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Masa Depan Malaysia

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found