Institut Masa, PPMI Santuni Pendidikan Kanak-Kanak Palauh

PENDIDIKAN adalah hak semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang etnik, sosial, ekonomi, agama dan budaya serta keupayaan dan kesihatan diri.

Setiap mereka berhak mendapat pendidikan berkualiti yang sama rata dan saksama sebagaimana yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Bagaimanapun tidak semua kanak-kanak berpeluang mendapat akses kepada pendidikan sedemikian. Kumpulan etnik minoriti, pelarian, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan merupakan antara kumpulan yang tergolong dalam kategori ini.

Mereka bukan sahaja ketinggalan tetapi tercicir daripada menikmati peluang pendidikan formal disebabkan status mereka yang kebanyakannya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menyedari perkara ini, Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa), sebuah badan pemikir bebas berganding bahu dengan Pusat Pembangunan Minda Insan, Sabah bagi menyantuni pendidikan kanak-kanak Bajau Laut (Palauh), kumpulan etnik minoriti Sabah baru-baru ini.

Program selama dua hari itu termasuk lawatan ke tiga buah PPMI iaitu di Kampung Kabog, Kunak 3 dan Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum disertai oleh 14 kakitangan dan penyelidik Institut Masa serta guru-guru PPMI.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa, Azril Mohd Amin berkata, program tersebut memberi peluang kepada para penyelidik untuk melihat dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh komuniti minoriti itu lebih-lebih lagi yang melibatkan aspek pendidikan.

Menurut beliau, kumpulan kanak-kanak ini menimba ilmu dalam keadaan penuh cabaran, serba kekurangan dan tercicir daripada arus perdana.

“Bagaimanapun di sebalik kekurangan ini mereka menunjukkan minat dan semangat yang tinggi untuk belajar terutama ilmu asas, membaca, menulis dan mengira serta pendidikan agama Islam,’’ katanya.

Menurut Azril hubungan baik Institut Masa dengan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan Sabah seperti Haluan memudahkan perancangan rangka kerja jangka panjang bagi membantu komuniti ini antaranya menyediakan latihan kemahiran dan vokasional kepada para pelajar selain program motivasi untuk tenaga pengajar PPMI.

Institut Masa juga kata beliau, akan meningkatkan kerja-kerja penyelidikan berkaitan hak-hak pendidikan bagi kumpulan minoriti Palauh, kumpulan yang tercicir dan terpinggir selain bercadang menjadikan beberapa PPMI dan Kelas Bimbingan Insan (KBI) di negeri ini sebagai `sekolah angkat.’

Menurut Azril program ini juga adalah sebahagian daripada usaha membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan memberi fokus kepada hak pendidikan untuk semua murid.

Sementara itu Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi berkata, pusat pendidikan tersebut bermula sebagai pusat aktiviti komuniti pada tahun 2011 dengan memberi fokus kepada pendidikan anak-anak etnik minoriti dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan arus perdana negara.

Dalam lawatan yang sama Institut Masa turut menyumbang barang-barang keperluan pembelajaran dan pengajaran kepada tiga PPMI tersebut.

 

Date: 22 December 2021

Source: Warta Rakyat –

https://wartarakyat.com.my/index.php/2021/12/22/institut-masa-ppmi-santuni-pendidikan-kanak-kanak-palauh/

Image Source: https://wartarakyat.com.my/wp-content/uploads/2021/12/Unknown-3-4.jpeg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found