Institut Masa Dan PPMI Sabah Santuni Kanak-Kanak Palauh

Tawau: Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa), berganding bahu dengan Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI), Sabah bagi menyantuni pendidikan kanak-kanak Bajau Laut (Palauh).

Program selama dua hari itu termasuk lawatan ke tiga PPMI iaitu di Kampung Kabog, Kunak 3 dan Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum disertai oleh 14 kakitangan dan penyelidik Institut Masa serta guru-guru PPMI.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa, Azril Mohd Amin berkata, program ini memberi peluang kepada penyelidik untuk melihat dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh komuniti minoriti ini lebih-lebih lagi yang membabitkan aspek pendidikan.

Menurutnya, kumpulan kanak-kanak ini menimba ilmu dalam keadaan penuh cabaran, serba kekurangan dan tercicir daripada arus perdana.

“Bagaimanapun di sebalik kekurangan ini mereka menunjukkan minat dan semangat yang tinggi untuk belajar terutama ilmu asas, membaca, menulis dan mengira serta pendidikan agama Islam.

“Hubungan baik Institut Masa dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan Sabah seperti Haluan memudahkan perancangan rangka kerja jangka panjang bagi membantu komuniti ini antaranya menyediakan latihan kemahiran dan vokasional kepada para pelajar selain program motivasi untuk tenaga pengajar PPMI,” katanya dalam kenyataan.

Azril berkata, Institut Masa akan meningkatkan kerja penyelidikan berkaitan hak pendidikan bagi kumpulan minoriti Palauh, kumpulan yang tercicir dan terpinggir selain bercadang menjadikan beberapa PPMI dan Kelas Bimbingan Insan (KBI) di negeri ini sebagai sekolah angkat.

Sementara itu Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi berkata, pusat pendidikan itu bermula sebagai pusat aktiviti komuniti pada tahun 2011 dengan memberi fokus kepada pendidikan anak-anak etnik minoriti dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan arus perdana negara.

“Dalam lawatan yang sama Institut Masa turut menyumbang barang-barang keperluan pembelajaran dan pengajaran kepada tiga PPMI terbabit,” katanya

Date: 23 December 2021

Source: Harian Metro – https://www.hmetro.com.my/amp/mutakhir/2021/12/791828/institut-masa-dan-ppmi-sabah-santuni-kanak-kanak-palauh

Image Source: https://assets.hmetro.com.my/images/articles/palauh1_1640188954.jpg

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found