Benarkah bukan Melayu tiada kesetiaan tuntas kepada negara?

Oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

 

KENYATAAN bahawa etnik bukan Melayu waima selaku warganegara tiada kesetiaan yang tuntas kepada negara ini bukan sahaja menimbul polemik hangat tetapi dibantah keras oleh banyak pihak, apatah lagi ia dirujuk secara khas kepada etnik tertentu.

Kenyataan itu sebetulnya ada kebenarannya dan tidaklah juga salah sepenuhnya. Begitu dengan
kenyataan balas daripada etnik bukan Melayu yang juga ada kedua-dua benar dan tidaknya.

Kenyataan balas yang mengatakan bahawa etnik bukan Melayu, baik Cina mahupun India ikut bersama-masa etnik Melayu membangunkan negara ini adalah benar sekali. Malah ia tidak boleh sama sekali
disangkal. Ini kerana apabila diteliti dari sisi pembangunan negara (state building), ia bukan sahaja sesuatu yang amat nyata tetapi juga dicatat untuk dihargai dalam dokumen sejarah negara.

Sehubungan pembangunan negara ini, buruh India rata-ratanya dari Selatan India, iaitu wilayah Madras, khususnya sejumlah besar dari subetnik Tamil, selain sedikit Telegu dan Malayali, dibawa masuk oleh penjajah untuk bekerja di negara ini, terutamanya di Semenanjung dalam sektor perladangan di ladang getah serta sektor pembinaan jalan raya dan landasan kereta api.

Manakala buruh Cina yang kesemuanya juga dari Selatan China, iaitu wilayah Fujian dan Guangdong, juga datang ke negara ini atas pelawaan Inggeris untuk bekerja, khususnya dalam sektor perlombongan bijih timah. Mereka ini terdiri daripada pelbagai subetnik, termasuklah Hakka, Kantonis, Foochow, Hokkien, Teochew dan Hainan.

Selain sektor ini, mereka juga berupa pedagang dalam pelbagai bidang dalam sektor ekonomi. Tidak dapat dinafikan bahawa sumbangan etnik India dan Cina dalam pembangunan negara, khususnya dari awal abad 19 sehingga pertengahan abad 20, bukan sahaja agam tetapi pengorbanan mereka juga diiktiraf dalam memodenkan negara ini.

Usaha ini kemudiannya terus disumbang selepas negara mencapai kemerdekaan oleh keturunan kelompok India dan Cina awal itu. Antara kesinambungan usaha itu adalah dalam bidang profesionalisme tertentu oleh etnik India, misalnya guaman dan perubatan sementara bidang ekonomi oleh etnik Cina bagi hampir segenap aspeknya.

Jadi betul sekalilah kenyataan balas daripada etnik bukan Melayu tentang sumbangan mereka dalam
membangunkan negara ini agar sosioekonominya selalu mantap selain mampan. Begitu juga dengan modal insan dalam pelbagai bentuk kemahiran dan peranan yang mereka sumbangkan bersama etnik Melayu selaku penduduk asal negara ini, untuk terus membangunkan Malaysia agar selalu berjaya.

Namun penglibatan etnik bukan Melayu, baik India mahupun Cina dalam pembentukan negara bangsa
(nation building) bukan sahaja tidak tinggi, juga boleh dipersoal. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kenyataan bahawa etnik bukan Melayu di negara ini tidak mempunyai kesetiaan yang utuh. Dengan ini, keteguhan hati golongan ini masih dilihat berbelah bahagi antara tanah asal dengan negara ini.

Ini kerana mereka masih tidak cekap dalam berbahasa Melayu, iaitu bahasa negara ini yang sekali gus mendukung peranan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sedangkan sudah 60 tahun negara
Malaysia ditubuhkan.

Dengan ini, etnik bukan Melayu didapati tidak berjaya mempamerkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat dengan jelas.

Selalunya apabila hal ketidakcekapan ini ditimbulkan, etnik bukan Melayu dengan cepatnya menyangkal bahawa ia tiada kaitan langsung dengan kesetiaan mereka kepada negara yang dicintai. Mereka bermati-matian mempertahankan kecintaan mereka kepada negara ini walaupun tidak cekap atau langsung tidak mengetahui bahasa Melayu.

KUASA BESAR

Dalam soal tidak fasih ini, ramai etnik Cina, termasuklah pemimpin mereka berhujah bahawa bahasa Melayu tiada nilai ekonomi setinggi yang ada pada bahasa Mandarin. Oleh itu, bahasa Mandarin adalah lebih penting daripada bahasa Melayu. Justeru tiada keperluan, apatah lagi yang mendesak untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Jawapan beginilah antaranya yang menyebabkan kenyataan tiada kesetiaan itu mahu dianggap benar.
Ia selanjutnya ditambah pula dengan penghujahan bahawa bahasa Mandarin adalah bahasa negara China, iaitu antara kuasa ekonomi besar lagi hebat di dunia.

Sikap ini adalah bukti tentang tiadanya rasa bangga bangsa Cina terhadap negara yang didakwa sangat dicintai itu. Sepatutnya mereka ini selaku warganegara Malaysia harus bijak untuk mengetahui nilai kenegaraan pada bahasa Melayu untuk tidak sesekali berhujah sedemikian.

Sewajarnya sumbangan setiap warganegara dalam pembangunan dan pembentukan negara bangsa
bukan sahaja diperlukan tetapi ia saling melengkapi antara satu sama lain. Juga dua proses ini wajib disertai secara aktif oleh semua etnisiti bagi memperlihat kesalingan itu.

Dengan ini, sumbangan kepada pembangunan negara, antaranya dalam bidang modal insan untuk
memajukan negara oleh etnik bukan Melayu, hendaklah juga diimbangi dengan sokongan mereka untuk turut memiliki jati diri kebangsaan dengan kesediaan mendukung nilai dan tradisi kenegaraan, selain sentimen dan gagasan nasional bersama-sama dengan etnik Melayu.

Inilah sebetulnya kesetiaan penuh yang dikehendaki itu.

Penulis ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut  Masa Depan Malaysia (MASA).

Sumber: Utusan Malaysia