Media sosial bukan medan meluaskan kebencian

Oleh Profesor Madya Dr. Jessica Ong  Hai Liaw dan Rabi’ahtuladawyah  Md. Saleh

 

DALAM dunia yang dipenuhi dengan berita palsu dan propaganda, penting untuk melakukan semakan yang teliti bagi memastikan maklumat yang diterima betul dan boleh dipercayai.

Seperkara lagi, rakyat Malaysia memang cukup terkenal sebagai orang yang cukup pemurah dalam segala hal, murah dengan senyuman, dermawan pula sehingga amatlah ‘pemurah’ dalam segala hal dalam media sosial, tanpa mengambil kira kesan dan akibat daripada sifat  pemurah yang terlebih-lebih ini.

Dari segi psikolinguistik, kebiasaan gaya berbahasa dalam media sosial  membalik, menyingkat, menghilangkan suku kata dan akronim dilakukan dalam situasi tidak rasmi tetapi ia boleh menimbulkan salah pemahaman dan membawa  kepada konflik yang beranting atau bebenang.

Satu perkara yang perlu diberikan perhatian ialah ucapan berisi kebencian yang menular dalam masyarakat yang semakin kompleks ini.  Sama ada secara sengaja atau tidak, halus atau secara langsung, pendekatan holistik perlu diambil untuk mengekang ‘pandemik’ jiwa  ini dalam kalangan kita.

Program termasuk advokasi dan pendidikan yang mempromosikan kesedaran dan pemahaman tentang nilai etika bermasyarakat serta menggalakkan pemikiran  kritis perlu lebih diperluaskan  serta dipergiatkan lagi dalam pelbagai media.

Setiap anggota masyarakat  bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian  dan keamanan masyarakat  terjaga. Usahlah terlalu cepat menyebarkan sesuatu, apatah lagi kandungannya boleh merosakkan ketenteraman dan menimbulkan kegelisahan.

Pengamatan sinis Profesor Dr. Farish A. Noor, dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya menyatakan era kini, manusia berlumba-lumba untuk menjadi pelanggan kepada satu agenda penguasaan ekonomi yang cukup berstrategi dan licik (media sosial) cukup  menarik untuk diperhalusi  dan difahami. Keghairahan  manusia dengan teknologi  dan ‘jual beli’ ini ini telah  menerbitkan kata citizen  of the net (netizen) yang  mevariasikan kebijaksanaan  atau kebodohan pengguna  kepada teknologi ini.

Melalui media sosial, maklumat yang disalurkan atau diterima pengguna mempunyai unsur yang diragui dan boleh menerbitkan kegelisahan  awam. Kita juga tidak dapat membayangkan bagaimana pihak berkuasa atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menangani hal sebegini sekiranya menerima laporan.

Peraturan dan garis panduan yang ketat perlu diterapkan dalam media sosial. Adakalanya pendidikan perlu disusuli dengan tindakan hukuman untuk  memastikan kebencian  tidak dibiarkan berkembang  sehingga merebak menjadi  tidak terkawal.

TikTok contohnya ialah tempat komuniti yang berbilang dan bertenaga,  daripada semua latar belakang bersatu untuk  mencari kegembiraan,  mengilhamkan kreativiti  dan mengekspresikan diri mereka.

Seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Komuniti aplikasi ini, perlakuan yang berunsurkan kebencian tidak sesuai dengan persekitaran kreatif dan terangkum TikTok, selain komited untuk terus menambah baik cara melindungi komuniti mereka.

Jenama media sosial yang digunakan oleh warga internet hari ini merupakan platform perdagangan yang boleh dimanfaatkan untuk  pelbagai agenda dan juga  impak.

Ucapan kebencian dan tingkah laku yang penuh kebencian merangkumi tingkah laku menyerang, mengancam, merendahkan  atau menjatuhkan maruah  individu atau kumpulan  berdasarkan sifat mereka.  Ini termasuk ciri-ciri seperti bangsa, etnik, asal negara, agama, kasta, orientasi  seksual, jantina, gender,  identiti jantina, penyakit  serius, ketidakupayaan dan  status imigrasi.

Serangan yang tidak tertumpu kepada ciri ciri seseorang individu atau kumpulan boleh dianggap sebagai pembulian atau gangguan.

KESAN UCAPAN BENCI

Ucapan kebencian boleh disampaikan dalam  sebarang bentuk, termasuk  imej, kartun, meme, objek, gerak isyarat dan simbol.  Setengahnya mungkin menggunakan reaksi kata kasar dan berbaur perkauman.

Bentuk kebencian yang paling kerap dipaparkan ialah mengambil kumpulan dan menganggap mereka sebagai ‘yang lain’. Keterasingan kelompok sebagai berbeza dari segi kelakuan, nilai dan dalam sesetengah kes mereka  boleh mencapai tahap sebagai  individu atau pihak yang tidak  berperikemanusiaan.

Dengan menggunakan tema ini, individu dan/atau kumpulan kebencian ini akan menyasarkan mangsa melalui pelbagai taktik. Pengguna berisiko diserang kerana identiti yang dianggap menyakitkan dan menyedihkan. Panduan TikTok kepada penggunanya bahawa aplikasi ini tidak bertolak ansur dengan serangan ini di platform mereka.

Tanpa mengira sama ada  anda atau ahli komuniti  lain diserang kerana identiti mereka, kita semua  seharusnya bijak dan segera  melaporkan perkara tersebut  kepada pengendali aplikasi.  Kebencian tidak selalunya  mudah untuk dikenal pasti seperti mencapai keseimbangan yang betul  dengan kebebasan bersuara,  justeru maklum balas pengguna penting untuk membantu pengendali  menyemak dan menambah baik dasar, sistem dan produk aplikasi mereka secara  berterusan.

Jika mangsa ialah seseorang yang kita kenali, pertimbangkan untuk bertanya kepada mereka supaya kita boleh bercakap tentang perkara yang mungkin mereka alami.  Selain itu kita juga boleh melayari halaman sumber  #NoToHate Pertubuhan  Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengetahui lebih lanjut tentang ucapan kebencian dan kesannya terhadap  masyarakat kita dan global.

Berdasarkan hasil kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), perpaduan negara  berada pada tahap baik dan terkawal dengan skor 0.629 pada 2022. Walaupun pada tahap terkawal, hakikatnya  masih terdapat cabaran yang boleh menggugat perpaduan  sekiranya ia tidak ditangani dengan baik.

Pelbagai faktor seperti globalisasi, perkembangan  teknologi, akses kepada  maklumat serta penggunaan  media sosial yang meluas  telah mengubah landskap  pembangunan negara yang  boleh menggugat perpaduan.  Kekurangan ini disebabkan  jurang perbezaan persepsi  dan pendapat dalam kalangan  kelompok yang berbeza  bermula dengan individu,  keluarga dan masyarakat.

Dalam dunia siber, jangan  lupa kita berkomunikasi  dengan manusia lain, bukannya mesin. Apabila  kita berkomunikasi secara  elektronik, apa yang  dapat dilihat hanyalah skrin komputer. Anda tidak mempunyai peluang  menggunakan mimik muka,  gerakan tangan dan nada  suara dalam menyatakan  maksud komunikasi.

Apa yang anda ada hanyalah perkataan emoji yang ditaip secara sendirian.  Berpada-padalah menikmati kemajuan teknologi ini.

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong  Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional  Malaysia; Felow Majlis Profesor  Negara dan Institut Masa Depan  Malaysia.  

RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan  Bahasa & Pustaka.

Sumber : Utusan Malaysia

Kongsi Artikel

Artikel Lain

No data was found