Oleh Azhan Hasan
MEMASUKI 2025, antara cukai baharu bakal dilaksanakan kerajaan adalah Cukai Minimum Global (GMT) pada kadar 15 peratus terhadap syarikat multinasional (MNC) mempunyai pendapatan global tahunan sekurang-kurangnya 750 juta euro dengan sebuah anak syarikat beroperasi di negara lain.
Pelaksanaan rejim cukai ini yang dipersetujui secara dasar kerajaan sejak Ogos, 2022 akan menghasilkan bukan sahaja pertumbuhan baharu ekonomi negara, malah meningkatkan hasil sumber baharu. Secara tidak langsung, langkah ini dapat memastikan MNC melunaskan tanggungjawab cukai mereka ke atas negara ini dengan penuh berhemat dan komitmen tinggi.
GMT adalah langkah penting dalam reformasi cukai antarabangsa untuk meningkatkan keadilan dan ketelusan. Walaupun Malaysia mungkin menghadapi cabaran dalam pelaksanaannya, pendekatan ini berpotensi memberikan manfaat jangka panjang melalui peningkatan hasil cukai dan mengekang amalan mengelak cukai MNC.
Paling utama, ia dapat menghindari daripada berlaku masalah ketirisan dalam kutipan hasil negara. Dijangkakan usaha ini mampu membawa penambahan hasil sebanyak RM1 bilion kepada Malaysia.
GMT dilihat sebagai lebih adil dan saksama, yang mana perkongsian keuntungan dapat dirasai kedua-dua pihak, iaitu MNC dan rakyat, selari dengan konsep kemakmuran bersama. Rombakan sistem cukai ini juga mampu meningkatkan pendapatan negara dalam persekitaran ekonomi digital sentiasa berubah.
Penyaluran tambahan cukai kepada sektor ekonomi akan memastikan sektor ekonomi domestik mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus mengukuhkan prestasi Malaysia di pentas global.
Rejim cukai global ini juga bakal membawa banyak peralihan kawal selia, pematuhan dan percukaian untuk MNC seperti terkandung dalam Peraturan Global Anti-Base Erosion (GloBE). Pada Oktober 2021, lebih 130 negara, termasuk Malaysia bersetuju dengan rejim cukai ini.
Dalam aspek ini, MNC perlu merancang secara proaktif untuk memastikan syarikat mereka sentiasa mematuhi peraturan sambil menjimatkan cukai dan kos operasi. Memandangkan Malaysia menyokong peraturan GloBE, pastinya negara akan memperoleh ketelusan dan keseragaman lebih besar dalam pelaporan cukai.
Selain memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam pembayaran cukai, pelaksanaannya juga akan mengurangkan percanggahan dalam persaingan cukai membabitkan kuasa menawarkan kadar cukai terlalu rendah.
Usaha ini mampu mewujudkan herotan ekonomi serta pembangunan mampan menerusi pengurangan peralihan keuntungan dan penambahbaikan pematuhan cukai.
Pastinya, ini dapat meningkatkan hasil kerajaan dan membolehkan kerajaan membiayai perkhidmatan awam, melaksanakan projek penting infrastruktur dan program sosial untuk rakyat.
Perkukuh kerjasama global
Pelaksanaan GMT juga akan mengukuhkan kerjasama global Malaysia dalam menyediakan platform berstruktur bagi menyelaras dasar percukaian untuk menangani perbuatan mengelak cukai rentas sempadan dengan lebih berkesan.
MNC besar yang sebelum ini menikmati kadar cukai rendah akan menyumbang lebih banyak kepada pembangunan masyarakat, secara tidak langsung, membantu mengurangkan jurang ekonomi dan menyokong usaha pembangunan mampan.
Rejim cukai ini juga dapat mengalihkan fokus pelabur daripada insentif cukai semata-mata kepada faktor lain seperti infrastruktur, kestabilan politik dan kualiti tenaga kerja, selain menjadikan Malaysia lebih menarik kepada pelabur asing.
Melalui persekitaran perniagaan lebih stabil, penyeragaman liabiliti cukai dan rangka kerja, pelaksanaan GMT juga akan menggalakkan pelaburan jangka masa panjang serta pertumbuhan ekonomi mampan.
Fasa ini penting bagi syarikat menyesuaikan sistem mereka dengan pematuhan akan datang dan merancang cukai mereka dengan sewajarnya.
Oleh itu, pelaksanaannya bukan sahaja mampu menarik pelaburan berkualiti tinggi, malah boleh membantu Malaysia menarik pelabur asing bersedia membayar kadar cukai lebih tinggi, tetapi memberikan nilai tambah melalui inovasi, teknologi dan peluang pekerjaan.
Langkah ini juga akan menggalakkan MNC melabur secara bertanggungjawab dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan tidak mengeksploitasi kadar cukai rendah.
Dengan kadar cukai minimum global, Malaysia tidak perlu menawarkan kadar cukai terlalu rendah untuk kekal kompetitif di peringkat antarabangsa.
Dalam konteks pasca-pandemik COVID-19, hasil cukai tambahan daripada GMT boleh digunakan untuk menyokong langkah pemulihan ekonomi. Dana ini boleh digunakan untuk membantu sektor terjejas dan meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia.
Melalui pelaksanaan GMT, Malaysia membuktikan komitmen terhadap tadbir urus ekonomi global adil dan mampan. Ini membantu memperbaiki reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan stabil dan berintegriti tinggi.
Disamping itu, pelaksanaannya akan memastikan syarikat multinasional menyumbang cukai berdasarkan keuntungan diperoleh. Ini mengurangkan beban cukai ke atas syarikat tempatan dan rakyat, malah mewujudkan sistem cukai lebih adil dan inklusif.
Pelaksanaan GMT adalah langkah strategik jangka panjang mampu memberikan manfaat besar kepada negara dalam konteks ekonomi global semakin kompleks dan saling berkait.
Ia bukan sahaja meningkatkan hasil cukai negara tetapi juga menyokong pembangunan lebih mampan dan adil untuk semua rakyat negara ini.