Oleh Profesor Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw dan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh
DALAM dunia yang dipenuhi dengan berita palsu dan propaganda, penting untuk melakukan semakan yang teliti bagi memastikan maklumat yang diterima betul dan boleh dipercayai.
Seperkara lagi, rakyat Malaysia memang cukup terkenal sebagai orang yang cukup pemurah dalam segala hal, murah dengan senyuman, dermawan pula sehingga amatlah ‘pemurah’ dalam segala hal dalam media sosial, tanpa mengambil kira kesan dan akibat daripada sifat pemurah yang terlebih-lebih ini.
Dari segi psikolinguistik, kebiasaan gaya berbahasa dalam media sosial membalik, menyingkat, menghilangkan suku kata dan akronim dilakukan dalam situasi tidak rasmi tetapi ia boleh menimbulkan salah pemahaman dan membawa kepada konflik yang beranting atau bebenang.
Satu perkara yang perlu diberikan perhatian ialah ucapan berisi kebencian yang menular dalam masyarakat yang semakin kompleks ini. Sama ada secara sengaja atau tidak, halus atau secara langsung, pendekatan holistik perlu diambil untuk mengekang ‘pandemik’ jiwa ini dalam kalangan kita.
Program termasuk advokasi dan pendidikan yang mempromosikan kesedaran dan pemahaman tentang nilai etika bermasyarakat serta menggalakkan pemikiran kritis perlu lebih diperluaskan serta dipergiatkan lagi dalam pelbagai media.
Setiap anggota masyarakat bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian dan keamanan masyarakat terjaga. Usahlah terlalu cepat menyebarkan sesuatu, apatah lagi kandungannya boleh merosakkan ketenteraman dan menimbulkan kegelisahan.
Pengamatan sinis Profesor Dr. Farish A. Noor, dari Jabatan Sejarah, Universiti Malaya menyatakan era kini, manusia berlumba-lumba untuk menjadi pelanggan kepada satu agenda penguasaan ekonomi yang cukup berstrategi dan licik (media sosial) cukup menarik untuk diperhalusi dan difahami. Keghairahan manusia dengan teknologi dan ‘jual beli’ ini ini telah menerbitkan kata citizen of the net (netizen) yang mevariasikan kebijaksanaan atau kebodohan pengguna kepada teknologi ini.
Melalui media sosial, maklumat yang disalurkan atau diterima pengguna mempunyai unsur yang diragui dan boleh menerbitkan kegelisahan awam. Kita juga tidak dapat membayangkan bagaimana pihak berkuasa atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menangani hal sebegini sekiranya menerima laporan.
Peraturan dan garis panduan yang ketat perlu diterapkan dalam media sosial. Adakalanya pendidikan perlu disusuli dengan tindakan hukuman untuk memastikan kebencian tidak dibiarkan berkembang sehingga merebak menjadi tidak terkawal.
TikTok contohnya ialah tempat komuniti yang berbilang dan bertenaga, daripada semua latar belakang bersatu untuk mencari kegembiraan, mengilhamkan kreativiti dan mengekspresikan diri mereka.
Seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan Komuniti aplikasi ini, perlakuan yang berunsurkan kebencian tidak sesuai dengan persekitaran kreatif dan terangkum TikTok, selain komited untuk terus menambah baik cara melindungi komuniti mereka.
Jenama media sosial yang digunakan oleh warga internet hari ini merupakan platform perdagangan yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai agenda dan juga impak.
Ucapan kebencian dan tingkah laku yang penuh kebencian merangkumi tingkah laku menyerang, mengancam, merendahkan atau menjatuhkan maruah individu atau kumpulan berdasarkan sifat mereka. Ini termasuk ciri-ciri seperti bangsa, etnik, asal negara, agama, kasta, orientasi seksual, jantina, gender, identiti jantina, penyakit serius, ketidakupayaan dan status imigrasi.
Serangan yang tidak tertumpu kepada ciri ciri seseorang individu atau kumpulan boleh dianggap sebagai pembulian atau gangguan.
KESAN UCAPAN BENCI
Ucapan kebencian boleh disampaikan dalam sebarang bentuk, termasuk imej, kartun, meme, objek, gerak isyarat dan simbol. Setengahnya mungkin menggunakan reaksi kata kasar dan berbaur perkauman.
Bentuk kebencian yang paling kerap dipaparkan ialah mengambil kumpulan dan menganggap mereka sebagai ‘yang lain’. Keterasingan kelompok sebagai berbeza dari segi kelakuan, nilai dan dalam sesetengah kes mereka boleh mencapai tahap sebagai individu atau pihak yang tidak berperikemanusiaan.
Dengan menggunakan tema ini, individu dan/atau kumpulan kebencian ini akan menyasarkan mangsa melalui pelbagai taktik. Pengguna berisiko diserang kerana identiti yang dianggap menyakitkan dan menyedihkan. Panduan TikTok kepada penggunanya bahawa aplikasi ini tidak bertolak ansur dengan serangan ini di platform mereka.
Tanpa mengira sama ada anda atau ahli komuniti lain diserang kerana identiti mereka, kita semua seharusnya bijak dan segera melaporkan perkara tersebut kepada pengendali aplikasi. Kebencian tidak selalunya mudah untuk dikenal pasti seperti mencapai keseimbangan yang betul dengan kebebasan bersuara, justeru maklum balas pengguna penting untuk membantu pengendali menyemak dan menambah baik dasar, sistem dan produk aplikasi mereka secara berterusan.
Jika mangsa ialah seseorang yang kita kenali, pertimbangkan untuk bertanya kepada mereka supaya kita boleh bercakap tentang perkara yang mungkin mereka alami. Selain itu kita juga boleh melayari halaman sumber #NoToHate Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengetahui lebih lanjut tentang ucapan kebencian dan kesannya terhadap masyarakat kita dan global.
Berdasarkan hasil kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas), perpaduan negara berada pada tahap baik dan terkawal dengan skor 0.629 pada 2022. Walaupun pada tahap terkawal, hakikatnya masih terdapat cabaran yang boleh menggugat perpaduan sekiranya ia tidak ditangani dengan baik.
Pelbagai faktor seperti globalisasi, perkembangan teknologi, akses kepada maklumat serta penggunaan media sosial yang meluas telah mengubah landskap pembangunan negara yang boleh menggugat perpaduan. Kekurangan ini disebabkan jurang perbezaan persepsi dan pendapat dalam kalangan kelompok yang berbeza bermula dengan individu, keluarga dan masyarakat.
Dalam dunia siber, jangan lupa kita berkomunikasi dengan manusia lain, bukannya mesin. Apabila kita berkomunikasi secara elektronik, apa yang dapat dilihat hanyalah skrin komputer. Anda tidak mempunyai peluang menggunakan mimik muka, gerakan tangan dan nada suara dalam menyatakan maksud komunikasi.
Apa yang anda ada hanyalah perkataan emoji yang ditaip secara sendirian. Berpada-padalah menikmati kemajuan teknologi ini.
PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia; Felow Majlis Profesor Negara dan Institut Masa Depan Malaysia.
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa di Dewan Bahasa & Pustaka.
Sumber : Utusan Malaysia