Baru-baru ini, rata-rata peniaga kecil dan pengguna perkhidmatan DuitNow QR menyuarakan kebimbangan dengan penamatan pengecualian kadar diskaun peniaga (MDR) bagi caj transaksi pembayaran yang diterima menerusi platform kod DuitNow QR berkuat kuasa 1 November 2023.
Hakikatnya, sebarang pengenaan caj walaupun kecil kepada peniaga terutama dalam keadaan ekonomi negara yang masih tidak menentu meruncing sudah tentu akan memberi kesan, terutama kepada perniagaan mikro dan kecil. Pengenaan caj ke atas pengguna DuitNow meresahkan peniaga kecil yang kebanyakan bimbang “untung tidak seberapa” mereka makin mengecil.
Menurut pakar ekonomi dan persatuan pengguna, pengguna termasuk golongan berpendapatan rendah tetap akan terbeban dengan pelaksanaan caj transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit.
Selain itu, menurut Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng, pihaknya berusaha keras menggalakkan usahawan kecil dan sederhana (PMKS) beralih kepada digital tetapi mengenakan caj seperti itu akan membantutkan usaha tersebut.
Susulan itu, beberapa bank utama seperti Public Bank, CIMB Bank, Maybank, Hong Leong Bank dan penyedia perkhidmatan kewangan bukan bank utama telah mengumumkan untuk terus menangguhkan caj transaksi DuitNow QR bagi perniagaan mikro dan kecil buat masa ini.
Walaupun inisiatif penangguhan caj transaksi ini dialu-alukan, namun ia hanyalah bersifat sementara. Dalam pada kerajaan menggalakkan pembayaran tanpa tunai selaras agenda digitalisasi, perkembangan terbaharu ini boleh merencatkan usaha itu.