By Muhammad Haqimie Aiman Rosli
Bahasa memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum.
Di Malaysia, bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan melalui Perkara 152 Perlembagaan, mencerminkan peranannya membina identiti nasional dan memperkukuhkan hubungan antara rakyat berbeza etnik.
Dalam menghadapi cabaran polarisasi kaum, penggunaan bahasa Melayu meluas boleh menjadi benteng menyatukan masyarakat.
Sistem pendidikan negara jelas mengiktiraf bahasa Melayu sebagai medium pengajaran di sekolah kebangsaan, sekali gus pelajar pelbagai kaum belajar bersama menggunakan satu bahasa yang sama.
Interaksi ini meningkatkan kefahaman budaya antara kaum serta memupuk semangat kebersamaan.
Melalui bahasa Melayu, rakyat dapat berkongsi pengalaman dan pandangan, sekali gus membina hubungan lebih kukuh. Pemahaman bahasa Melayu lemah dalam kalangan kaum tertentu mencipta jurang antara kaum.
Selain dalam sistem pendidikan, penggunaan bahasa Melayu secara rasmi dalam sektor awam dan swasta juga menggalakkan hubungan harmoni. Dengan menggunakan bahasa yang sama, halangan komunikasi dapat dikurangkan dan perbezaan bu- daya tidak lagi menjadi isu besar.
Sebagai contoh, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 menyarankan penjawat awam mempunyai pemahaman baik bahasa Melayu dan menggunakannya dalam urusan rasmi kerajaan.
Jambatan penhubung antara kaum
Polarisasi kaum berlaku apabila terdapat perbezaan dalam cara hidup, kepercayaan dan bahasa. Apabila menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, jurang antara kaum dapat dikurangkan. Kempen dan program mempromosi penggunaan bahasa Melayu seperti pertandingan dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dapat memperhebatkan lagi rasa cinta terhadap bahasa ini, terutama dalam kalangan generasi muda.
Sayembara Penulisan Kreatif DBP misalnya, mampu mempromosi pemahaman bahasa Melayu menerusi penulisan. Platform media sosial, juga patut dimanfaatkan untuk mempromosi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Kandungan digital menyebarkan kesedaran kepentingan bahasa Melayu dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan bahasa ini dalam menyatukan rakyat.
Namun, cabaran masih wujud apabila sesetengah pihak, termasuk ahli politik lebih gemar menggunakan bahasa asing atau bahasa ibunda mereka, terutama dalam majlis rasmi. Sikap ini memberikan contoh tidak baik kepada generasi muda.
Pemimpin negara dan institusi pendidikan memainkan peranan penting memastikan bahasa Melayu menjadi alat perpaduan. Dasar menyokong penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perlu dilaksanakan secara konsisten.
Selain itu, guru dan pendidik perlu diberi latihan sesuai untuk mengajar subjek Bahasa Melayu dengan berkesan. Menerusi sokongan berterusan masyarakat, bahasa Melayu dapat terus memainkan peranannya sebagai alat perpaduan, membina Malaysia harmoni dan bersatu.
Secara keseluruhan, bahasa Melayu adalah aset yang penting untuk mengatasi polarisasi kaum di Malaysia. Sebagai bahasa kebangsaan, ia bukan sahaja alat komunikasi, tetapi juga simbol perpaduan menghubungkan rakyat pelbagai latar belakang.