Badan kehakiman jangan melangkaui batas

By Datuk Dr. Marzuki Mohamad

MUTAKHIR ini telah berlaku perubahan besar dalam sikap badan kehakiman negara khususnya berkaitan undang-undang Islam dan kuasa mahkamah syariah.

Dalam kes Iki Putra Mubarak lwn Kerajaan Negeri Selangor (2021), Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa undang-undang jenayah syariah negeri Selangor berkaitan kesalahan liwat adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.

Sebelum itu, dalam kes Indira Ghandi lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018), Mahkamah Persekutuan memutuskan mahkamah sivil mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan Pendaftar Mualaf mengenai pengislaman saudara baharu. Kesannya, pengislaman tiga orang kanak-kanak yang bapanya memeluk Islam telah diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah sivil.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, dalam kes ini berkata pendekatan yang diambil oleh hakim-hakim terdahulu bahawa kes-kes berkaitan agama Islam berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah sepenuhnya adalah salah. Beliau sebaliknya menegaskan berdasarkan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan, mahkamah sivil mempunyai kuasa untuk melakukan semakan kehakiman termasuk dalam kes-kes yang melibatkan undang-undang Islam. Bagi beliau ini adalah ‘struktur asas’ Perlembagaan yang tidak boleh dirampas daripada mahkamah sivil atau diberikan kepada mahkamah syariah sama ada melalui pindaan Perlembagaan, Akta Parlimen atau undang-undang negeri.

Untuk orang awam lebih memahami isu ini, saya ingin memberikan sedikit latar belakang mengenai isu
pertindihan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah di Malaysia.

Sebelum 1988, terdapat kes-kes di mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah syariah memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil dengan tujuan supaya keputusan mahkamah syariah dibatalkan oleh hakim mahkamah sivil. Maka timbul kecelaruan di mana keputusan yang telah dibuat oleh hakim  mahkamah syariah dibatalkan  oleh hakim mahkamah sivil.

Untuk mengelakkan kecelaruan ini, Parlimen pada  tahun 1988 telah meminda  Perlembagaan Persekutuan  dengan memasukkan Perkara  121(1A) yang memperuntukkan  bahawa mahkamah sivil  tidak mempunyai bidang  kuasa dalam perkara-perkara  yang termasuk dalam bidang  kuasa mahkamah syariah. Ini  termasuklah kes-kes berkaitan  nikah kahwin, perceraian,  hak penjagaan anak, harta  sepencarian, kesalahan  jenayah syariah dan lain lain yang termaktub dalam  enakmen undang-undang  Islam dan terpakai hanya ke  atas orang Islam.  

Dengan itu, tidaklah terjadi  keadaan di mana keputusan  yang dibuat oleh hakim  mahkamah syariah yang arif  dalam bidang hukum-hakam  Islam dibatalkan oleh hakim  mahkamah sivil yang tidak  mempunyai pengetahuan  mengenainya. 

Selepas pindaan Perlembagaan 1988, hakim-hakim mahkamah sivil akur  dengan keputusan yang telah  dibuat oleh Parlimen. Ini  kerana telah menjadi tradisi  dalam kalangan hakim terdahulu untuk berpegang  kepada prinsip pengasingan  kuasa dengan Parlimen berkuasa untuk membuat  undang-undang dan meminda  Perlembagaan. Mahkamah  pula berkuasa mentafsir  undang-undang yang dibuat  oleh Parlimen dan boleh  mengisytiharkan undang undang tersebut sebagai tidak  sah sekiranya bercanggah  dengan peruntukan yang  termaktub secara jelas dalam  Perlembagaan. 

Jika ada pihak yang tidak  berpuas hati dengan undang undang yang dibuat oleh  Parlimen, maka mereka  hendaklah mengadu kepada  Parlimen, bukan kepada  mahkamah. Jika aduan mereka  itu tidak didengar oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen,  mereka berhak menghukum  wakil-wakil rakyat di peti undi.  Ini pendirian yang diambil  oleh Almarhum Raja Azlan  Shah, Hakim Mahkamah  Persekutuan, dalam kes  Loh Koi Choon lwn Kerajaan  Malaysia (1975). 

Bagi hakim-hakim  terdahulu, itulah sistem  demokrasi berparlimen yang  diamalkan di negara kita. 

BERUBAH 

Namun, sikap badan  kehakiman mutakhir ini  telah berubah. Mereka telah  menggunakan doktrin struktur  asas (BSD) yang dicedok dari  India. Menggunakan doktrin  ini, hakim-hakim mengatakan  bahawa mereka mempunyai  kuasa untuk mengisytiharkan pindaan Perlembagaan atau  undang-undang yang dibuat  oleh Parlimen sebagai tidak  sah kerana bertentangan  dengan struktur asas Perlembagaan.  

Struktur asas ini pula tidaklah dinyatakan secara  jelas dalam Perlembagaan.  Ia boleh ditentukan oleh  hakim-hakim mengikut  neraca mereka sendiri dengan  melihat keseluruhan skema  Perlembagaan. Ini termasuklah  pengasingan kuasa, hak asasi  manusia dan lain-lain lagi. 

Menurut bekas Hakim Mahkamah Persekutuan,  Datuk Seri Gopal Sri  Ram, dalam kes Sivarasa  Rasiah lwn Badan Peguam  Malaysia (2010), struktur  asas Perlembagaan boleh  ditentukan berdasarkan  satu kes ke satu kes. Ini bermakna, hakim-hakim boleh  menentukan struktur asas  Perlembagaan mengikut suka  hati mereka (arbitrary).

Katakanlah suatu masa nanti Mahkamah Persekutuan  memutuskan struktur asas  Perlembagaan negara kita  adalah sekular. Maka semua  undang-undang Islam yang  bercanggah dengan prinsip  sekularisme akan terbatal  dengan sendirinya.  

Kewujudan institus-institusi Islam di negara Persekutuan dan undang undang Islam sebagai undang-undang yang sah sebagai ciri  penting Perlembagaan yang  mesti dipelihara. 

Selain itu, kuasa Parlimen  untuk membuat undang-undang juga mesti dihormati  oleh badan kehakiman.  Mengambil suatu doktrin  asing untuk membatasi kuasa  Parlimen bukanlah sesuatu  yang boleh diterima. 

Ahli-ahli Parlimen dipilih  oleh rakyat. Jika mereka  membuat undang-undang  yang bukan-bukan, rakyat  berhak menolak mereka dalam  pilihan raya. 

Hakim-hakim pula tidak  dipilih oleh rakyat. Mereka  tidak boleh ditukar sekali pun  mereka membuat keputusan  yang tidak boleh diterima oleh  majoriti rakyat.  

Jadi, wajarlah badan kehakiman diperingatkan  agar jangan melangkaui  batas yang telah ditentukan  oleh Perlembagaan. Kita  tidak memerlukan suatu  ‘oligarki kehakiman’ yang  menjunjung faham keagungan  badan kehakiman (judicial  supremacy) yang tidak selari  dengan nilai, budaya dan  agama masyarakat Malaysia. 

 

Penulis ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Source: https://www.utusan.com.my/rencana/2024/01/badan-kehakiman-jangan-melangkaui-batas/

Share Article

More Article

No data was found