By Datuk Dr. Marzuki Mohamad
MUTAKHIR ini telah berlaku perubahan besar dalam sikap badan kehakiman negara khususnya berkaitan undang-undang Islam dan kuasa mahkamah syariah.
Dalam kes Iki Putra Mubarak lwn Kerajaan Negeri Selangor (2021), Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa undang-undang jenayah syariah negeri Selangor berkaitan kesalahan liwat adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah.
Sebelum itu, dalam kes Indira Ghandi lwn Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (2018), Mahkamah Persekutuan memutuskan mahkamah sivil mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan Pendaftar Mualaf mengenai pengislaman saudara baharu. Kesannya, pengislaman tiga orang kanak-kanak yang bapanya memeluk Islam telah diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah sivil.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, dalam kes ini berkata pendekatan yang diambil oleh hakim-hakim terdahulu bahawa kes-kes berkaitan agama Islam berada di bawah bidang kuasa mahkamah syariah sepenuhnya adalah salah. Beliau sebaliknya menegaskan berdasarkan Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan, mahkamah sivil mempunyai kuasa untuk melakukan semakan kehakiman termasuk dalam kes-kes yang melibatkan undang-undang Islam. Bagi beliau ini adalah ‘struktur asas’ Perlembagaan yang tidak boleh dirampas daripada mahkamah sivil atau diberikan kepada mahkamah syariah sama ada melalui pindaan Perlembagaan, Akta Parlimen atau undang-undang negeri.
Untuk orang awam lebih memahami isu ini, saya ingin memberikan sedikit latar belakang mengenai isu
pertindihan bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah di Malaysia.
Sebelum 1988, terdapat kes-kes di mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah syariah memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah sivil dengan tujuan supaya keputusan mahkamah syariah dibatalkan oleh hakim mahkamah sivil. Maka timbul kecelaruan di mana keputusan yang telah dibuat oleh hakim mahkamah syariah dibatalkan oleh hakim mahkamah sivil.
Untuk mengelakkan kecelaruan ini, Parlimen pada tahun 1988 telah meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Perkara 121(1A) yang memperuntukkan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara-perkara yang termasuk dalam bidang kuasa mahkamah syariah. Ini termasuklah kes-kes berkaitan nikah kahwin, perceraian, hak penjagaan anak, harta sepencarian, kesalahan jenayah syariah dan lain lain yang termaktub dalam enakmen undang-undang Islam dan terpakai hanya ke atas orang Islam.
Dengan itu, tidaklah terjadi keadaan di mana keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah syariah yang arif dalam bidang hukum-hakam Islam dibatalkan oleh hakim mahkamah sivil yang tidak mempunyai pengetahuan mengenainya.
Selepas pindaan Perlembagaan 1988, hakim-hakim mahkamah sivil akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh Parlimen. Ini kerana telah menjadi tradisi dalam kalangan hakim terdahulu untuk berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa dengan Parlimen berkuasa untuk membuat undang-undang dan meminda Perlembagaan. Mahkamah pula berkuasa mentafsir undang-undang yang dibuat oleh Parlimen dan boleh mengisytiharkan undang undang tersebut sebagai tidak sah sekiranya bercanggah dengan peruntukan yang termaktub secara jelas dalam Perlembagaan.
Jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan undang undang yang dibuat oleh Parlimen, maka mereka hendaklah mengadu kepada Parlimen, bukan kepada mahkamah. Jika aduan mereka itu tidak didengar oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen, mereka berhak menghukum wakil-wakil rakyat di peti undi. Ini pendirian yang diambil oleh Almarhum Raja Azlan Shah, Hakim Mahkamah Persekutuan, dalam kes Loh Koi Choon lwn Kerajaan Malaysia (1975).
Bagi hakim-hakim terdahulu, itulah sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara kita.
BERUBAH
Namun, sikap badan kehakiman mutakhir ini telah berubah. Mereka telah menggunakan doktrin struktur asas (BSD) yang dicedok dari India. Menggunakan doktrin ini, hakim-hakim mengatakan bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang dibuat oleh Parlimen sebagai tidak sah kerana bertentangan dengan struktur asas Perlembagaan.
Struktur asas ini pula tidaklah dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan. Ia boleh ditentukan oleh hakim-hakim mengikut neraca mereka sendiri dengan melihat keseluruhan skema Perlembagaan. Ini termasuklah pengasingan kuasa, hak asasi manusia dan lain-lain lagi.
Menurut bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, dalam kes Sivarasa Rasiah lwn Badan Peguam Malaysia (2010), struktur asas Perlembagaan boleh ditentukan berdasarkan satu kes ke satu kes. Ini bermakna, hakim-hakim boleh menentukan struktur asas Perlembagaan mengikut suka hati mereka (arbitrary).
Katakanlah suatu masa nanti Mahkamah Persekutuan memutuskan struktur asas Perlembagaan negara kita adalah sekular. Maka semua undang-undang Islam yang bercanggah dengan prinsip sekularisme akan terbatal dengan sendirinya.
Kewujudan institus-institusi Islam di negara Persekutuan dan undang undang Islam sebagai undang-undang yang sah sebagai ciri penting Perlembagaan yang mesti dipelihara.
Selain itu, kuasa Parlimen untuk membuat undang-undang juga mesti dihormati oleh badan kehakiman. Mengambil suatu doktrin asing untuk membatasi kuasa Parlimen bukanlah sesuatu yang boleh diterima.
Ahli-ahli Parlimen dipilih oleh rakyat. Jika mereka membuat undang-undang yang bukan-bukan, rakyat berhak menolak mereka dalam pilihan raya.
Hakim-hakim pula tidak dipilih oleh rakyat. Mereka tidak boleh ditukar sekali pun mereka membuat keputusan yang tidak boleh diterima oleh majoriti rakyat.
Jadi, wajarlah badan kehakiman diperingatkan agar jangan melangkaui batas yang telah ditentukan oleh Perlembagaan. Kita tidak memerlukan suatu ‘oligarki kehakiman’ yang menjunjung faham keagungan badan kehakiman (judicial supremacy) yang tidak selari dengan nilai, budaya dan agama masyarakat Malaysia.
Penulis ialah Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Source: https://www.utusan.com.my/rencana/2024/01/badan-kehakiman-jangan-melangkaui-batas/