Amal gaya hidup lestari harungi tekanan kenaikan kos sara hidup

By Lili Fariza Ariffin

Sukar untuk menafikan hakikat kenaikan harga barangan asas dan makanan atau kos sara hidup di samping berlaku inflasi, kemerosotan nilai ringgit, ditambah pula dengan kenaikan dua peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (SST) sejak 1 Mac lalu, semakin mencengkam kehidupan rakyat.

Hari ini, kuasa beli rakyat mengecil, terutama golongan miskin, B40, malah golongan M40. Ada yang terkapai-kapai memikirkan bagaimanakah cara hendak meneruskan kelangsungan hidup pada masa ini akibat tersepit dengan keadaan ekonomi semasa.

Menurut Jabatan Perangkaan, Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) negara mencatatkan 115.5 mata pada suku keempat 2023, peningkatan 1.0 peratus berbanding 1.4 peratus pada suku ketiga 2023. Kebanyakan subsektor turut merekodkan peningkatan harga pada suku tahun ini.

Subsektor kesenian, hiburan dan rekreasi meningkat sebanyak 5.5 peratus (suku ketiga 2023, 0.8 peratus), manakala penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman merekodkan kenaikan 3.4 peratus (suku ketiga 2023, 4.6 peratus).

Peningkatan itu disebabkan kenaikan dalam aktiviti perkhidmatan minuman (4.0 peratus) dan restoran serta aktiviti perkhidmatan makan bergerak (3.8 peratus).

Komponen makanan di rumah meningkat 1.1 peratus pada Januari 2024 berbanding Disember 2023, 1.3 peratus, didorong oleh kelas perbelanjaan bijirin dan produk bijirin yang meningkat kepada 2.7 peratus pada Januari lalu berbanding 3.0 peratus pada Disember 2023.

Pendekatan menyeluruh tangani ekonomi

Angka kenaikan harga barangan seumpama ini hanya mendatangkan kegusaran pada orang ramai. Kenaikan kos sara hidup bakal memberi kesan besar kepada negara dan menyumbang kepada kesenjangan ekonomi semakin melebar antara golongan masyarakat.

Menangani kos sara hidup adalah cabaran kompleks, memerlukan pendekatan menyeluruh. Pakar ekonomi acapkali mencadangkan kadar gaji atau upah minimum pekerja dinaikkan dalam usaha membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup semakin tinggi.

Bagaimanapun, kadar gaji minimum RM1,500 sebulan ditetapkan kerajaan masih tampak kurang berhasil mengimbangi kenaikan kos sara hidup dihadapi rakyat masa kini.

Oleh itu, kerajaan perlu tangkas menangani semua masalah berkaitan hidup dan kehidupan rakyat, kos kehidupan semakin meruncing dan sebagainya secara tuntas dan terbuka, tanpa berlengah lagi.

Jika rakyat berasakan kehidupan mereka menjadi semakin sukar pada masa ini berbanding sebelumnya, ini bermakna kerajaan perlu mencari jalan menambah baik dasar, strategi, formula dan hala tuju pengurusan ekonomi sedia ada dengan segera.

Oleh itu, satu reformasi ekonomi perlu dirangka dengan teliti supaya langkah jangka pendek dan panjang dapat dilaksanakan segera untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat.

Kerajaan perlu memastikan semua kementerian dan agensi bertindak secara kolektif serta proaktif dalam mengurangkan bebanan rakyat.

Antara lain, pemantauan secara bersepadu dan berterusan untuk memastikan kekurangan bahan mentah, makanan asas dan lain-lain lagi dalam pasaran, tidak berlaku lagi. Sikap peniaga dan pemborong yang sesuka hati menaikkan harga barangan selepas kenaikan SST perlu diberi tumpuan kerajaan.

Rakyat perlu pantau harga barang

Sementara itu, rakyat juga tidak boleh lepas tangan dan perlu memainkan peranan masing-masing dengan menjadi mata serta telinga bagi pihak berwajib memantau harga barang. Penguatkuasaan undangundang dan kerjasama masyarakat adalah antara langkah paling berkesan bagi membendung masalah kenaikan harga barangan.

Mungkin kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengenakan Cukai Makmur, seperti yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2022 untuk membantu orang ramai menghadapi keadaan semasa menekan ini. Cukai Makmur perlu diperkenalkan kepada syarikat menjana pendapatan tinggi untuk membantu menampung subsidi diberikan kepada rakyat.

Paling penting, apakah usaha yang patut rakyat mainkan waktu ini, untuk mengurangkan bebanan kewangan dihadapi dan kos kehidupan semakin tinggi. Inilah masanya untuk rakyat mengamalkan gaya hidup lestari.

Rakyat boleh memulakan projek penanaman sayur-sayuran seperti ‘taman dapur’ atau pertanian menegak secara kecil-kecilan antara cara praktikal bagi mengurangkan kos perbelanjaan serta mencapai keterjaminan makanan.

Sejak kebelakangan ini, banyak projek pertanian menegak menggunakan sistem aeroponik dan hidroponik yang cekap serta efektif dilaksanakan kerana tidak memerlukan banyak air, ruang dan masa berbanding teknik pertanian konvensional.

Pembaziran sumber daya juga harus dielakkan dan aktiviti seperti kitar semula serta pembelian bertanggungjawab harus menjadi amalan rakyat.

Tidak lama lagi sebahagian besar rakyat akan menyambut Ramadan dan saban tahun berita pembaziran makanan atau perbelanjaan melampaui kemampuan sama ada di bazar atau bufet Ramadan sering berlaku.

Seiring dengan peningkatan kos sara hidup semakin meruncing ini, jadikan tahun ini sebagai permulaan untuk rakyat berbelanja lebih berhemat.

Rakyat juga kini harus menguasai literasi kewangan bagi membantu menguruskan kewangan dan gaya hidup supaya sejajar dengan pendapatan dan sumber daya tersedia.

Dalam konteks kos sara hidup, rakyat perlu lebih cakna dan berdisiplin menguruskan perbelanjaan harian, membuat perancangan kewangan jangka pendek dan panjang, serta mengambil keputusan kewangan bijak untuk mencapai kesejahteraan kewangan.

Penting bagi rakyat untuk ‘ukur baju di badan sendiri’ dan mempunyai kemampuan membezakan antara keperluan serta kehendak dalam perbelanjaan harian. Ini membantu individu membuat keputusan bijak meletakkan wang mereka dan mengutamakan perbelanjaan berkaitan dengan keperluan asas seperti makanan, perumahan dan kesihatan.

Namun, kerajaan juga tetap perlu mencari jalan bagi memastikan segala kenaikan harga barang dan kos sara hidup ini berada pada paras tidak begitu membebankan rakyat.

Source: Page 12, Berita Harian, 7 March 2024.

Share Article

More Article

No data was found