Wabak pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah memberikan impak negatif kepada banyak sektor ekonomi termasuk sektor pelancongan. Dasar Pelancongan Negara (DPN 2020-2030) yang telah dilancarkan dianggap salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu memulihkan semula industri pelancongan di yang telah terkesan akibat pandemik Covid-19 di Malaysia. Walaubagaimanapun, dasar ini haruslah dikaji semula bagi memastikan implementasi dasar ini sentiasa konsisten dan efektif terutamanya pada jangka masa panjang. Secara tidak langsung, proses adaptasi dan pemulihan terhadap komuniti setempat adalah terjamin. Kajian ini dijalankan untuk menilai ketahanan dan kapasiti adaptasi menyesuaikan diri komuniti setempat terhadap impak COVID-19 yang berkait dengan sektor pelancongan yang dijalankan di Pulau Langkawi, Kedah. Pulau Langkawi dipilih bagi kajian kes ini kerana aktiviti utama ekonomi penduduk setempat yang di Pulau Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan. Sektor pelancongan di Pulau Langkawi telah mempengaruhi ekonomi masyarakat setempat, yang disifatkan sebagai simbol untuk membantu masyarakat terutamanya dalam persekitaran ekonomi yang berubah kerana keupayaannya menjana pendapatan pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup.
Soal selidik telah dijalankan kepada komuniti yang terlibat secara langsung dengan aktiviti pelancongan di Pulau Langkawi. Hasil kajian mendapati bahawa wabak COVID-19 telah memberi kesan yang ketara kepada ekonomi komuniti setempat disebabkan sekatan sempadan negara dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan aktiviti pelancongan tidak dapat dijalankan. Pembukaan Pulau Langkawi sebagai projek rintis gelembung pelancongan sangat membantu memulihkan pendapatan komuniti setempat yang terlibat dalam sektor pelancongan di pulau tersebut. Berdasarkan dapatan kajian, sebanyak empat tunjang dalam memperkasakan sektor pelancongan di Pulau Langkawi telah dicadangkan iaitu; i) meningkatkan kemahiran inovasi dan pendigitalan sektor pelancongan, ii) memperkukuhkan tadbir urus dan respon terhadap impak pandemik, iii) membina ketahanan dan kapasiti adaptasi untuk daya saing, dan iv) koordinasi dan kerjasama antara pemegang taruh bagi melestarikan sektor pelancongan. Cadangan penambahbaikan ini tidak terhad kepada Pulau Langkawi sahaja dan boleh diaplikasikan di kawasan pelancongan lain. Hasil kajian ini adalah selari dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 iaitu memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan, khususnya di Pulau Langkawi. Selain itu, kajian ini dapat membantu dalam pembangunan dan pelaksanaan polisi dan strategi jangka pendek dan jangka panjang yang berkesan dalam membaikpulih sektor pelancongan khususnya untuk pengusaha industri pelancongan, komuniti setempat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, pembuat dasar dan pihak berkepentingan lain.