By Mohamed Azmi Mohd Rasheed Khan
Pendidikan adalah instrumen paling berkuasa dalam pembinaan negara, membasmi kemiskinan dan mewujudkan kemakmuran ekonomi jangka panjang.
Justeru, memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan mencukupi amat penting bagi Malaysia untuk mencapai aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi dan maju.
Rekod menunjukkan Malaysia mencatatkan kemajuan besar dalam bidang pendidikan, terutama dari segi akses kepada pendidikan rendah.
Menurut Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kadar literasi Malaysia melebihi paras 90 peratus dan ini membuktikan komitmen negara terhadap pendidikan.
Meskipun banyak pencapaian dalam memperluaskan akses pendidikan sejak beberapa dekad lalu, Akta Pendidikan Malaysia hanya mewajibkan warganegara mendapat pendidikan formal sehingga tahap rendah sahaja yang berakhir pada Tahun Enam.
Dalam era kemajuan teknologi, persaingan global dan peningkatan taraf hidup, ketetapan ini tidak lagi mencukupi dan relevan. Maka kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan (KPM) baru-baru ini mahu mewajibkan pendidikan menengah.
Ini adalah langkah pertama yang penting bagi menghapuskan keciciran dalam kalangan pelajar, namun ia turut menimbulkan persoalan kritikal. Bagaimana kerajaan dapat menangani cabaran pelbagai dimensi menghalang kanak-kanak daripada meneruskan persekolahan.
Bagaimana pula isu seperti kos pendidikan, akses di kawasan luar bandar dan faktor sosial dapat diatasi bagi memastikan tiada pelajar tercicir.
Perkara lebih penting, adakah matlamatnya sekadar memastikan pelajar hadir ke sekolah sehingga Tingkatan Lima atau memastikan tamat pengajian menengah dengan kelayakan bermakna untuk masa depan mereka?
Ekonomi global kini semakin beralih kepada industri berteknologi dan berkemahiran tinggi. Kebanyakan industri dan pekerjaan kini memerlukan sekurang-kurangnya sijil tamat sekolah menengah atau setaraf.
Tanpa pendidikan menengah, generasi muda berisiko ketinggalan, bukan sahaja dari segi peluang kerjaya, tetapi menyumbang kepada pembangunan negara.
Pendidikan menengah wajar memastikan setiap pelajar memiliki kemahiran untuk bersaing dalam tenaga kerja yang semakin mencabar.
Di peringkat global, semakin banyak negara meletakkan kepentingan pendidikan asas perlu melangkaui peringkat rendah.
Negara seperti Jerman, Belanda dan Portugal sudah lama melaksanakan dasar pendidikan wajib sekurang-kurangnya hingga usia 16 tahun, malah ada sehingga 18 tahun bagi memastikan pelajar menamatkan pendidikan menengah atau vokasional.
Singapura contohnya, melalui Akta Pendidikan Wajib 2000, menetapkan semua kanak-kanak berusia antara enam hingga 15 tahun mesti bersekolah, kecuali mendapatkan pengecualian secara rasmi.
Akta ini turut menubuhkan Lembaga Pendidikan Wajib bagi memantau pematuhan, menyiasat pelanggaran dan memastikan penguatkuasaan. Ibu bapa yang gagal memastikan kehadiran anak mereka boleh didenda sehingga SG$5,000 atau penjara.
Sistem dwipendidikan di Jerman adalah contoh terbaik. Pendidikan diwajibkan hingga umur 18 tahun dengan menggabungkan pencapaian akademik dengan latihan vokasional yang memberikan kemahiran praktikal kepada pelajar.
Menurut data KPM, lebih 10,160 pelajar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023.
Walaupun angka ini menurun sebanyak 19.6 peratus kepada 8,164 pelajar pada 2024, belia Malaysia yang meninggalkan sistem pendidikan tanpa sebarang kelayakan formal masih signifikan.
Tanpa pensijilan SPM atau sijil vokasional, peluang mereka menjadi amat terhad. Mereka berdepan halangan untuk menyambung pengajian, mendapatkan pekerjaan yang baik dan mengehadkan sumbangan kepada ekonomi negara.
Keciciran juga lebih ketara di kawasan luar bandar, yang mana kemiskinan dan kekurangan infrastruktur menyukarkan kanak-kanak menyambung pelajaran.
Bagi mereka, isu pendidikan bukan sahaja membabitkan keinginan meneruskan tahap akademik, tetapi juga meliputi soal pembangunan dan aksesibiliti. Mewajibkan pendidikan menengah tidak cukup sekadar memastikan pelajar hadir ke kelas.
Matlamatnya harus menjangkau kepastian supaya setiap pelajar menamatkan sekolah dengan sijil yang diiktiraf, sama ada pensijilan akademik, vokasional atau teknikal. Inilah kekuatan Jerman dalam menyediakan pelbagai laluan mengikut minat dan keupayaan pelajar.
Stigma TVET sebagai pilihan kedua
Sektor Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia berpotensi mengisi kelompangan ini dengan menawarkan kemahiran industri relevan di peringkat menengah, namun TVET masih berdepan stigma sebagai pilihan kedua.
Jika Malaysia benar-benar serius dalam reformasi pendidikan, persepsi ini perlu diubah menerusi dasar, promosi dan kerjasama industri bagi menjadikan TVET satu pilihan berkualiti yang mampu menjamin pekerjaan.
Rakyat kini berdepan dengan faktor kewangan yang menjadi satu daripada halangan utama.
Walaupun pendidikan awam di negara ini percuma, terdapat pelbagai kos tersembunyi seperti buku ulang kaji, pengangkutan, pakaian seragam, bahan pembelajaran, aktiviti kokurikulum dan kos makanan membebankan, terutama dalam komuniti B40.
Keperluan untuk membantu pendapatan keluarga melalui kerja sambilan turut menyebabkan ramai membuat keputusan berhenti sekolah awal.
Kerajaan perlu memperkukuh dan memperluaskan program sokongan seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sehingga peringkat menengah, khususnya bagi pelajar B40.
Bantuan tunai bersyarat berdasarkan kehadiran dan prestasi sekolah juga boleh dipertimbangkan bagi menggalakkan keluarga memastikan anak-anak terus bersekolah sehingga tamat pendidikan menengah.
Bagi kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, peningkatan infrastruktur amat penting. Wilayah ini memerlukan lebih banyak sekolah berasrama, pengangkutan cekap, internet pantas serta insentif kepada guru cemerlang untuk berkhidmat di kawasan berkenaan.
Kelas satelit, hab pembelajaran digital dan model pendidikan hibrid akan mampu memastikan pelajar di pedalaman tidak tercicir.
Faktor budaya juga memainkan peranan dalam keciciran. Dalam sesetengah komuniti, pendidikan formal kurang diutamakan. Perkahwinan awal, tanggungjawab domestik atau kerja komuniti sering menyebabkan pelajar berhenti sekolah awal.
Dalam aspek ini, libat urus komuniti bersama pemimpin tempatan, agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu dipertingkatkan bagi mengubah persepsi pendidikan menengah.
Kurikulum mesra budaya setempat juga akan dapat membantu memastikan pendidikan relevan dan diterima. Pendidikan menengah yang wajib bukan sekadar dasar sosial bahkan ia satu strategi ekonomi.
Dengan membuat pindaan berani kepada Akta Pendidikan yang mewajibkan tamat pengajian dengan sijil diiktiraf, Malaysia mampu mengubah landskap pendidikan, memastikan tiada bakat disia-siakan dan tiada anak tercicir.
Ini bukan sekadar pelaburan jangka pendek dalam pendidikan, sebaliknya pelaburan bagi masa depan Malaysia yang gemilang.