Teks Ucapan
YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara
merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia
Seminar Kebangsaan
Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial
13 Oktober 2022 (Khamis)
The Everly, Putrajaya
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Terima kasih Puan Pengacara Majlis,
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sulaiman Mahbob
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN)
Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah
Institut Masa Depan Malaysia (MASA)
Yang Dihormati Felo Kehormat, Felo dan Ahli Bersekutu MASA
YBrs. Saudara Azril Mohd Amin
Ketua Pegawai Eksekutif MASA
Dif-dif kehormat,
Para akademia dan penyelidik serta wakil-wakil media.
Apa khabar semua? Saya doakan saudara-saudari berada dalam keadaan sihat walafiat.
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama hadir ke Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial pada pagi yang mulia ini.
2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sekretariat Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA) atas inisiatif menganjurkan program yang bermakna ini.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial
3. Seminar pada pagi ini amat relevan tatkala negara kita masih berdepan situasi ekonomi yang cukup mencabar, yang juga dihadapi oleh negara-negara lain di dunia. Ia dianjurkan buat julung kalinya bertujuan:
i. Menyediakan platform kepada pemegang taruh dalam kalangan ahli akademik, pemain industri, pembuat dasar dan masyarakat sivil untuk mengumpulkan cadangan input berkaitan pemulihan ekonomi negara;
ii. Mengupas isu-isu dan cabaran berkaitan aspek sosioekonomi untuk merangka strategi menyeluruh ke arah kesejahteraan sosial dan kemakmuran ekonomi;
iii. Memperkasa agenda kemampanan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan lestari.
4. Seminar hari ini akan menyaksikan pembentangan selari oleh dua belas (12) penyelidik yang menjalankan kajian penyelidikan di bawah Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP). Mereka adalah sebahagian daripada tiga puluh (30) penyelidik daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berjaya menerima geran MPDP untuk menjalankan kajian dalam pelbagai bidang berkaitan ekonomi dan sosial khususnya bagi membantu langkah-langkah pemulihan negara.
5. Antara skop kajian merangkumi isu-isu kemiskinan, pemerkasaan golongan rentan, meningkatkan daya tahan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS), pemulihan sektor pelancongan dan kelestarian ekonomi hijau.
6. Kesemua kajian yang saya sebutkan tadi adalah selari dengan bidang tumpuan utama Majlis Pemulihan Negara (MPN). Sebagai contoh, salah satu kertas ringkasan dasar bertajuk ‘Penyelesaian Kemiskinan Situasi Untuk Keperluan Pelan Pemulihan Negara’ bakal dibentangkan pada petang nanti.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
7. Menurut data e-Kasih sehingga 30 Jun 2022, ketua isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar telah meningkat kepada hampir 145 ribu berbanding hanya 45 ribu pada tahun 2020. Lebih membimbangkan, sekitar 600 ribu isi rumah M40 telah jatuh ke dalam kategori miskin – yang telah menyumbang kepada peningkatan golongan B40 kepada B60 pasca pandemik COVID-19.
8. Peningkatan ketara ini mencerminkan realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat secara keseluruhannya. Ramai yang masih terpaksa berdepan situasi sukar ekoran kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan atau penyusutan dalam pendapatan.
9. Sekiranya tiada langkah intervensi segera dan serius diambil oleh agensi dan pihak berkaitan, saya khuatir masalah ini akan menjadi semakin meruncing dan parah sehingga tidak dapat diselamatkan lagi; yang miskin menjadi papa kedana, perniagaan terpaksa ditutup, produktiviti akan merosot dan akhirnya merencatkan proses pemulihan negara.
10. Kita tidak boleh berlengah. Procrastination is the thief of time. Justeru, saya mencadangkan sebuah sistem bersepadu dibangunkan untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat. Hari ini, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan, namun kita dapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir. Pada masa sama, ada pula yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.
11. Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar.
12. Mekanisme ini akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan. Ini boleh mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara.
13. Sebagai contoh, Encik Abu mempunyai 3 orang anak serta isteri yang tidak bekerja. Jika beliau diberhentikan kerja, maka sistem ini secara automatik akan dapat mengesan status Encik Abu melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Status Encik Abu sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan beliau menerima bantuan jangka pendek selama beliau tidak bekerja, maksimum 3 bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu.
14. Sistem bersepadu ini juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat Malaysia sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi.
Saudara-saudari yang saya kasihi sekalian,
15. Mengambil kira kemelut yang sedang dihadapi rakyat pada masa ini, usaha menangani jurang ekonomi dan kemiskinan perlu menekankan aspek keterangkuman (inclusivity) dalam strategi pemulihan negara. Langkah ini penting untuk meningkatkan momentum pemulihan negara ke suatu tahap yang lebih tinggi.
16. Agenda pemulihan yang bersifat inklusif akan dapat memastikan tiada golongan terpinggir atau no one is marginalised or left behind, khususnya masyarakat pedalaman, orang asal serta pribumi Sabah dan Sarawak. Kita mahu mereka sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama atau WKB2030.
17. Saya berharap Seminar Kebangsaan ini dapat menjadi wadah penting dalam menggagaskan idea yang bernas dan praktikal untuk menghasilkan strategi ampuh pemulihan negara yang menyeluruh, agar kita dapat mencapai tahap lebih baik daripada sebelum terjadinya pandemik.
Cabaran Ekonomi Ke Arah Pemulihan Negara
18. Tidak dinafikan, situasi ekonomi di peringkat global bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada ekonomi negara, bahkan turut menjejaskan kelangsungan hidup rakyat. Semasa tempoh pandemik, seluruh dunia berdepan gangguan rantaian bekalan akibat kekangan logistik.
19. Konflik perang Rusia-Ukraine telah menjejaskan rantaian bekalan makanan di Eropah yang impaknya mengakibatkan ketidaktentuan dalam keseluruhan pasaran global. Ini memberi tekanan kepada turun naik harga minyak dan komoditi termasuk bijirin.
20. Semua ini secara tidak langsung telah mendorong kepada kenaikan harga barangan pengguna di seluruh dunia yang kesannya turut dirasai di Malaysia. Keadaan ini diburukkan lagi dengan peningkatan kadar inflasi dan kos sara hidup serta kejatuhan nilai Ringgit yang semakin membebankan rakyat.
21. Berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi Malaysia pada bulan Ogos 2022 telah meningkat kepada 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada bulan Julai 2022. Inflasi makanan terus menjadi penyumbang utama kenaikan kadar inflasi pada 7.2 peratus berbanding 6.9 peratus pada bulan sebelumnya.
22. Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang secara positif, realitinya situasi sebenar ekonomi negara buat masa ini amat mencabar. Laporan terkini Bank Dunia pada September 2022 mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia disemak naik daripada 5.5 peratus kepada 6.4 peratus, namun pada tahun 2023, pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan turun kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus.
23. Pakar ekonomi turut meramalkan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun hadapan. Malaysia juga tidak terkecuali. Ini akan menjejaskan prestasi hasil dan membataskan keupayaan perbelanjaan kerajaan dalam melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kepada rakyat seperti yang pernah dilaksanakan semasa tempoh pandemik.
24. Dari segi pengangguran, Malaysia pernah mencatatkan kadar tertinggi pada 5.3 peratus. Alhamdulillah, kadar itu berjaya diturunkan kepada 3.7 peratus pada Julai 2022. Namun kita belum boleh menarik nafas lega kerana semua petunjuk pemulihan ini adalah bersifat sementara. Hakikatnya, negara kita bakal berhadapan dengan prospek ekonomi dunia yang lebih mencabar pada tahun hadapan termasuk kadar pengangguran yang dijangka meningkat dengan ketara.
25. Justeru, kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap strategi pemulihan yang lebih menyeluruh dan inklusif dengan berpaksikan kebajikan rakyat secara bersasar. Ini perlu menjadi agenda utama pihak kerajaan.
26. Kita tidak boleh lagi berfikir dan bertindak mengikut cara lama atau ‘business as usual’. Instead, there must be a great sense of urgency and the government must strive to do more for the Rakyat amid all the economic hardships that we are currently facing. It is about ensuring the lives and livelihoods of the people, and we must ensure that every family has enough food on the table.
27. Tanggungjawab memacu proses pemulihan negara memerlukan sinergi dan pendekatan seluruh negara (whole-of-nation approach) dengan keterlibatan semua pihak daripada kerajaan, swasta, pakar industri, akademia, badan bukan kerajaan (NGO) dan segenap lapisan masyarakat.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Cabaran Pemulihan Negara
28. Proses pemulihan negara perlu diteruskan untuk mengatasi cabaran sosioekonomi supaya pertumbuhan jangka panjang dapat dimantapkan.
29. Sebagai badan penasihat kepada Kerajaan, Majlis Pemulihan Negara atau MPN telah mengambil langkah proaktif mengemukakan syor dan perakuan yang berorientasikan tindakan (action-oriented) sebagai sumbangan MPN dalam membantu proses pemulihan negara.
30. Antara strategi tumpuan MPN dalam proses pemulihan negara merangkumi isu kekurangan tenaga kerja, memacu sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), mempercepatkan pemulihan sektor pelancongan, memperkukuh tahap jaminan bekalan makanan, mengatasi segera isu keciciran pembelajaran serta impak perubahan iklim.
31. Sejak Disember 2021, MPN telah dimaklumkan oleh pihak industri tentang masalah kekurangan tenaga kerja khususnya dalam sektor perladangan yang terpaksa menanggung kerugian hampir RM20 bilion pada tahun tersebut. Antara Januari hingga September 2022, sebanyak 1.15 juta permohonan pekerja asing dikemukakan oleh sektor industri. Daripada jumlah ini, sebanyak 467 ribu telah diluluskan tetapi hanya 76 ribu yang telah dibawa masuk.
32. Ini menunjukkan jumlah kemasukan pekerja asing adalah jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar industri dan seterusnya merencatkan produktiviti sektor berkenaan. Justeru, proses pengambilan pekerja asing mengikut keperluan sektor wajar dipercepatkan.
33. Mengenai beban kewangan dan masalah aliran tunai yang dihadapi oleh komuniti perniagaan khususnya PMKS, MPN telah mengesyorkan supaya program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) diteruskan. Sebarang kelewatan dalam menyalurkan bantuan akan menjejaskan kelangsungan hidup dan ketahanan perniagaan mereka.
34. Dalam hal ini, aspek ‘business acceleration’ perlu diberi penekanan khusus supaya dapat meningkatkan nilai tambah PMKS. Bayangkan, PMKS meliputi hampir 98 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia, sedangkan sektor ini hanya menyumbang 37 peratus kepada KDNK negara pada tahun lalu. Justeru, kita mesti memajukan PMKS menjadi syarikat penengah atau mid-tier companies yang akhirnya menjadi syarikat multinasional (MNC) milik tempatan.
35. Pelancongan adalah salah satu sektor yang berpotensi untuk memberi pulangan dalam jangka masa pendek atau low hanging fruit. Sehubungan itu, sejak dari awal lagi MPN mengesyorkan agar inisiatif komprehensif untuk tempoh jangka masa pendek, sederhana dan panjang dirangka bagi meningkatkan kapasiti dan merancakkan semula sektor pelancongan domestik.
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
36. Isu jaminan bekalan makanan perlu diangkat menjadi agenda utama negara bagi mengatasi dilema ketidaktentuan rantaian bekalan serta kebergantungan terhadap import yang telah menghantui kita sejak sekian lama.
37. Sebelum ini, MPN antaranya telah mengesyorkan supaya Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan semula tabung makanan atau Fund for Food dalam bentuk pinjaman bagi mengoptimumkan penggunaan tanah untuk tujuan pengeluaran makanan oleh para penggiat industri pertanian.
38. Mungkin sudah tiba masanya pelan penggunaan tanah yang komprehensif diperkenalkan supaya aspek pengeluaran, ketersediaan (availability) dan pengedaran makanan diberi perhatian sewajarnya. Kita perlu menetapkan sasaran penghasilan produk pertanian dan ternakan dalam skala besar bagi mencapai tahap sara diri negara untuk memenuhi keperluan jangka panjang.
39. Seiring dengan perubahan iklim yang menyaksikan bencana alam semakin kerap berlaku, isu ini tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan serta agensi yang terlibat. Sejak kebelakangan ini, negara kita telah mengalami kerugian besar akibat cuaca ekstrem termasuk banjir kilat dan tanah runtuh yang merosakkan harta benda awam dan menyebabkan kehilangan nyawa.
40. Justeru, usaha bersepadu untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap fenomena ini perlu digerakkan dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat pembuat dasar. Langkah ini penting supaya usaha pencegahan dan mitigasi bencana dapat dilaksanakan secara berkesan.
Penutup
41. Sebagai langkah ke hadapan, semua pihak dan pemegang taruh perlu memberi pertimbangan yang serius mencari penyelesaian yang konkrit dan menyeluruh terhadap permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat, komuniti perniagaan dan industri secara amnya.
42. Yang penting, soal kebajikan rakyat harus mengatasi perbezaan fahaman politik. In times of economic hardships, we must not compromise the bread-and-butter issues faced by the people for the sake of political interests. The well-being of the Rakyat must always be the nation’s top priority.
43. Saya berharap semua pembentangan dalam seminar hari ini akan menghasilkan resolusi yang bersifat action driven. Semoga segala input yang konstruktif dan bernas dapat menyumbang ke arah pemulihan negara demi kemakmuran bersama.
44. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran seminar ini.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial. Sekian, terima kasih.